Sains - Essay Marketplace

Sains

1.1 Pengenalan
 
Sains merupakan pengaplikasian ilmu sains dalam menjalankan eksperimen, ujikaji dan aktiviti amali. Sains juga merupakan salah satu proses yang memberi keutamaan terhadap kaedah pembelajaran inkuiri dan penyelesaian masalah (Hammann, 2008). Disamping itu, sains memberi peluang kepada kita untuk mengkaji sesuatu perkara dengan teliti, mengukur, membuat ujikaji dan menerangkan mengapa sesuatu perkara itu terjadi (Al-rabaani, 2014). Menurut Abruscato (2004) pula, sains merupakan satu fenomena yang berlaku dari persekitaran dan kehidupan harian kita. Sains memerlukan pemerhatian yang teliti kerana ia akan mendorong perasaan ingin tahu dalam diri seseorang. Tambahan lagi, Hassard (2010), menyatakan bahawa, salah seorang ahli saintis iaitu Carl Sagan mentakrifkan sains sebagai satu cara berfikir dan ia adalah lebih penting daripada ilmu pengetahuan sains itu sendiri.

Sebagai negara yang sedang maju, Malaysia kini memberi tumpuan yang lebih dalam mewujudkan masyarakat yang berilmu saintifik, progresif, mempunyai daya perubahan yang tinggi, memandang jauh ke hadapan, inovatif serta insan yang menyumbang terhadap kemajuan sains dan teknologi. Kenyataan tersebut disokong oleh Salbiah (2010) dengan menyatakan bahawa pendidikan sains di negara kita merupakan salah satu mata pelajaran yang membantu murid dalam memahami diri sendiri dan alam persekitaran dengan lebih baik.

Di samping itu, pembelajaran sains membantu murid dalam memperkembangkan kemahiran sains, kemahiran berfikir serta sikap dan nilai murni di kalangan mereka (Ango, 2012). Bahagian Pembangunan Kurikulum (2012) pula menyatakan bahawa pengajaran sains harus diberi tumpuan supaya proses pembelajaran murid menjadi lebih bermakna. Pembelajaran bermakna dimaksudkan sebagai salah satu proses yang membantu murid untuk memperolehi pengetahuan dan menguasai kemahiran yang dapat memperkembangkan pemikiran mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Bagi mewujudkan pendidikan sains yang bermakna kurikulum baru sekolah rendah iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) telah diperkenalkan pada tahun 2011. Sukatan pelajaran KSSR memberi penekanan terhadap penguasaan kemahiran saintifik dan kemahiran berfikir, pemahaman kepada prinsip asas sains, pemupukan sikap saintifik dan nilai murni serta pembelajaran melalui pengalaman yang relevan kepada kehidupan harian murid (Pusat Pembangunan Kurikulum, 2013).

Sukatan Pelajaran yang terbaru KSSR diperkenalkan dengan bertujuan untuk menyemai minat murid terhadap bidang sains dan teknologi dan memberi pengetahuan yang asas terhadap kemahiran sains dan teknologi (Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2013). Dengan ini, murid akan mendapat peluang untuk memperoleh ilmu sains yang kukuh untuk mengaplikasikannya dalam situasi harian mereka. Malahan pengetahuan ini akan membantu mereka untuk mengikuti pelajaran sains di peringkat yang lebih tinggi.

Kurikulum sains KSSR juga memberi penekanan kepada penguasaan kemahiran saintifik iaitu kemahiran proses sains dan kemahiran manipulatif. Brotherton (2005) pula menyatakan bahawa kemahiran proses sains merupakan aspek sains yang digabungkan dengan kemahiran kognitif.

Maka, kurikulum sains negara kita mementingkan penggunaan kemahiran berfikir dan kemahiran saintifik yang merangkumi kemahiran proses sains dan kemahiran manipulatif dalam pendekatan inkuiri. Kemahiran proses sains memainkan peranan yang sangat penting dalam memperkuatkan kemahiran berfikir secara kritikal, kreatif, analitikal dan sistematik (Curiculum Development Centre, 2006).

Tambahan lagi, kemahiran proses sains membantu murid untuk mencari jawapan kepada persoalan yang wujud dengan menggunakan bukti dan pemahaman terhadap pengetahuan saintifik. Kemahiran proses sains juga membantu kita untuk mempelajari isi kandungan sains dengan lebih mendalam serta ia menyumbang ke arah pembangunan pemikiran yang rasional (Zurida Ismail, Sharifah Norhaidah Syed Idros & Maznah Ali, 2013)

Mengikut Padilla (1980), kemahiran proses sains boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu kemahiran proses sains asas dan kemahiran proses bersepadu. Kemahiran proses sains asas meliputi kemahiran memerhati, mengelas, mengukur, menggunakan nombor, meramal, membuat inferens dan berkomunikasi. Kemahiran proses sains sepadu melibatkan keupayaan kemahiran berfikir aras tinggi dan ia meliputi kemahiran seperti mentasfir data, mengenalpasti dan mengawal pembolehubah, mendefinisikan secara operasi, menyatakan hipotesis dan mengeksperimen (Brotherton, 2010).

Aplikasi kemahiran proses sains dalam pengajaran dan pembelajaran merupakan salah satu pendekatan pedagogi yang mencungkil minat dan keseronokan di kalangan murid. Penekanan terhadap penguasaan kemahiran proses sains, dapat membantu murid untuk menguasai sesuatu perubahan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (David, 1994). Perubahan ini membantu murid untuk meneroka pengetahuan sendiri melalui proses yang mereka di lalui.

