Essay: Agama Islam merupakan agama fitrah... - Essay Marketplace

Essay: Agama Islam merupakan agama fitrah…

Agama Islam merupakan agama fitrah, yang mana Islam lebih mengetahui dan meraikan kewujudan fitrah dalam diri manusia. Contoh fitrah ialah manusia memerlukan kepada pasangan. Oleh yang demikian Allah s.w.t telah mensyariatkan nikah untuk memenuhi semua tuntutan fitrah dan kehendak manusia. Malah nikah juga merupakan sunnah yang telah ditinggalkan oleh oleh para nabi dan merupakan hukum semula jadi alam bagi melanjutkan keturunan hingga hari kiamat.
Dewasa ini, perkahwinan luar negara tanpa persetujuan semakin menjadi-jadi dikalangan rakyat Malaysia. Perkahwinan ini kebiasaanya dilakukan di negara Thailand. Hasil tinjauan yang dilakukan di Pejabat Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk di Jabatan Agama Islam Negeri Kelantan, jumlah perkahwinan luar negara semakin meningkat dari semasa ke semasa. Oleh yang demikian, satu tugasan harus dilakukan bagi mencapai objektif kajian dan menyiapkan tugasan yang telah diberikan kepada saya. Berikut merupakan objektif dan tujuan kepada kajian.
Tujuan tugasan ini dilakukan adalah untuk menjelaskan hukum perkahwinan di luar negara tanpa kebenaran dengan penjelasan yang terperinci. Hal ini sedikit sebanyak boleh membantu kita semua dalam memahami hukum berkaitan perkahwinan tanpa kebenaran di luar kawasan merentasi sempadan yang telah disepakat oleh fuqaha’. Kita cuba menjelaskan perkara ini berdasarkan hujah-hujah yang telah dikaji.
Tujuan lain ialah untuk menerangkan punca-punca yang menyebabkan berlakunya perkahwinan tanpa kebenaran. Punca-punca ini perlu dicari ,dikaji, dianalisis dan seterusnya diterangkan didalam bentuk tugasan supaya kita mencapai objektif kajian dan sekaligus dapat menambahkan lagi ilmu pengetahuan kita semua dalam subjek munakahat terutama sekali bab perkahwinan tanpa kebenaran.
Selain itu, bertujuan untuk mengetahui implikasi perkahwinan diluar negara menurut fiqh dan undang-undang serta jalan penyelesaiannya. Hasil daripada tugasan ini, kita dapat menyelesaikan permasalahan tentang perkahwinan diluar negara serta dapat menyatakan implikasinya menurut fiqh dan undang-undang yang dijalankan.
Kesimpulannya, segala puji dan syukur saya panjatkan kepada Allah s.w.t yang telah mempermudahkan segala urusan saya dalam menyiapkan tugasan ini. Terima kasih juga kepada semua pihak yang terlibat samada secara langsung ataupun tidak langsung. Besar harapan saya sekiranya pihak tuan/puan menilai dengan hikmah tugasan ini. Semoga kita semua dapat manfaat daripada apa yang kita usahakan dan tergolong dikalangan orang-orang yang diredhai Allah s.w.t.
PENJELASAN HUKUM PERKAHWINAN DI LUAR NEGARA TANPA KEBENARAN MENURUT FIQH DAN UNDANG-UNDANG PENTADBIRAN ISLAM.
Pernikahan sebenarnya amat digalakkan dalam Islam. Namun,tahukah kita apakah hukum perkahwinan di luar negara tanpa kebenaran? Oleh itu, mari kita lihat jawapan kepada persoalan tentang hukum perkahwinan tanpa kebenaran di luar negara menurut fiqh dan undang-undang pentadbiran Islam.
