Essay: Kajian ini adalah untuk mengenal pasti matlamat utama perjuangan ... - Essay Marketplace

Essay: Kajian ini adalah untuk mengenal pasti matlamat utama perjuangan …

Kajian ini adalah untuk mengenal pasti matlamat utama perjuangan kaum Cina dalam perjuangan politik Malaysia melalui parti dominan kaum Cina dari pihak kerajaan dan pihak pakatan pembangkang iaitu parti Malaysian Chinese Association (MCA) dan parti Democratic Action Party (DAP). Dalam pilihanraya umum ke-12, parti Barisan Nasional sebuah parti yang didominasi kaum Melayu telah tewas dalam mengekalkan majoriti 2/3 kerusi parlimen apabila hanya memenangi 140 kerusi berbanding 82 kerusi yang dimenangi oleh pakatan pembangkang yang terdiri daripada Parti Islam Se-Malaysia(PAS), Democratic Action Party (DAP), dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pilihanraya umum ke-12 menyaksikan perlawanan satu lawan satu antara Barisan Nasional dan pakatan pembangkang di hampir setiap kerusi parlimen yang ditandingi oleh parti Barisan Nasional . Prestasi parti-parti komponen Barisan Nasional seperti Gerakan, MIC dan MCA juga dilihat semakin merosot sewaktu pilihanraya umum ke-12 ini. Perkara ini bersesuaian pula dengan peningkatan sokongan kepada parti komponen pakatan pembangkang berasaskan kaum Cina, DAP di mana jika dianalisa bilangan kerusi parlimen yang mereka tandingi iaitu 48 buah kerusi, mereka telah memenangi 28 buah kerusi dan ini sekaligus mencatatkan mereka merupakan parti yang mempunyai paling banyak sokongan dalam pakatan pembangkang kerana peratusan kerusi yang ditandingi dan dimenangi oleh mereka adalah yang tertinggi iaitu 58.3 peratus berbanding masing-masing 34.8 peratus dan 32.6 peratus bagi PAS dan PKR (Amer Saifude Ghazali, 2011). Justeru, perubahan pola pengundian kaum Cina dalam dua pilihanraya yang telah berlangsung mencetuskan tanda tanya kepada rakyat Malaysia tentang agenda serta matlamat utama perjuangan parti politik berorientasikan kaum Cina terutamanya DAP dan MCA dalam perjuangan politik di Malaysia. Kajian ini membawa jawapan kepada persoalan apakah matlamat utama yang menjadi pegangan untuk parti MCA dan DAP terus berjuang dalam arena politik Malaysia.

Malaysia mewarisi sebuah masyarakat majmuk daripada penjajah British. Kewujudan masyarakat majmuk merumitkan tugas pembinaan sebuah negara-bangsa setelah negara ini mencapai kemerdekaan. Kemajmukan masyarakat ini turut menjadikan politik Malaysia bersifat unik dan menarik untuk dikaji. Perkembangan politik Malaysia semenjak kemerdekaan sehingga sekarang masih dikuasai politik perkauman. Hal ini demikian kerana berbagai-bagai kelompok etnik juga menyumbang kepada kecenderungan perkembangan ini. Sebagai kelompok etnik yang kedua besar selepas kaum Melayu, masyarakat Cina juga memainkan peranan dalam senario politik Malaysia.
Malaysia mencapai kemerdekaan melalui perjuangan gigih dan toleransi kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain. Kemerdekaan memberikan peluang kepada tiga kaum yang terbesar untuk bekerjasama dan berkompromi dalam tugas pembinaan negara. Kerajaan yang dibentuk oleh Perikatan di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman mencerminkan keadaan ini. Kerajaan ini mengamalkan dasar akomodatif untuk melayan tuntutan-tuntutan kaum yang pelbagai dan sering kali bertentangan. Pelbagai dasar telah dilaksanakan oleh kerajaan dan tidak semua dasar yang dilaksanakan diterima baik oleh semua rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum. Terdapat perlaksanaan beberapa dasar kerajaan yang telah menekan masyarakat Cina. Antaranya ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Akta Koordinasi Industri, dan Akta Hasutan (Thock, 2005). Kewujudan dasar-dasar yang menekan masyarakat Cina ini telah menyebabkan parti-parti politik berasaskan kaum Cina seperti MCA dan DAP ditubuhkan bagi melindungi hak dan kepentingan kaum Cina di Malaysia.