Kebanyakan pendidik juga bersepakat untuk mengatakan bahawa perkembangan kemahiran proses sains patut menjadi matlamat utama dalam pendidikan sains (Lawson, 1995; Trowbridge, 1981; Zeitler, 1981). Wellington (1989) dan Screen, (1986) juga menegaskan bahawa kemahiran proses sains adalah elemen penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana kemahiran tersebut akan kekal dalam ingatan murid walaupun fakta-fakta sains yang diajar telah dilupai. Padilla, Okey dan Dillashaw (1983), pula percaya bahawa penguasaan kemahiran proses sains asas diperlukan di kalangan murid bagi menguasai kemahiran proses sains sepadu. Gagne (1965), pula mencadangkan bahawa penguasaan konsep-konsep asas sains di kalangan murid hanya dapat dikuasai melalui pengajaran berasaskan kemahiran proses sains.

Kemahiran proses sains membantu murid untuk mempelajari matapelajaran dunia sains dan teknologi dengan lebih mendalam. Untuk penguasaan yang berkesan, kaedah penyampaian kemahiran proses sains harus diberi penekanan melalui aktiviti ‘hands-on’ yang menarik (Maloney & Simon 2006). Strategi inkuiri ini boleh dilakukan dalam proses pengajaran dan pembelajaran sains kerana ia merupakan strategi berpusatkan murid dimana mereka akan melaksanakan aktiviti, penyiasatan dan eksperimen untuk memupuk dan mengukuhkan pengetahuan kemahiran-kemahiran proses sains di kalangan mereka.

Dengan menggabungkan kemahiran proses sains dengan topik-topik yang diajar dalam kelas dan dalam bidang kajian akan mewujudkan pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna kepada murid. Pengalaman ini akan mewujudkan penglibatan murid secara aktif dalam sesi pembelajaran dan memudahkan mereka untuk memahami kandungan pengajaran.

1.2 Latar belakang kajian

Pembelajaran sains membantu murid dalam memperkembangkan kemahiran sains, kemahiran berfikir serta sikap dan nilai murni di kalangan mereka. Dengan ini, pengajaran sains harus diberi tumpuan supaya proses pembelajaran murid menjadi lebih bermakna. Pembelajaran bermakna dimaksudkan sebagai salah satu proses yang membantu murid-murid untuk memperolehi pengetahuan dan menguasai kemahiran yang dapat memperkembangkan pemikiran mereka ke peringkat yang lebih tinggi. (Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2012)

Dalam kurikulum sains KSSR , kemahiran proses sains dijadikan sebagai salah satu elemen penting dalam sistem pendidikan. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) berpendapat bahawa sekiranya kemahiran ini tidak ditulis secara tersurat dalam standard pembelajaran, maka akan wujud masalah tiada pendedahan dan masalah kurang penguasaan kemahiran sains dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Keadaan sedemikian boleh mewujudkan satu jurang di antara hasrat kurikulum dengan pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah (Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2012). Dengan itu, dokumen standard kurikulum sains (DSK) mengandungi tema pengenalan kepada sains yang memberi penekanan kepada murid untuk menguasai setiap kemahiran proses sains secara eksplisit. Oleh kerana setiap kemahiran proses sains ini dijadikan standard pembelajaran maka ianya mesti dikuasai oleh setiap murid.

Tambahan lagi, KSSR diperkenalkan dengan bertujuan untuk menyemai minat murid terhadap bidang sains dan teknologi dan memberi pengetahuan yang asas terhadap kemahiran sains dan teknologi (Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2012). Dengan ini, murid akan mempunyai pengetahuan untuk mengaplikasikan ilmu sains dan teknologi dalam kehidupan harian mereka. Malahan pengetahuan ini akan membantu mereka untuk mengikuti pelajaran sains di peringkat yang lebih tinggi. Science – A Process Approach (SAPA) juga lebih menitikberatkan cara pembelajaran penyelidikan saintifik oleh kanak-kanak di mana kanak-kanak perlu mempelajari penyelidikan saintifik seperti mana proses sains yang dijalankan oleh saintis.

Kurikulum baru ini, memberi penekanan terhadap tiga aspek utama iaitu pemerolehan pengetahuan, penguasaan kemahiran saintifik dan penerapan sikap saintifik serta nilai murni. Unsur-unsur utama kurikulum sains ini diintegrasikan melalui pembelajaran berkonsepkan ’experimental learning’. Pembelajaran dengan cara ini akan membantu murid untuk mengembangkan kemahiran proses sains inkuiri-penemuan pada diri mereka an membantu mereka untuk menyelesaikan sesuatu masalah secara penerokaan (Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2012). Secara keseluruhannya, kurikulum sains di Malaysia memberi penekanan kepada penguasaan kemahiran saintifik. Pengajaran dan pembelajaran kemahiran proses sains merupakan satu inovasi pedagogi yang akan mewujudkan suasana yang kondusif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, pengajaran dan pembelajaran kemahiran proses juga dapat mencungkil minat dan keseronokan dikalangan murid untuk melibatkan diri secara aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran (Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2012).

Sebagai langkah penguasaan ilmu sains, murid perlu dipupuk dengan kemahiran proses sains yang membolehkan mereka mempersoalkan tentang sesuatu perkara dan mencari jawapan secara bersistem (Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2012). Kemahiran proses sains merupakan kemahiran yang digunakan oleh para saintis untuk mengkaji dan menyiasat sesuatu isu, persoalan, masalah atau fenomena sains. Dengan ini, kemahiran proses sains digunakan untuk meneroka, menjana pengetahuan sains, ilmu sains dan juga membina konsep sains (Fraenkel & Wallen, 2006). Mengikut Altun (2012), kemahiran proses sains hanya akan memainkan peranan apabila ia digunakan dalam aktiviti sains seperti penyiasatan saintifik.