Didalam Islam , perkahwinan sebegini secara diam tanpa kebenararn adalah dilarang dan hukumnya makruh. Menurut Abdullah bin Utbah, seburuk-buruk perkahwinan adalah perkahwinan secara diam-diam. Hal ini kerana, sekiranya berlaku kematian si isteri tidak dapat menuntut harta pusaka kecuali adanya pengakuan saksi dan sumpah pihak isteri. Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud sebarkanlah perkahwinan kepada orang ramai di masjid dan pukullah gendang (riwayat Al-Tirmizi daripada A’ishah r.a)
Hukum Menurut Fiqh
Perkahwinan tanpa kebenaran kebiasaanya diakadkan oleh wali Hakim serta tidak mengikut Enakmen atau akta Undang-undang Keluarga Islam dan tidak dipersetujui oleh wali pengantin perempuan. Perkahwinan seperti ini juga tidak mendapat kebenaran Pendaftar Nikah Cerai mukim berkenaan. Menurut (Noraini Hashim, 2003) perkahwinan ini juga tidak semestinya dilakukan diluar negara yang berjiran, tetapi mungkin juga berlaku melalui perkahwinan sindiket tanpa kebenaran wali dan juga pendaftar nikah cerai. Manakala definisi kahwin lari menurut kamus dewan bahasa ialah perkahwinan pasangan lelaki dan wanita yang dilakukan ditempat lain dan tidak mempunyai saksi atau tidak direstui oleh keluarga.
Berikut merupakan hukum perkahwinan tanpa kebenaran dari sudut fiqh. Antaranya ialah, jarak diantara tempat wali dan tempat akad nikah itu mestilah mencukupi jarak yang dibenarkan bagi sembahyang qasar iaitu dua marhalah bersamaan 96km. sekiranya tidak mencukupi dua marhalah maka hukum perkahwinan itu adalah tidak sah.
Selain itu, Perkahwinan sindiket. pasangan Islam terlalu sangat mencari jalan mudah untuk berkahwin. Oleh yang demikian, kesempatan ini diambil oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mencari keuntungan. Maka secara tak langsung berlakulah perkahwinan secara tangkap muat yang berlaku di dalam van, bawah pokok dan tempat-tempat lain yang sememangnya tidak diiktiraf oleh mana-mana Majlis Agama Islam di negara Thailand. Hukum bagi perkahwinan ini sememangnya tidak sah dalam agama Islam.Pihak yang menganjurkan perkahwinan ini tidak peduli tentang syarat-syarat ketat yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam di negara Thailand seperti perempuan itu bukan isteri orang, tidak dalam idah dan sebagainya
Seterusnya ialah, semasa perempuan melarikan diri untuk berkahwin dan berlaku kes di mana bapanya telah mengakad nikahkan anaknya dengan lelaki lain semasa ketiadaanya dengan menggunakan kuasa wali mujbir. . Mengikut hukum syarak, seorang bapa boleh menikahkan anak perempuannya yang masih dara tanpa mendapat keizinan anaknya terlebih dahulu dengan syarat pasangan lelaki itu sekufu atau setaraf dengannya serta mampu membayar mahar. Jika perempuan berkenaan berkahwin pula dengan pasangannya yang lain di negara jiran, maka perkahwinan yang kedua ini adalah tidak sah dan terbatal dengan sendiri.
Perkara diatas telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Kelantan (Himpunan Fatwa Mufti Kerajaan Kelantan, hal. 118) dan Johor (Fatwa-Fatwa Mufti Kerajaan Johor, Hal. 116) pada umumnya berdasarkan kitab Bughyat al-Mustarsyidin hal. 238 telah sepakat membuat keputusan bahawa hukum kahwin lari itu sah berdasarkan syarat-syarat berikut :
1) Hukum kahwin lari sah, sekiranya jarak antara tempat tinggal wali nasab kepada pengantin perempuan dengan tempat dilangsungkan akad perkahwinan tersebut melalui 2 marhalah, iaitu dalam ukuran jarak melebihi 60 batu atau 96 kilometer menurut ukuran jumhur ulama sekarang. Lantaran itu, menurut Majlis Fatwa dan MuftiFMufti negeri tersebut berpendapat mana-mana perkahwinan atau kahwin lari tidak sah sekiranya jarak tersebut tidak mencukupi dan perkahwinan antara mereka mestilah diakadkan oleh wali nasab sekiranya wali nasab itu masih ada .
2) Pasangan pengantin lelaki tersebut adalah sekufu menurut konteks Islam dengan perempuan yang akan dikahwininya.
3) Pasangan tersebut khasnya pengantin lelaki mestilah orang yang berpegang kepada Agama dan menghayati ajaran Islam.
4) Pengantin lelaki mampu untuk membelanjakan harta sendiri.