Bagi menghadapi tekanan yang diberikan hasil perlaksanaan dasar-dasar oleh kerajaan yang tidak menepati kehendak kaum Cina, beberapa parti berpaksikan kaum Cina telah ditubuhkan. Pada 1949, Malayan Chinese Association atau MCA telah ditubuhkan yang bermatlamatkan ingin melindungi kepentingan kaum Cina. Pada peringkat awal penubuhannya adalah lebih terarah kepada sekatan penularan pengaruh Parti Komunis Malaya terhadap kaum Cina (Thukiman, 2009). Pada pilihanraya Majlis Bandaran Kuala Lumpur, MCA telah membentuk pakatan kerjasama bersama dengan UMNO. Seterusnya, pada Pilihanraya Persekutuan 1955, MCA telah menjadi parti utama bagi mewakili masyarakat Cina ketika itu.
Pada bulan Ogos tahun 1965, setelah Singapura keluar dari gagasan Malaysia, Parti Tindakan Rakyat (PAP) Malaysia telah menjadi Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan telah menjadi parti pembangkang utama kerajaan sejak itu. Parti DAP ini merupakan parti yang berpaksikan kaum Cina (Goldman, 1999). Parti ini sentiasa berani kehadapan dalam menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap perlaksanaan dasar-dasar kerajaan yang mengenepikan kaum Cina.
Menurut Heng (1998), MCA di bawah pimpinan Lee San Choon memberikan respons kepada ketuanan Melayu dalam politik Malaysia dengan cubaaan meningkatkan imej MCA di masyarakat Cina. Manakala Ling Liong Sik pada awal pimpinannya mengetengahkan isu-isu pendidikan dan kebudayaan Cina sebagai wahana untuk meraih sokongan masyarakat Cina. Sementara itu, parti DAP memberikan respons dengan berperanan sebagai pelindung kepentingan masyarakat Cina dan dalam hal ini, parti itu berjaya memperoleh undi-undi protes orang Cina.
Kedua-dua parti ini mempunyai matlamat utama yang sama iaitu untuk melindungi kepentingan kaum Cina, namun apa yang menjadi perhatian adalah matlamat-matlamat lain selain dari matlamat utama mereka yang ingin melindungi kepentingan kaum Cina itu. Perkara inilah yang akan dikaji dalam kajian ini.

Pilihanraya ke-12 telah menunjukkan keputusan yang mengejutkan bagi parti Barisan Nasional kerana parti komponennya MCA telah kehilangan banyak undi kaum Cina. Hal ini jelas dapat dilihat apabila negeri Pulau Pinang yang mempunyai populasi kaum Cina yang tinggi di Malaysia telah bertukar pucuk pemerintahan dari diterajui parti Gerakan iaitu juga merupakan parti komponen Barisan Nasional kepada parti DAP (Amer Saifude Ghazali, 2011). Perkara ini mencetuskan tanda tanya kepada sebilangan rakyat Malaysia mengenai punca pola undian kaum Cina berubah dari menyokong parti berasaskan kaum Cina yang merupakan parti komponen Barisan Nasional iaitu Gerakan dan MCA kepada menyokong parti DAP. Rakyat Malaysia mula meletakkan tanda tanya mengenai adakah terdapat perubahan matlamat dalam kedua-dua parti ini yang pada asalnya ingin melindungi kepentingan kaum Cina yang menjadi punca berubahnya pola pengundian kaum Cina ini.

Dalam melengkapkan kajian saya ini, soalan yang akan saya kemukakan adalah:
Apakah matlamat parti DAP dan parti MCA dalam memperjuangkan hak-hak kaum Cina di Malaysia?
Apakah yang menyebabkan pola pengundian kaum Cina berubah dari parti MCA kepada parti DAP?

Persoalan-persoalan ini akan mendedahkan saya dalam mengetahui matlamat perjuangan kedua-dua parti DAP dan MCA ini dan juga akan membantu saya dalam membuat analisis data.

Objektif kajian

Berdasarkan persoalan kajian, terdapat dua objektif kajian yang ingin saya perolehi. Mengenalpasti matlamat parti DAP dan parti MCA dalam memperjuangkan hak-hak kaum Cina di Malaysia. Mengenalpasti punca pola pengundian kaum Cina berubah dari parti MCA kepada parti DAP.

Kajian ini dilakukan bagi mendapatkan maklumat yang benar mengenai matlamat utama perjuangan parti berorientasikan kaum Cina utama di Malaysia iaitu parti MCA dan parti DAP. Kajian ini juga dilakukan bagi menghapuskan persepsi-persepsi seperti yang telah dikeluarkan terhadap matlamat perjuangan kedua-dua parti ini dan seterusnya kajian ini diharapkan dapat mewujudkan suasana politik yang harmoni di Malaysia. Di samping itu, kajian ini juga dilakukan bagi meletakkan representasi kaum lain dalam mengkaji matlamat perjuangan parti DAP dan MCA di Malaysia ini.