Kebanyakan pendidik juga bersepakat untuk mengatakan bahawa perkembangan kemahiran proses sains patut menjadi matlamat utama dalam pendidikan sains (Harlen, 2013). Mutlu dan Temiz (2013), percaya bahawa penguasaan kemahiran proses sains asas diperlukan di kalangan murid bagi menguasai kemahiran proses sains sepadu. Miles (2010), pula mencadangkan bahawa penguasaan konsep-konsep asas sains di kalangan murid hanya dapat dikuasai melalui pengajaran berasaskan kemahiran proses sains. Beliau turut menjelaskan bahawa kemahiran tersebut dapat dipindahkan kepada murid melalui domain isi kandungan kurikulum. Bagi tujuan tersebut Saat (2004) telah mencadangkan supaya guru-guru sains perlu menggunakan kemahiran proses sains dalam pengajarannya. Dengan cara ini, guru akan dapat memikirkan strategi dan pendekatan yang terbaik untuk menyampaikan isi kandungan kepada murid-muridnya.

Chabalengula (2012), pula berpendapat bahawa penekanana kepada kemahiran proses sains perlu dilakukan dalam pengajaran secara berterusan. Miles (2010), turut mencadangkan bahawa kemahiran proses sains dapat di aplikasikan dikalangan murid apabila memberi peluang seluas-luasnya kepada murid untuk mempraktikkan kemahiran tersebut dalam proses pembelajaran. Pusat Perkembangan Kurikulum (2003), menyarankan kaedah pengajaran dan pembelajaran sains hendaklah dilakukan berdasarkan kandungan kurikulum, kepelbagaian kebolehan murid serta sumber dan prasarana yang sedia ada.

Dengan ini, proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku di dalam bilik darjah merupakan petunjuk utama yang dapat mengukur dengan tepat kemajuan masa depan sesebuah negara. Maka, pendidikan sains di Malaysia menuju ke arah memupuk budaya sains dan teknologi serta menteraskan kepada strategi inkuiri. Strategi inkuiri ini merupakan strategi berpusatkan murid di mana mereka akan melaksanakan aktiviti, penyiasatan dan eksperimen untuk memupuk dan mengasah kemahiran-kemahiran proses sains di kalangan mereka.

Tambahan lagi, dengan menyedari kepentingan penguasaan kemahiran proses sains, Kementerian Pendidikan Malaysia telah memperkenalkan Penilaian Kerja Amali (PEKA) mulai tahun 2008 di semua sekolah rendah. Markah pentaksiran PEKA pula dinyatakan dalam slip keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah. Tujuan PEKA dijalankan di sekolah rendah adalah untuk mengenal pasti penguasaan kemahiran proses sains dan kemahiran manipulatif yang dikuasi oleh murid-murid sepanjang enam tahun persekolahan. Di samping itu, PEKA juga memberi peluang kepada murid untuk mengukuhkan pengetahuan dan kefahaman mengenai teori dan konsep sains yang dipelajari oleh mereka sepanjang tempoh persekolahan tersebut. (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2008).

Pentaksiran PEKA merupakan pentaksiran berasaskan sekolah di mana seorang guru akan menilai setiap murid secara individu. Pentaksiran yang dijalankan adalah berdasarkan kriteria-kriteria yang terkandung dalam buku manual Science Practical Work Assessment yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2008). Guru akan menilai setiap kemahiran proses sains dan kemahiran manipulatif semasa murid menjalankan kerja amali serta akan mencatatkan markah tertinggi pentaksiran tersebut sebelum keputusan UPSR dikeluarkan.

Namun demikian, beberapa persoalan muncul dalam pemikiran terhadap pelaksanaan PEKA di sekolah. Antaranya, adakah guru-guru faham mengenai PEKA? Adakah guru-guru menepati semua kriteria-kriteria yang ditetapkan semasa menjalankan pentaksiran PEKA? Adakah guru dapat menilai kesemua kemahiran proses sains semasa menjalankan pentaksiran PEKA?

1.3 Pernyataan masalah

Semasa PEKA mula dilaksanakan pada tahun 2008 kepada murid sekolah rendah, ramai guru khuatir tentang keberkesanannya. Hal ini kerana PEKA perlu dijalankan dan ditaksir seawal murid tersebut berada di Tahun 3 sehingga mereka berada di Tahun 6 (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2008). Namun terdapat beberapa persoalan terhadap pentaksiran PEKA di sekolah rendah. Antaranya, mampukah seorang guru dapat mentafsir penguasaan kesemua kemahiran proses sains terhadap seorang murid dengan tepat? Adakah seorang guru mampu menilai kesemua murid pada waktu yang singkat? Adakah guru tidak berasa beban untuk menilai bilangan murid yang ramai dalam satu-satu kelas? Bagaimanakah pencapaian PEKA murid sekolah rendah dalam matapelajaran sains? Bagaimanakah tahap penguasaan kemahiran proses sains dalam kalangan murid-murid yang hendak menduduki peperiksaan UPSR?

Bagi menjawab persoalan-persoalan tersebut, terdapat banyak kajian yang dijalankan mengenai penguasaan kemahiran proses sains dalam kalangan murid-murid di Malaysia (Daniel, 2010). Dapatan-dapatan daripada kajian ini menunjukkan bahawa penguasaan kemahiran proses sains oleh murid-murid di Malaysia adalah tidak memberangsangkan. Murid-murid didapati masih lemah dalam kemahiran proses sains asas. Antara alasan bagi kelemahan dalam penguasaan kemahiran proses sains dari kajian-kajian di atas ialah guru dan murid jarang mempraktikkan kemahiran saintifik, corak pengajaran kurang menekankan kemahiran berfikir seperti yang dicadangkan dalam kurikulum sains, guru kurang didedahkan kepada latihan khas dalam kemahiran proses sains, guru sendiri tidak faham kemahiran proses sains mengakibatkan kesukaran dalam merancang pengajaran, guru sendiri kurang yakin sebab tidak tahu ciri-ciri setiap kemahiran proses sains dan tidak tahu menyatukan kedua-dua pengetahuan dan kemahiran dalam pengajaran dan sebagainya (Daniel, 2010).