5) Pengantin lelaki mestilah cukup umur dan mukallaf
6) Waras
7) Pengantin lelaki dan perempuan mestilah cerdik.
Hukum Menurut Enakmen Undang-Undang
Perkahwinan tanpa kebenaran menurut undang-undang yang telah ditetapkan iaitu Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam yang telah digunapakai di Malaysia ialah perkahwinan jenis ini adalah salah darisegi undang-undang keluarga islam. Mengikut (Seksyen 40 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984, Seksyen 32(2) Enakmen Keluarga Islam Kedah 1979 dan Seksyen 100(2) Enakmen Keluarga Islam Kelantan 1983) sekiranya perkahwinan ini dirujuk kepada mahkamah syariah, maka pasangan tersebut akan didenda tidak melebihi RM1000.00 atau 6 bulan penjara atau kedua-duanya sekali.
Seterusnya, pengiktirafan oleh Enakmen dan Akta Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia terdapat tiga kes yang berbeza tentang kahwin tanpa kebenaran. Berikut merupakan jadual yang saya perolehi hasil daripada kajian tiga kes yang berbeza:
Kes pertama :
Nikah yang sah dan diiktiraf oleh kerajaan Malaysia Kes kedua :
Nikah yang sah tetapi tidak diiktiraf oleh kerajaan Malaysia Kes ketiga :
Nikah sindiket yang diragui kesahan nikahnya.
Nikah yang cukup syarat. Nikah yang cukup syarat. Nikah yang cukup syarat.
Mendapat segala dokumen yang berkaitan. Ada dokumen tetapi tidak diperakui kesahannya. Tidak ada dokumen atau menggunakan dokumen yang palsu.
Mengikut prosedur dan mematuhi undang Islam di Thailand. Tidak mengikut prosedur dan tidak mematuhi undang Islam di Thailand. Tidak mengikut undang-undang Islam.
Wali hakim di Thailand yang telah mendapat tauliah daripada kerajaan Malaysia. Wali am di Thailand yang tidak diiktiraf oleh kerajaan Malaysia. Dilakukan oleh wali yang diragui sahnya maka perkahwinan juga turut diragui kesahannya.

Jadual diatas menunjukkan hanya kes pertama sahaja diiktiraf oleh kerajaan Malaysia. Walau bagaimanapun kes tersebut tetap menjadi kesalahan dibawah enakmen dan akta undang undang keluarga islam sekiranya perkahwinan berkenaan tidak mendapat kebenaran pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk negeri-negeri di Malaysia. Semua jenis perkahwinan diatas adalah tertakluk kepada kesalahan yang diperuntukkan oleh Enakmen dan Akta UndangUndang Keluarga Islam di Malaysia.
Terdapat dua kes yang berbeza berkaitan perkahwinan ini. Pertama, sekiranya nikah tersebut dilakukan oleh mereka yang di tauliahkan oleh Kerajaan Malaysia (Seksyen 28 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah persekutuan 1984) di bawah pengawasan Majlis Islam di Selatan Thailand , maka permohonan boleh di buat di Pejabat Agama Daerah terdekat dalam tempoh 6 bulan dari tempoh perkahwinan tersebut (Seksyen 31(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah persekutuan 1984). Selain daripada itu mereka juga akan dihadapkan ke mahkamah dan denda akan dikenakan terhadap pasangan ini kerana berkahwin di luar negara tanpa kebenaran. Kedua, perkahwinan yang melibatkan mereka yang tidak bertauliah atau pun nikah sindiket. Perkahwinan ini merumitkan keadaan kerana kebangkalian perkahwinan ini tidak sah adalah tinggi. Apabila keadaan ini berlaku, biasanya ia akan dikendalikan oleh Unit Penguatkuasaan untuk sisasatan lanjut sebelum di bawa ke Mahkamah.
PUNCA-PUNCA BERLAKUNYA PERKAHWINAN TANPA KEBENARAN.