Teori konsosiasionalisme yang dikemukakan Arend Lijphart merupakan model yang penting dalam memahami pencapaian kestabilan dalam negara-negara majmuk. Lijphart (1977) mencanangkan empat ciri penting dalam teori konsosiasionalismenya. Ciri-ciri ini ialah gabungan perdana yang disertai oleh para pemimpin politik yang mewakili berbagai-bagai kumpulan etnik. Diikuti pula oleh kuasa veto yang dimiliki bersama oleh semua kumpulan etnik. Ciri seterusnya ialah kewujudan sistem nisbah untuk setiap kumpulan etnik diwakili dalam Parlimen, perkhidmatan awam, dan agensi-agensi kerajaan. Ciri akhir ialah terdapatnya hak autonomi kelompok bagi setiap komuniti yang bertujuan membolehkan mereka melakukan hal-ehwal mereka dengan agak bebas.
Teori ini dipilih dalam kajian ini kerana kaum Cina adalah kaum yang minoriti di negara Malaysia ini, namun mereka menuntuk untuk mendapat hak yang sama seperti majority iaitu kaum Melayu. Sebahagiannya mendapat layanan daripada kerajaan seperti tertubuhnya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). Ini adalah seiring dengan matlamat konsosiasionalisme iaitu berlandaskan kompromi etnik.

Di dalam bab ini, saya telah menyediakan beberapa maklumat asas berkenaan apa yang akan dibuat dalam kajian saya, Tujuan utama kajian ini telah dinyatakan dalam bab ini. Dalam bab yang lain, saya akan menghuraikan lebih panjang berkenaan kajian ini seperti sorotan kajian dan lain-lain.