Seterusnya, mengikut Lay (2010), penguasaan kemahiran saintifik dalam kalangan murid masih lagi terbatas kerana kemahiran proses sains yang diberikan penekanan dalam kebanyakan pelajaran masih tertumpu kepada kemahiran proses sains aras rendah iaitu seperti kemahiran memerhati, mengelas, mengukur dan menggunakan nombor, meramal, membuat inferens, berkomunikasi dan menggunakan perhubungan ruang dan masa. Kemahiran proses sains aras tinggi seperti kemahiran mentafsir data, membuat hipotesis, mengawal pembolehubah, mendefinisi secara operasi dan mengeksperimen masih belum menjadi amalan dalam pengajaran sains di peringkat sekolah rendah.

Tambahan lagi, kebanyakan kajian-kajian lepas berkaitan PEKA sains juga lebih tetumpu kepada pelaksanaan PEKA di sekolah menengah. Kajian oleh Siti Aloyah (2012) yang bertujuan untuk menilai implementasi program PEKA biologi telah dapat mencungkil beberapa cabaran dan kekangan yang dihadapi oleh guru dan murid semasa melaksanakan PEKA biologi. Dapatan kajian beliau mendapati bahawa walaupun murid seronok menjalankan aktiviti-aktiviti PEKA biologi tetapi mereka kurang pasti tentang kemahiran yang harus mereka kuasai. Guru pula kurang pasti tentang cara membina serta menggunakan rubrik penskoran dan merasakan mereka memerlukan latihan tambahan. Guru juga membangkitkan tentang masa yang tidak mencukupi serta tugas pentaksiran yang terlalu membebankan.

Malahan, Faiza (2012) pula mendapati masalah yang dihadapi oleh guru adalah skema penskoran PEKA yang terlalu rubrik, peralatan makmal yang tidak mencukupi dan pemilihan eksperimen yang tidak sesuai untuk ditaksir. Beliau juga mendapati walaupun pencapaian murid dalam PEKA biologi adalah cemerlang, tetapi pencapaian murid dalam mata pelajaran biologi didapati adalah tidak selari dengan pencapaian dalam PEKA iaitu boleh dibahagikan kepada kategori cemerlang, sederhana dan lemah.

Kajian oleh Abdul Rahim dan Saliza Ahmad (2008) pula mendapati sikap guru terhadap PEKA sains menunjukkan ke arah negatif. Majoriti guru (73.2%) menyatakan pelaksanaan PEKA sains sangat membebankan kerja mereka. 65.9% guru pula tidak berpendapat PEKA sains lebih baik daripada peperiksaan amali yang telah dilaksanakan sebelum PEKA sains diperkenalkan, manakala hanya 14.6% guru sahaja yang berpendapat pelaksanaan PEKA adalah satu kejayaan. Masalah utama guru semasa pelaksanaan PEKA adalah masa yang tidak mencukupi, perlu mentaksir bilangan murid yang ramai, elemen yang hendak ditaksir terlalu banyak dan murid bersikap negatif terhadap PEKA.

Alias (2011) dalam kajiannya mendapati kursus yang berkaitan PEKA yang telah dihadiri masih belum memadai untuk membantu guru memahami sepenuhnya prosedur melaksanakan PEKA. Beliau juga menyatakan faktor yang boleh menjejaskan keberkesanan program PEKA mengikut perspektif guru adalah masa yang tidak mencukupi, kesukaran menentukan skor dengan tepat, bilangan murid yang ramai, elemen yang perlu ditaksir terlalu banyak, pemberian skor yang tidak adil, sikap negatif murid terhadap PEKA, alat radas dan bahan yang tidak mencukupi serta tiadanya pemantauan dilakukan.

Kajian Ismail (2008) mengenai keberkesanan program pentaksiran kerja amali sains (PEKA) sekolah rendah pula menyatakan bahawa persediaan dan pendedahan guru dalam perlaksanaan PEKA dapatan menunjukkan 75% guru tidak pernah menyertai kursus, bengkel atau seminar dalam melaksanakan PEKA. Terdapat juga segelintir guru telah mengajar melebihi 10 tahun tetapi masih tidak mendapat pendedahan secara formal bagaimana PEKA ini perlu dilaksanakan. Ini menjadi satu persoalan bagaimanakah guru-guru ini melaksanakan PEKA tanpa ada satu piawaian dan pendedahan yang baik terhadap perlaksanaannya.

Tambahan lagi, Abdul Rahim and Saliza (2008) mendapati bahawa guru-guru mengeluh dan merintih tentang ketidakpastian dalam penggunaan rubrik penskoran, kekangan masa, dan bebanan tugas penilaian kerja amali. Wan Noraine (2010) pula melaporkan tentang masalah yang dihadapi oleh guru-guru sains, khasnya dalam memilih dan mengurus aktiviti untuk PEKA. Masalah sedemikian timbul kerana Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) tidak menentukan secara spesifik aktiviti penilaian yang perlu digunakan untuk mentaksir. Hanya garis panduan dan kriteria penskoran diberikan oleh LPM dan para guru sains mempunyai kebebasan untuk memilih dan menggunakan mana-mana aktiviti yang difikirkan sesuai untuk PEKA, daripada kerja lapangan, eksperimen makmal, sehingga kepada laporan projek.

Menurut Rohana dan Shaharom (2008) pula, masih terdapat murid yang tidak dapat mengenal pasti tujuan, menghubungkaitkan konsep dan teori pengajaran yang diperolehi dengan kerja eksperimen yang dijalankan walaupun mereka telah diberi pendedahan yang banyak semasa menjalankan PEKA dan pentaksiran dibuat secara individu bagi setiap murid. Oleh kerana penguasaan murid-murid terhadap kemahiran saintifik mereka adalah rendah, mereka gagal untuk menjawab soalan-soalan berbentuk amali.