Sebahagian besar pasangan yang berkahwin di negara ini merasakan undang-undang dan peraturan yang sedia ada tidak begitu membebankan namun kalangan kecil mereka menganggap peraturan yang ada begitu menyusahkan sehingga mereka mencari landasan lain untuk melaksanakan perkahwinan. Walaupun peraturan yang dikenakan itu tidak menjadi syarat sahnya perkahwinan namun pelanggaran terhadapnya menjadi kesalahan mengikut enekmen.
dan akta undang-undang keluarga Islam di Malaysia. Undang-undang itu bertujuan menjadikan hidup berkeluarga penuh rasa tanggungjawab sama ada di pihak suami mahupun isteri. Antaranya ialah peraturan yang menghendaki sesuatu perkahwinan itu dilakukan di hadapan pendaftar nikah, cerai dan rujuk atau wakilnya dan perlu didaftarkan. Namun terdapat sebilangan kecil pasangan yang tidak mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh sebab-sebab tertentu. Mereka cuba mengambil jalan mudah untuk berkahwin, kerana mungkin dengan proses biasa mereka menghadapi masalah-masalah tertentu. Jadual 1 dengan menunjukkan peratus yang besar yang dari kalangan 80 pasangan responden menyatakan alasan kenapa berkahwin di negara Thailand.
Alasan perkahwinan Bilangan Peratus
1)Wali tidak setuju 29 36.25%
2)prosedur dalam negeri rumit. 12 15%
3)Poligami 17 21.25%
4)belanja perkahwinan tinggi 14 17.5%
5)terlanjur/hamil luar nikah 8 10%

1)Perkahwinan tidak dipersetujui oleh wali
Faktor utama masalah ini ialah berkaitan wali dari pihak perempuan. Seramai 29 pasangan responden atau 36.25% kes kahwin tanpa kebenaran yang dilakukan di Selatan Thailand adalah disebabkan pasangan lelaki tidak mendapat persetujuan dari pihak perempuan. Ini adalah kerana wali itu sendiri sudah mempunyai pilihan yang dirasakan sesuai untuk anak perempuan mereka. Selain daripada itu wali juga menganggap pasangan lelaki pilihan anak perempuannya itu tidak sesuai dan tidak boleh menjamin masa depan anaknya. Perkara sedemikian berlaku dalam kes Azizah Binti Mat lwn. Mat Bin Salleh. Dalam kes ini wali (bapa) iaitu yang kena tuntut telah enggan untuk mewalikan perkahwinan anaknya dengan alas an anaknya belum bekerja lagi. Mahkamah memutuskan bahawa yang menuntut dibenarkan berkahwin dengan menggunakan wali Raja. Namun tidak semua orang mahu melakukan sedemikian kerana tidak mahu masalah dalam keluarga didedahkan kepada pihak awam. Jadi jalan yang paling mudah ialah berkahwin di negara jiran tanpa kebenaran pihak berkuasa Malaysia.
2)Prosedur perkahwinan yang terlalu ketat.
Sebahagian pasangan yang lain (ia itu seramai 12 responden atau 15%) berkahwin di negara jiran menganggap peraturan-peraturan yang dikenakan ke atas mereka begitu membebankan. Mereka terpaksa menjalani proses temuduga dan melalui kursus pra perkahwinan terlebih dahulu. Selain daripada itu jika pasangan yang berkahwin itu berlainan daerah atau negeri, perakuan daripada pendaftar nikah,cerai dan rujuk daerah atau negeri yang terbabit mesti diperolehi terlebih dahulu. Banyak borang-borang yang perlu diisi serta masa yang lama terpaksa diambil untuk membolehkan pasangan terbabit melangsungkan perkahwinan. Prosedur ini tidak berlaku di Majlis Agama Islam di negara Thailand. Menurut pegawai di Majlis Agama Islam Wilayah Yala, masa yang diambil hanyalah selama satu hari sebelum pasangan terbabit diakad nikahkan. Pihak perempuan hanya perlu membuktikan bahawa dia bukan isteri orang (bujang) atau jika janda, hendaklah mengemukakan surat cerai atau sijil kematian bekas suaminya.