Imigran kaum Cina di Malaysia dan Singapura pada awalnya mempunyai minat yang sedikit terhadap politik. Dibesarkan di kampung-kampung di China selatan di mana golongan bangsawan yang menguasai urusan sosial dan politik mereka, dimana kebiasaanya penduduk kampung mempunyai sedikit keterlibatan dalam proses politik. Pengalaman di kampung asal telah membentuk sikap politik pendatang Cina di negeri baru; mereka acuh tak acuh kepada dan takut kepada politik (Chin-Hwang, 2002). Namun dalam dekad terakhir abad kesembilan belas dan di awal abad kedua puluh, orang Cina di Malaysia dan Singapura telah terlibat secara aktif dalam politik China. Apa yang mengubah sikap politik pendatang Cina awal adalah kebangkitan nasionalisme di kalangan orang Cina di luar negara. Di Malaysia dan Singapura ia telah dinyatakan dalam hubungan emosi yang kuat kepada pemeliharaan identiti budaya, dan kebimbangan untuk masa depan politik China. Hubungan emosi kepada wilayah asal di China berasal terutamanya daripada hubungan etnik dan persaudaraan yang kukuh. Dibesarkan dalam rangkaian persaudaraan yang rumit dan disemai dengan idea Confucian iaitu ketaatan kepada ibu bapa, pendatang Cina awal boleh diumpakan seperti orang tawanan kepada sistem keluarga tradisional Cina di mana kesetiaan utama mereka diletakkan. Malah, ramai daripada mereka hidup serba kekurangan dan bekerja keras untuk menghantar sebahagian besar daripada pendapatan mereka untuk memberi makan ahli keluarga mereka di China (Chin, 1847).
Kaum Cina di Malaysia dan Singapura turut menyampaikan hasrat untuk memelihara identity kebudayaan mereka. Walaubagaimanapun, identiti kebudayaan ini telah dirasakan semakin terancam kesan akibat dikuasai budaya Barat dan budaya Melayu. Imigran awal Cina berdepan dengan pelbagai rintangan, di mana salah satu daripadanya adalah perkahwinan. Adat tradisional Cina dan halangan kerajaan terhadap imigrasi kaum wanita telah menghalang wanita China dari bermigrasi ke Malaysia dan Singapura dalam skala yang besar, menyebabkan beberapa imigran cina yang awal dari kalangan lelaki untuk berkahwin dengan wanita tempatan. Ini telah menghasilkan satu kumpulan yang unik dari percampuran keturunan dikenali sebagai kaum Baba dan Nyonya (Beng, 1979). Dalam masa yang sama, ramai di antara anak kelahiran Cina yang lahir di Malaysia dan Singapura telah dihantar ke sekolah Inggeris untuk menuntut ilmu. Mereka seterusnya terdedah kepada pengaruh budaya Barat dan telah menerima dengan baik nilai dan budaya Barat, mempelajari untuk meletakkan kurang penekanan terhadap nilai kaum Cina dan cara hidup kaum Cina.
Untuk menghalang trend pengaruh budaya Barat dan Baba Nyonya ini, nasionalis budaya Cina telah melancarkan dua gerakan untuk mengembalikan nilai kebudayaan dan adat tradisional kaum Cina pada akhir abad ke sembilan belas dan awal abad ke dua puluh. Pergerakan-pergerakan tersebut adalah gerakan kuliah Lo Shan She dan gerakan kebangkitan Confucian. Gerakan kuliah Lo Shan She yang telah bermula di Singapura pada tahun 1881 dan tersebar kep Melaka, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur pada 1895, bertujuan untuk mengembalikan nilai tradisional masyarakat Cina (Chin-hwang, 1982). Kuliah tetap diadakan pada setiap satu dan lima belas haribulan kalendar Lunar, di mana ia telah menghuraikan Enam Belas Maxims Suci Maharaja K’ang-hsi. Ia mengandungi banyak nilai-nilai Confucian dari ketaatan kepada ibu bapa, kesetiaan kepada kaum, kewajaran dan berjimat cermat, menjadi orang yang mematuhi undang-undang, penolakan doktrin-doktrin palsu dan pengagungan pembelajaran “betul” (Hare, 1894) (Hsiao, 1967). Dalam pada itu, gerakan kebangkitan Confucian, telah dilancarkan di Kuala Lumpur pada September 1899 dan kemudian disebarkan ke Singapura, Melaka, Pulau Pinang dan kemudiannya ke India Timur Belanda pada awal abad ke dua puluh. Ia memberikan fokus yang lebih tajam kepada pengembalian semula nilai-nilai Confucian dalam kalangan masyarakat Cina Asia Tenggara (Ching-hwang, 1976) (Coppel, 1981) (Suryadinata, 1978). Sambutan hari kelahiran Confucius telah digalakkan dan disemai, dan sekolah-sekolah dan kuil-kuil pengamal ajaran Confucius telah diwujudkan di dalam usaha untuk menarik lebih ramai masyarakat Cina di luar negeri Cina untuk bertukar ke arah Confucianism (Ching-hwang, 1976). Usaha-usaha nasionalis budaya masyarakat Cina luar negara ini diperkukuhkan lagi dengan usaha Konsul Ch’ing di Singapura. Salah satu objektif utama Konsulat ini sejak diperkenalkan pada 1877 adalah untuk memupuk kesedaran kebangsaan dalam kalangan masyarakat Cina yang berada di luar negeri Cina. Konsul Ch’ing telah menggalakkan pembelajaran sastera Cina, menganjurkan aktiviti kebudayaan Cina dan memupuk nilai dan budaya masyarakat Cina tradisional. Pada tahun 1882, Konsul Tso Ping-Lung membantu mengatur dan melancarkan sebuah persatuan sastera di Singapura bernama Hui Hsien She (Persatuan untuk Pencapaian Kecemerlangan Sastera), iaitu yang pertama seumpamanya dalam kalangan komuniti masyarakat Cina di Asia Tenggara. Dia bertindak sebagai penaung dan hakim untuk esei dan puisi pertandingan (Hock, 1967). Pengganti Tso, Konsul Besar Huang Tsun Hsien, terus memupuk identiti budaya Cina pada awal tahun 1890-an. Beliau yang menaungi Hui Hsien Shi dan menamakannya kepada T’u Nan Shi, yang bermaksud ‘Persatuan untuk Menghampiri Selatan’. Huang juga menggalakkan aktiviti sastera dengan menawarkan anugerah bagi pemenang pertandingan esei. Beliau juga terus menaungi gerakan kuliah Lo Shan She dan pergerakan kebangkitan Confucian, dan anak-anak lelaki dan perempuan yang terpelihara kehormatannya diberi anugerah kerana menegakkan nilai-nilai Confucian dalam hidup mereka (Chin-hwang, 1982).
Konsul Ch’ing juga berusaha untuk memupuk kesetiaan politik terhadap dinasti. Apabila tiba upacara yang penting seperti sambutan ulangtahun kelahiran Maharaja dan Maharani Dowager, dia akan mengumpulkan pedagang kaya dan pemimpin masyarakat di Konsulat untuk melaksanakan majlis tunjuk taat setia kepada takhta. Manakala pada masa-masa seperti lawatan oleh tetamu kenamaan Ch’ing, orang Cina dari kalangan rakyat biasa telah digerakkan untuk mengalu-alukan pelawat dan untuk menyatakan kesetiaan kepada dinasti (Chin-hwang, 1982).