Selain daripada itu, setakat ini, masih belum ada instrumen kemahiran proses sains yang mengandungi kesemua komponen kemahiran proses sains yang dapat menguji kemahiran proses sains murid secara menyeluruh. Kebanyakan kajian hanya menguji kemahiran proses sains bersepadu sahaja. Instrumen yang digunakan dalam kebanyakan kajian adalah Kemahiran Proses Sains Bersepadu (TISPS II). Instrumen ini adalah untuk mengukur penguasaan kemahiran proses sains bersepadu, khususnya bagi kemahiran membuat hipotesis, mendefinisi secara operasi, mengawal pemboleh ubah, mereka bentuk eksperimen, dan mentafsir maklumat. TISPS II digunakan untuk mengukur dan menilai penguasaan kemahiran proses sains yang diperolehi oleh murid sepanjang pembelajaran mereka di sekolah dan diuji secara menyeluruh. Ujian tersebut mengandungi 36 item jenis objektif pelbagai pilihan yang terdiri dari kelima-lima kemahiran proses sains bersepadu.

Dengan menilai perkara-perkara di atas, pengkaji berpendapat bahawa satu alat pengukuran seperti instrumen yang mempunyai kesahan dan kebolehpercayaian yang tinggi perlu dibina untuk kegunaan dan membantu para guru dalam menilai tahap penguasaan kemahiran proses sains dalam kalangan murid. Setakat ini, masih belum ada instrumen kemahiran proses sains berbentuk item subjektif yang mengandungi kesemua komponen kemahiran proses sains yang dapat menguji kemahiran proses sains murid. Kebanyakan kajian hanya menguji kemahiran proses sains asas ataupun kemahiran proses sains bersepadu sahaja. Maka perlulah penghasilan satu instrumen yang mengandungi kesemua dua belas kemahiran proses sains memandangkan penilaian tahap penguasaan murid pada awal tahun amat penting untuk seorang guru merancang pengajarannya sepanjang tahun.

Pengetahuan sains tidak seharusnya menjadi konsep yang perlu dihafal oleh murid hanya untuk lulus dalam peperiksaan (Lee, 2004). Tambahan lagi, sains bukan sahaja menekankan konsep asas tetapi lebih menekankan penguasaan kemahiran proses sains dalam kalangan murid (Sulaiman Ngah Razali, 2002). Miles (2010) berpendapat bahawa penguasaan kemahiran proses sains adalah lebih tinggi dari segi intelek berbanding dengan penguasaan fakta dan prinsip sains. Menurut beliau, murid yang menguasai kemahiran proses sains, boleh mencari jawapan serta membentuk idea atau konsep sendiri mengenai sebarang fenomena sains.

Sehubung dengan itu, kajian ini dilaksanakan bertujuan untuk membina sebuah instrumen yang berformatkan kertas dan pensel yang boleh meninjau tahap pencapaian dan penguasaan kemahiran proses sains asas dan kemahiran proses sains bersepadu murid-murid tahap dua sekolah rendah dengan berkesan. Selain itu, instrumen yang dibina dalam kajian ini akan membantu para guru untuk menilai kesemua kemahiran proses sains yang tersurat dalam kurikulum sains sekolah rendah dalam masa yang singkat serta menjimatkan masa pentaksiran. Di samping itu, instrumen yang dihasilkan mempunyai nilai kesahan dan kebolehpercayaan, serta nilai indeks diskriminasi dan nilai indeks kesukaran yang sesuai.

1.4 Kerangka Kajian

Kerangka konseptual kajian Salasiah (2015) telah diadaptasi dan dibina seperti dalam Rajah 1.1. Dalam kajian ini pengkaji membina satu instrumen berkontekskan Malaysia yang meliputi kedua-dua jenis kemahiran proses sains untuk mengukur tahap penguasaan kemahiran proses sains asas dan kemahiran proses sains bersepadu dalam kalangan murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

Berdasarkan kepada Rajah 1.1, terdapat dua fasa yang terlibat semasa penghasilan instrumen iaitu fasa pembinaan item dan fasa analisis psikometrik item. Kedua-dua fasa ini diperlukan bagi memastikan instrumen yang dihasilkan adalah instrumen yang benar-benar sah dan boleh dipercayai serta diaplikasi oleh guru-guru sains sekolah rendah untuk menilai tahap penguasaan murid dalam kemahiran-kemahiran yang terkandung dalam kemahiran proses sains asas dan kemahiran proses sains bersepadu.

Item-item yang dimuatkan dalam instrumen Ujian Subjektif Kemahiran Proses Sains Asas dan Bersepadu Sekolah Rendah ini perlu melalui dua fasa iaitu fasa pembinaan item dan fasa analisis psikometrik. Terdapat lima peringkat dalam fasa pembinaan item, iaitu :

1) mengenal pasti objektif instrumen

2) menentukan spesifikasi ujian

3) membina jadual spesifikasi instrumen

4) menulis item

5) menyemak item bersama pakar

Manakala bagi fasa kedua pula merupakan fasa analisis psikometrik bertujuan untuk menganalisis nilai indeks kesukaran dan indeks kesukaran item serta indeks kebolehpercayaan instrumen. Prosedur ini dilaksanakan bagi memastikan item yang dibina adalah benar-benar sah dan dipercayai.

Melalui proses-proses di atas, maka terhasil sebuah instrumen Ujian Subjektif Kemahiran Proses Sains Asas dan Bersepadu Sekolah Rendah yang sah dan dipercayai untuk mengukur tahap penguasaan kemahiran proses sains bersepadu sekolah rendah. Instrumen ini mencakupi dua belas kemahiran yang terkandung dalam kemahiran proses sains yang perlu dikuasai oleh murid-murid sekolah rendah iaitu memerhati, mengelas, mengukur dan menggunakan nombor, meramal, membuat inferens, berkomunikasi, menggunakan perhubungan ruang dan masa, mendefinisi secara operasi, mengawal pembolehubah, membuat hipotesis, mentafsir data dan mengeksperimen.