3)Poligami
Alasan responden yang berpoligami:
Alasan poligami : Bilangan : Peratus :
1)tiada persefahaman 5 29.4%
2)prosedur poligami yang rumit 11 64.7%
3)kecacatan pasangan 1 5.9%

Poligami merupakan faktor kedua terbanyak (17 responden atau 21.25%) yang menyebabkan pasangan bertindak melanggar peruntukan Undang-undang Keluarga Islam dengan melangsungkan perkahwinan secara kahwin lari di negara jiran. Mereka berbuat demikian dengan niat untuk merahsiakan perkahwinan mereka dari pengetahuan isteri pertama.Selain daripada itu mereka menganggap Undang-undang Keluarga Islam yang mensyaratkan lelaki yang ingin berpoligami mesti mengemukakan permohonan di mahkamah Syariah amat menyusahkan. Ini dapat dilihat dari 17 responden yang berkahwin poligami seramai 11 orang atau 64.75% berpendapat demikian. Sebagai contoh, di negeri Kelantan, apabila seseorang lelaki mengemukakan permohonan untuk berpoligami , beliau akan diperiksa oleh hakim dalam mahkamah sama ada beliau mampu atau sebaliknya.
Pemohon berkenaan juga diminta membuat pengakuan untuk berlaku adil di antara isteri-isteri serta sanggup membayar nafkah dengan secukupnya bagi isteri dan anak-anaknya. Pengakuan ini mesti disokong oleh sekurang-kurangnya dua orang saksi dan dipersetujui oleh bakal isteri kedua dan walinya. Pemeriksaan ini dibuat tanpa kehadiran isteri pertama, tetapi isteri tersebut diberi notis oleh mahkamah untuk membuat apa-apa bantahan dan sebagainya. Mahkamah akan membuat pertimbangan yang sewajarnya dengan mengambil kira bantahan daripada pihak isteri pertama. Setelah itu mahkamah akan membuat keputusan ama ada meluluskan permohonan tersebut ataupun sebaliknya.Selain dari itu seramai 5 responden memberi alasan ketidaksefahaman dengan isteri pertama menyebabkan responden berpoligami. Manakala seorang lagi memberi alasan kesihatan atau kecacatan isteri sebagai alasan berpoligami.
4)Belanja kahwin terlalu tinggi
Masalah bebanan hantaran dan mas kahwin yang terlalu tinggi juga menyumbangkan kepada ramai pasangan Islam dari Malaysia berkahwin di negara jiran. Mereka berbuat demikian sebagai jalan mudah untuk mengelak daripada terpaksa menanggung perbelanjaan besar untuk menyediakan wang hantaran dan mengadakan kenduri kahwin. Jadual 8 di atas menunjukkan seramai 8 responden atau 10% berpendapat belanja urusan perkahwinan yang terlalu tinggi mendorong mereka berkahwin di negara jiran.
5)Pergaulan bebas lelaki dan perempuan/terlanjur
Kes kahwin lari juga banyak berlaku disebabkan faktor pergaulan yang bebas antara lelaki dan perempuan tanpa menghiraukan batas-batas syarak yang telah ditetapkan dalam Islam. Dari sinilah akan berlaku kes-kes khalwat, persetubuhan luar nikah dan kehamilan. Bagi menutup kes ini dari terbongkar, jalan yang paling mudah ialah segera melangsungkan perkahwinan di negara jiran. Jadual 8 dengan jelas menunjukkan seramai 14 responden atau 17.5% mengemukakan alasan ini untuk berkahwin di negara jiran.

PERBINCANGAN IMPLIKASI PERKAHWINAN DI LUAR NEGARA DARIPADA SUDUT FIQH DAN UNDANG-UNDANG DAN CADANGAN SOLUSI
Perkahwinan tanpa kebenaran sebenarnya memberi implikasi buruk kepada sesiapa yang melakukannya. Dapatan kajian, apabila berlaku perceraian di antara pasangan terbabit, mereka yang sering menjadi mangsa dan teraniaya dalam hal ini ialah kaum wanita. Antara kesan yang akan dihadapi ialah :
Sekiranya pernikahan secara kahwin lari tidak didaftarkan semula di negara ini, apabila berlaku perceraian, wanita atau isteri tersebut tidak akan dapat membawa kes perceraian itu untuk dibicarakan di Mahkamah. Ini adalah kerana sebelum mengesahkan perceraian tersebut,mereka hendaklah mengesahkan perkahwinan tersebut terlebih dahulu. Oleh kerana perkahwinan itu sendiri tidak dapat disahkan, maka lebih-lebih lagi perceraian tersebut. Oleh yang demikian, segala aduan mereka tidak dapat dilayan dan dilaksanakan oleh pihak berkuasa. Secara totalnya, wanita atau isteri terbabit akan kehilangan hak mutlak mereka sebagai seorang isteri yang sah dari segi Undang-undang. Oleh yang demikian, mereka tidak boleh menuntut sebarang hak sebagai seorang isteri yang diceraikan seperti hak mut1ah, harta sepencarian, nafkah mahupun hak penjagaan anak atau hadhanah, sebagaimana yang diperolehi dan dinikmati oleh wanita-wanita yang berkahwin mengikut prosedur Undang-undang di negeri ini.
Kesan yang akan timbul selepas kematian ialah, apabila berlaku kematian mana-mana belah pihak dari pasangan tersebut. Oleh sebab tidak ada bukti perkahwinan yang sah dari segi Undang undang, mana-mana pihak sama ada isteri atau suami, masing-masing tidak boleh menuntut sebarang hak pusaka si mati. Bukan hanya isteri atau suami sahaja yang tidak boleh menuntut harta pusaka, malah anak-anak mereka juga akan mengalami nasib yang sama. Masalah pembahagian harta pusaka akan timbul jika perkahwinan lari itu tidak disahkan dan didaftrakan, lebih-lebih lagi jika perkahwinan itu adalah poligami. Jika si suami yang meninggal dunia, isteri yang dikahwini secara kahwin lari itu tidak dapat membuat sebarang tuntutan pusaka melalui mahkamah kerana tidak ada bukti bahawa mereka telah berkahwin. Hakikatnya isteri tersebut akan kehilangan hak mereka secara total kerana perkahwinan tersebut tidak didaftarkan di negara ini, walaupun dari segi syarak perkahwinan tersebut sah, tetapi ia tidak sah dari sudut Undang-undang di negeri ini yang menyebabkan mereka tidak dapat berbuat apa-apa jika sesuatu yang tidak diingini berlaku.
Peraturan yang ada sebelum ini adalah tidak seragam malah bagi setengah-setengah negeri, seorang yang hendak berpoligami. Walaupun mampu dan memenuhi syarat-syarat hukum syarak, diwajibkan mendapat persetujuan serta tanda tangan atau cap ibu jari isteri pertama. Enakmen dan Akta Undang-Undang Keluarga Islam yang baru ini tidaklah sampai ke tahap itu. Apa yang lebih penting ialah semua pihak yang terlibat perlu kepada kesabaran dan bertolak-ansur demi kebaikan semua pihak. Oleh yang demikian langkah-langkah yang tegas perlu diambil bagi mengelakkan atau sekurang-kurangnya mengurangkan masalah kahwin tanpa kebenaran ini berlaku. Berikut merupakan cadangan yang boleh diambil untuk dijadikan rujukan khususnya kepada pihak berkuasa dan masyarakat Islam umumnya.
Hukuman yang lebih ketat perlu diperkenalkan untuk memberi pengajaran kepada pasangan-pasangan laian yang mungkin mempunyai hasrat berbuat demikian. Buat masa sekarang semua negeri memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1000 atau 6 bulan penjara atau kedua-duanya sekali (Seksyen 40 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, Seksyen 32(2) Enakmen Keluarga Islam Negeri Kedah 1979 dan Seksyen 100(2) Enakmen Keluarga Islam Negeri Kelantan 1983). Hukuman ini jauh lebih rendah dari bidangkuasa Mahkamah Syariah yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan (Jadual ke Sembilan, Senarai Dua) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 3 tahun, denda tidak melebihi RM3000 dan sebat tidak melebihi 6 sebatan.
Anggapan bahawa semua perkahwinan walau di manapun ia dilakukan adalah sah menurut hukum syarak perlu diperjelaskan. Oleh kerana perkahwinan ini kadang-kadang diuruskan oleh penganjur yang tujuannya tidak lain melainkan untuk mengaut keuntungan, maka peruntukan undang-undang yang jelas perlu diwujudkan bagi mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap mereka. Mungkin hukuman penjara secara mandatori adalah sesuai untuk membenteras gejala yang tidak sihat ini.