1.5 Tujuan kajian

Kajian ini bertujuan untuk membina sebuah instrumen yang mengandungi tujuh komponen kemahiran proses sains asas iaitu memerhati, mengelas, mengukur dan menggunakan nombor, meramal, membuat inferens, berkomunikasi, menggunakan perhubungan ruang dan masa serta lima kemahiran proses sains bersepadu iaitu mendefinisi secara operasi, mengawal pembolehubah, membuat hipotesis, mentafsir data dan mengeksperimen sepertimana yang tersenarai dalam kurikulum sains. Instrumen yang dibina perlu menpunyai kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi untuk digunakan di sekolah rendah dan berfungsi untuk mengukur tahap penguasaan murid terhadap kemahiran proses sains.

1.6 Objektif kajian

Kajian ini adalah bertujuan untuk:

1.6.1 membina instrument Ujian Subjektif Kemahiran Proses Sains Asas Dan Bersepadu Sekolah Rendah

1.6.2 mengenal pasti nilai indeks kesukaran bagi setiap item dalam instrument Ujian Subjektif Kemahiran Proses Sains Asas Dan Bersepadu Sekolah Rendah

1.6.3 mengenal pasti indeks diskriminasi bagi setiap item dalam instrumen Ujian Subjektif Kemahiran Proses Sains Asas Dan Bersepadu Sekolah Rendah

1.6.4 menganalisis nilai kesahan dan nilai kebolehpercayaan bagi setiap item dalaminstrumen Ujian Subjektif Kemahiran Proses Sains Asas Dan Bersepadu Sekolah Rendah.

1.7 Persoalan Kajian

Kajian ini dijalankan untuk menjawab beberapa persoalan yang berkaitan dengan tahap kemahiran proses sains asas dan berssepadu murid tahap dua.oleh itu, persoalan-persoalan kajian adalah seperti berikut:

1.7.1 Bagaimanakah instrumen Ujian Subjektif Kemahiran Proses Sains Asas Dan Bersepadu Sekolah Rendah dibina?

1.7.2 Apakah nilai indeks kesukaran bagi setiao item dalam instrumen Ujian Subjektif Kemahiran Proses Sains Asas Dan Bersepadu Sekolah Rendah?

1.7.3 Apakah nilai indeks diskriminasi bagi setiap item dalam instrumen Ujian Subjektif Kemahiran Proses Sains Asas Dan Bersepadu Sekolah Rendah?

1.7.4 Apakah nilai indeks kesahan dan kebolehpercayaan instrumen Ujian Subjektif Kemahiran Proses Sains Asas Dan Bersepadu Sekolah Rendah?

1.8 Kepentingan kajian

Kajian-kajian lepas yang dijalankan di Malaysia, terutamanya hanya tertumpu kepada penjanaan dan pengukuran sebahagian kemahiran proses sains sama ada kemahiran proses sains asas atau kemahiran proses sains bersepadu. Adalah lebih lengkap apabila instrumen yang dibina dapat mengukur tahap penguasaan semua peringkat kemahiran proses sains dalam kalangan murid.

Kajian ini diharapkan dapat menghasilkan instrumen yang sah dan mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi. Instrumen ini boleh digunakan oleh guru-guru sekolah rendah untuk menguji tahap penguasaan kemahiran proses sains dalam kalangan murid. Ini disebabkan instrumen yang dibina adalah bebas kandungan.

Instrumen yang dihasilkan adalah dalam bentuk subjektif yang memerlukan responds yang terhad iaitu ‘Short answer questioning (SAQ)’. Mengikut Sharma (2014), SAQ adalah soalan-soalan subjektif atau soalan-soalan terbuka deskriptif. Soalan-soalan ini digunakan untuk menguji pengetahuan serta keupayaan menganalisis, penaakulan, permohonan dan mengintegrasikan. Soalan-soalan deskriptif merupakan soalan struktur yang sangat berguna dalam ujian aras lebih tinggi.

Seperti yang dinyatan, SAQ menguji pengetahuan serta keupayaan analisis dan penaakulan, maka ia berguna untuk menilai bagaimana murid boleh mengeluarkan dan mengintegrasikan pengetahuan mereka (Sharma, 2014). Cara penskoran untuk item subjektif adalah berdasarkan rubrik jawapan yang disediakan. Disamping itu, penilaian kemahiran proses sains murid melalui kaedah pemerhatian semasa pelaksanaan amali di makmal adalah mengambil masa (Burns, Okey & Wise, 1985). Dengan ini, instrumen yang dihasilkan ini dapat membantu guru-guru untuk menilai tahap pengguasaan murid dengan lebih mendalam kerana murid perlu menjawab soalan-soalan tersebut mengikut kefahaman mereka.

Penilaian berbentuk SAQ ini lebih menjimatkan masa daripada penilaian menggunakan cara ‘hands on’ di mana guru perlu memerhatikan setiap kemahiran yang ada pada diri seseorang murid semasa eksperimen dijalankan. Keadaan ‘hands on’ menyukarkan tugas guru sains untuk mengesan kemahiran yang ada pada murid-murid memandangkan bilangan murid dalam setiap kelas adalah dalam lingkungan 35 hingga 40 orang. Tambahan pula, saiz makmal yang terhad dan bilangan alat radas yang terhad menyebabkan bukan semua murid terlibat secara aktif semasa eksperimen dijalankan. Murid-murid terpaksa menjalankan eksperimen dalam kumpulan besar (Shuhairi Abdul Razak, 2008). Sementara itu, semasa eksperimen dijalankan kemahiran manipulatif dikalangan murid juga perlu dititikberatkan untuk mengelakkan kemalangan dan mendapatkan keputusan yang jitu. Keadaan ini membebankan guru-guru sains untuk mengukur kesemua kemahiran saintifik ini secara serentak semasa menjalankan eksperimen.