Ibu-bapa atau wali pihak perempuan perlulah berfikir, bersikap dan bertindak secara rasional apabila anak-anak mempunyai calon pilihannya sendiri. Bapa atau datuk tidak perlu ego dengan kuasa wali mujbir yang dimilikinya. Wali juga tidak perlu bersikap keras dengan pilihannya sahaja kerana dia perlu memikirkan implikasi terhadap tindakan kerasnya itu. Sekiranya pilihan anaknya itu munasabah dan tidak keterlaluan manakala calon suami pilihan anaknya juga sekufu dengannya, maka ia haruslah diberi persetujuan. Mengikut Syariat Islam pasangan berkenaan boleh mengadu kepada Hakim atau Kadi jika pasangan berkenaan sekufu dan dilantik Wali Hakim.
Ibu-bapa pengantin perempuan juga perlu bersikap rasional apabila menetapkan bayaran maskahwin dan hantaran yang perlu disediakan oleh pengantin lelaki. Dengan menetapkan perbelanjaan yang tinggi, mereka bukan sahaja mendedahkan pasangan kekasih itu untuk mencari jalan alternatif untuk berkahwin, malah mungkin juga akan mendedahkan pasangan tersebut kepada gejala maksiat sekiranya keinginan mereka untuk berkahwin tidak dapat dibendung lagi.
Kajian menunjukkan masih ramai masih ramai pasangan yang berkahwin di negara jiran belum mendaftarkan semula perkahwinan mereka di Pejabat Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk di Malaysia. Ini disebabkan oleh proses pendaftaran semula itu sendiri amat menyusahkan selain pasangan itu sendiri akan dihadapkan ke Mahkamah Syariah. Justeru, dicadangkan supaya kerajaan Malaysia dengan persetujuan pihak berkuasa negeri-negeri mungkin boleh memikirkan untuk mengadakan Program Pemutihan di mana pasangan-pasangan yang sudah berkahwin sehingga tarikh tertentu tapi belum mendaftarkan semula dibenarkan mendaftar tanpa dihadapkan ke Mahkamah Syariah serta tidak dikenakan hukuman. Walau bagaimanapun mereka perlu mengikut peraturan dan prosedur sedia ada bagi memastikan perkahwinan yang mereka jalani itu sah di sisi syarak.
KESIMPULAN
Dapatlah dirumuskan bahawa kahwin lari telah membawa banyak masalah kepada pentadbiran Jabatan Agama Islam dan juga masyarakat. Sekiranya dibiarkan berleluasa ianya akan mewujudkan satu masyarakat yang porak peranda. Ini adalah kerana dari data-data serta contoh-contoh yang telah dikemukakan, dapat kita lihat perkahwinan seperti ini tidak kekal lama akibat tidak mendapat restu ibu-bapa, penganiayaan terhadap isteri pertama serta anak-anak sekiranya berpoligami tanpa kebenaran. Dengan ini lahirlah keluarga yang berpecah-belah, dendam-mendendam antara satu sama lain dan sebagainya yang mengakibatkan kesan yang negatif terhadap perkembangan keluarga itu sendiri.
Walau apapun yang dibincangkan di atas, didapati pasangan-pasangan yang berkahwin ini masih ingin perkahwinan mereka dianggap sah dari segi agama. Komitmen mereka terhadap ajaran Islam masih ada, walaupun sedang terhakis. Masalah pelanggaran undang-undang adalah masalah yang berlaku dalam semua perkara, bukanlah hanya terhad kepada masalah perkahwinan sahaja. Semua orang ingin masalah yang mereka hadapi diselesaikan dengan secepat mungkin. Bagaimananapun undang-undang yang ada bukanlah bertujuan memberi kemudahan kepada beberapa orang atau kumpulan sahaja. Ia perlu dilaksanakan secara umum bagi menyelesaikan masalah masyarakat keseluruhannya. Peraturan-peraturan dan prosedur perkahwinan yang sedia ada pada hari ini tidaklah begitu ketat dan menyusahkan. Ini adalah kerana Enakmen dan akta Undang-Undang Keluarga Islam yang diseragamkan di seluruh negeri telah digubal sebegitu rupa semata-mata untuk menjaga kebaikan dan kesejahteraan keluarga terutamanya anak-anak yang tidak berdosa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload the CAPTCHA.