Dapatan kajian ini boleh membantu guru-guru sains menggunakan instrumen yang dibina sebagai skor penaksiran untuk menilai penguasaan kemahiran proses sains dalam kalangan murid. Kajian ini turut dapat membantu guru-guru sains mendapat maklum balas terhadap kefahaman serta kelemahan murid dalam kemahiran proses sains. Jadi, keadaan ini dapat menentukan kemahiran proses sains yang manakah perlu dititikberatkan atau ditekankan dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi membolehkan murid menguasai kemahiran proses sains dengan baik untuk masa depan. Guru-guru juga dapat memilih kaedah rawatan yang bersesuaian bagi membantu murid dalam menguasai kemahiran proses sains dalam proses pembelajaran mereka.

Diharapkan dapatan kajian ini dapat memberi gambaran terhadap penguasaan kemahiran proses sains dalam kalangan murid tahap dua dan pengaruhnya terhadap pencapaian sains mereka. Tambahan lagi, dengan kajian ini, pihak-pihak yang berkaitan Kementerian Pelajaran Malaysia, Pusat Perkembangan Kurikulum, Jabatan Pelajaran Negeri, guru-guru sains dapat merancang dan melaksanakan usaha-usaha untuk memperkukuhkan kemahiran proses sains murid di sekolah rendah sebelum mereka naik ke peringkat menengah.

Selain itu, dapatan kajian ini dapat memberi gambaran kepada pihak penggubal dan perancang kurikulum, misalnya Bahagian Pendidikan Guru (BPG) boleh merancang dan menggubal program latihan perguruan di mana penekanan yang lebih kepada penguasaan kemahiran proses sains dalam kalangan guru-guru pelatih.

Kesimpulannya, instrumen yang dibina dapat digunakan sebagai alternatif oleh guru sains untuk mengurangkan beban mereka dalam mengukur tahap penguasaan kemahiran proses sains di kalangan murid dengan lebih berkesan. Hasil kajian ini akan memberi impak kepada para pendidik tentang pendekatan kemahiran proses sains yang diamalkan selama ini dan memberi penekanan yang lebih terhadap kemahiran proses sains dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

1.9 Batasan kajian

Kajian yang dijalankan ini mempunyai batasan-batasan tertentu seperti berikut:

1. Kajian ini dibataskan kepada murid-murid Sekolah Rendah Kebangsaan Tamil di Daerah Tampin, Negeri Sembilan pada tahun 2017. Kajian ini menumpukan perhatian terhadap penguasaan dan pelaksanaan kemahiran proses sains murid-murid Sekolah Rendah Kebangsaan Tamil di Daerah Tampin, Negeri Sembilan. Oleh yang demikian, kajian ini tidak boleh digeneralisasikan kepada semua murid sekolah rendah kebangsaan di Negeri Sembilan.

2. Kajian ini hanya dijalankan untuk murid-murid tahap dua sahaja. Dapatan kajian ini tidak mewakili tahap penguasaan kemahiran sains untuk murid-murid tahap 1.

3. Selain itu, sebarang pemberian maklumat palsu oleh responden boleh mempengaruhi keseluruhan hasil kajian. Maklumat palsu berlaku apabila responden tidak tahu jawapan dan memberi jawapan dengan meneka sahaja.

1.10 Definisi operasional

Dalam kajian ini, beberapa istilah yang digunakan didefinisikan seperti berikut:

1.10.1 Instrumen

Menurut Gay, Mills & Airasian (2009), instrumen ialah ujian tertentu atau alat yang digunakan untuk mengumpul data mengikut rasional pemikiran spesifik instrumen tertentu. Instrumen Ujian Subjektif Kemahiran Proses Sains Asas dan Bersepadu yang digunakan dalam kajian ini ialah kemahiran proses sains asas dan kemahiran proses sains bersepadu. Corak-corak bagi instrumen dalam kajian ini adalah seperti berikut:

a) Bebas kandungan

b) Item subjektif

c) Aras kesukaran yang berbeza

d) Item yang mengukur semua tujuh kemahiran proses sains asas dan lima kemahiran proses sains bersepadu

e) Berformat pensel dan kertas

f) Menggunakan banyak gambar dan diagram

Instrumen yang dibina ini juga adalah berkontekskan Malaysia iaitu item-item dijana berdasarkan budaya, persekitaran dan huraian sukatan di Malaysia. Contohnya, nama-nama watak, nama tempat Malaysia digunakan dalam situasi soalan. Selain itu, item-item yang dijana adalah bebas kandungan. Maka, item-item ini sesuai untuk semua peringkat murid tahap 2.

Instrumen dalam konteks kajian ini adalah alat berbentuk struktur yang digunakan untuk mengumpul data penguasaan kemahiran proses sains di kalangan murid-murid tahap 2.

1.10.2 Kemahiran Proses Sains

Kemahiran proses sains ditakrifkan oleh Ibrahim Bilgin (2006) sebagai langkah dan prosedur untuk memahami penyiasatan saintifik. Melalui kemahiran ini, ahli sains mengumpul pengetahuan, menjalankan eksperimen, menganalisis data dan merumuskan keputusan.

Kemahiran proses sains adalah syarat asas untuk mempelajari pelbagai aspek sains. Dengan menguasai kemahiran ini, murid dapat membuat penyiasatan demi memahami isi kandungan sains (Shuhairi Bin Abdul Razak, 2008). Kemahiran proses sains telah dibahagikan kepada dua jenis dalam Project Science – A Process Approach (SAPA) (Padila, 1990). Menurut Pusat Perkembangan Kurikulum (2001), peringkat pertama ialah kemahiran proses sains asas yang sesuai dengan peringkat awal perkembangan kognitif kanak-kanak seperti berikut :

– Memerhati

– Mengelas

– Mengukur dan menggunakan nombor

– Meramal

– Membuat inferens

– Berkomunikasi

– Menggunakan perhubungan ruang dan masa

Peringkat kedua ialah kemahiran proses sains bersepadu yang sesuai dengan perkembangan kognitif yang lebih tinggi. Kemahiran-kemahiran ini adalah seperti berikut:

– Mendefinisi secara operasi

– Mengawal pembolehubah

– Membuat hipotesis

– Mentafsir data

– Mengeksperimen

Dari skop kajian ini, kemahiran proses sains yang di formatkan adalah memerhati, mengelas, mengukur dan menggunakan nombor, membuat inferens, meramal, berkomunikasi, menggunakan perhubungan ruang dan masa, mentafsir maklumat, mendifinisi secara operasi, mengawal pembolehubah, membuat hipotesis dan mengeksperimen.

1.10.3 Penguasaan

Menurut Bahagian Pembangunan Kurikulum (2012), penguasaan pembelajaran adalah pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang penting untuk memastikan murid dapat menguasai apa yang diajar dengan berkesan dan mencapai objektif pelajaran yang ditentukan dengan memuaskan. Lantaran itu, penguasaan dalam kajian ini ialah maklum balas dari para murid terhadap kemahiran proses sains. Penguasaan murid dalam kemahiran proses sains ini dinilai dengan instrumen berformat subjektif.

Pengukuran tahap penguasaan kemahiran proses sains dalam kalangan responden ialah berdasarkan ‘two third rules’. Seseorang responden dikira telah menguasai kemahiran proses sains jika dia berjaya memperolehi sekurang-kurangnya dua pertiga daripada jumlah skor dalam ujian kemahiran proses sains (Shuhairi Abdul Razak, 2008). Instrumen yang digunakan dalam kajian ini ialah soalan berbentuk subjektif. Dengan ini, skor minimum ialah 0 manakalah skor maksimum ialah 100. Seseorang yang menduduki ujian ini (60 item) dikatakan telah menguasai kemahiran proses sains jika dia berjaya memperolehi skor sekurang-kurangnya 40 item atau 67 %.

1.10.4 Item subjektif

Menurut Nordin Tahir (2006), soalan subjektif merupakan satu bentuk penyataan yang berbentuk pertanyaan dalam instrumen pentaksiran untuk menguji pengetahuan, pengalaman, kemahiran serta tahap kebolehan kognitif calon melalui respon secara tulisan. Terdapat dua jenis soalan subjektif iaitu item jenis struktur dan item jenis esei.

Soalan berbentuk subjektif memerlukan murid untuk menulis jawapan yang tepat termasuk dalam menjawab esei jawapan pendek dan penyelesaian masalah. Ujian subjektif dinilai berdasarkan penilaian atau berdasarkan pendapat pemeriksa. Ujian subjektif adalah lebih mencabar dan memerlukan masa yang lebih untuk menyediakan, mentadbir dan menilai dengan betul, tetapi ia boleh menjadi lebih sah (Doher, 1991).

Item jenis struktur terbentuk daripada satu atau dua bahagian isi kandungan jawapan yang mengandungi beberapa patah perkataaan dan bahan-bahan yang disertakan pada soalan. Jenis soalan sebegini mengehadkan isi dan bentuk jawapan. Jawapan yang ditulis biasannya berbentuk pendek dan tidak panjang. Jawapan tidak memerlukan huraian lanjutan (Nordin Tahir, 2006). Item yang digunakan dalam kajian ini ialah item berbentuk subjektif yang merangkumi tujuh kemahiran proses sains asas dan lima kemahiran proses sains bersepadu. Murid-murid pula perlu menjawab soalan-soalan tersebut menggunakan jawapan yang pendek mengikut pengetahuan dan pengalaman mereka.

1.10.5 Sekolah Rendah dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil)

Pendidikan rendah bermula dari tahun 1 hingga tahun 6, dan menerima kemasukan kanak-kanak berumur 7 tahun sehingga 12 tahun. Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris merupakan mata pelajaran wajib dalam Sistem Pendidikan Malaysia. Sekolah rendah awam di Malaysia terbahagi kepada dua jenis, iaitu Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan. Kurikulum di kedua-dua jenis sekolah rendah adalah sama. Perbezaan antara dua jenis sekolah ini ialah bahasa pengantar yang digunakan. Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar di Sekolah Kebangsaan. Bahasa Tamil atau bahasa Mandarin digunakan sebagai bahasa pengantar di Sekolah Jenis Kebangsaan. Dalam kajian ini, pengkaji telah memilih tujuh Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di Daerah Tampin, Negeri Sembilan.

1.10.6 Tahap dua

Pendidikan rendah di Malaysia bermula pada usia tujuh tahun dan berlangsung selama enam tahun, yang disebut sebagai Tahun (Tahun 1hingga 6) juga dikenali sebagai Darjah(Darjah 1 hingga 6). Tahun 1 hingga Tahun 3 diklasifikasikan sebagai tahap satu manakala Tahun 4 hingga Tahun 6 adalah dianggap tahap dua. Dalam kajian ini, pengkaji telah memilih murid-murid tahap dua sebagai responden kajian iaitu murid-murid daripada tahun 4, 5 dan 6.

1.11 Rumusan

Perbincangan di atas menjelaskan asas-asas kajian yang merangkumi latar belakang kemahiran proses sains, persoalan, metadologi secara ringkas serta had kajian yang akan dilakukan dalam kajian ini. Asas kajian ini akan digunakan untuk meneliti dengan lebih lanjut implimentasi kemahiran proses sains di Daerah Tampin, Negeri Sembilan. Penekanan kemahiran proses sains dalam kurikulum sains KSSR merupakan langkah terbaik menjadikan pendidikan sains setaraf dengan pendidikan di negara maju bagi memenuhi kehendak pendidikan di masa akan datang.

Review this essay:

Name
Rating
Your review: (optional)

Latest reviews:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload the CAPTCHA.