Proses tuntutan kemerdekaan Malaysia dilicinkan dengan kewujudan kompromi dan permuafakatan antara pemimpin UMNO dengan MCA yang telah dirintis oleh perikatan sejak tahun 1953. Permuafakatan ini memudahkan pencapaian persetujuan rundingan antara kaum menjelang kemerdekaan yang lebih dikenali sebagai ‘racial bargain’. Persetujuan tersebut kemudiannya dimaktubkan dalam Perlembagaan Kemerdekaan 1957 yang memperlihatkan orang Cina memperoleh hak kerakyatan. Dengan adanya hak kerakyatan ini, masyarakat Cina sebenarnya memiliki kuasa berpolitik di negara ini. Para pemimpin MCA mempersepsikan kuasa berpolitik ini begitu penting kepada survival bangsa Cina di negara ini. Keadaan ini mendorong mereka bersetuju untuk menerima kekuasaan politik dan hak istimewa orang Melayu dalam ‘racial bargain’. Mereka beranggapan bahawa keistimewaan dan ketidaksamarataan hak dapat diperbetulkan dengan kuasa politik yang dimiliki. Namun perjalanan sejarah negara ini membuktikan keadaan ini tidak berlaku. Malah kekuasaan politik dan hak istimewa orang Melayu kemudiannya telah digunakan untuk memperjuangkan agenda orang Melayu yang seterusnya menyebabkan penghakisan kepentingan masyarakat Cina.
Peristiwa 13 Mei menandakan satu era baru untuk Malaysia dan Melayu secara khusus. Dengan kerajaan pimpinan Tun Razak dan kemudiannya Dr. Mahathir Mohamad yang lebih komited kepada perjuangan agenda Melayu, maka kekuasaan politik dan hak istimewa orang Melayu mendapat pembelaan yang tuntas berbanding hak orang Cina. Hal ini demikian kerana penyusunan semula kuasa politik negara Malaysia selepas peristiwa rusuhan kaum itu telah mewujudkan ketuanan politik Melayu. Dengan kekuasaan politik ini, pemimpin-pemimpin UMNO mula menggubal dan melaksanakan beberapa dasar negara untuk menjaga kepentingan orang Melayu. Antaranya yang dilaksanakan untuk menjaga kepentingan Melayu adalah Dasar Ekonomi Baru (DEB). Walaupun DEB merupakan hanyalah satu dasar mengenai ekonomi, namun kesannya mencakupi segenap kehidupan. Impaknya dapat dilihat dalam kata-kata dibawah:

Since 1971 when the New Economic Policy was implemented, Malaysia has increasingly become an ethnic hegemonic state as a result of a shift in political and economic resources to the state and the Bumiputera elites. The Malaysian state has gradually become ‘ the Bumiputera state ‘ the implementation of NEP has changed the character of the state’s political, economic, and social control. The content of the NEP has determined, not only the economic conditions, but also the political agenda and social order of Malaysian society.
(Ho, 1988, pp. 2-3)

Perlaksanaan dasar-dasar pro Melayu, terutamaya DEB yang didukungi kuasa hegemoni politik orang Melayu mewujudkan cabaran dan gugatan baru yang tidak pernah dialami oleh komuniti Cina sebelum ini. Kekuasaan UMNO dalam BN telah menyumbang kepada peminggiran politik orang Cina di negara ini (Thock, 2005). Peminggiran kuasa politik ini menyebabkan pemimpin-pemimpin parti politik Cina baik dari MCA, Gerakan ataupun DAP menghadapi cabaran dalam menjaga kepentingan kaum Cina. Keadaan ini telah menyebabkan dilema kepada kaum Cina dalam memilih parti yang akan menjadi wakil kepada suara mereka dan pejuang kepentingan mereka dalam politik Malaysia.

Pembabitan orang Cina secara aktif dalam politik negara ini bermula sejak awal tahun 1950-an. Kecenderungan ini terjadi kerana beberapa peristiwa, umpamanya penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 dan pilihanraya Perbandaran Kuala Lumpur tahun 1952 yang membayangkan penjajah British akan memberikan kemerdekaan kepada negara ini. Dengan perkembangan ini orang Cina mula menyertai kegiatan politik nasional demi melindungi kepentingan dan hak mereka. Mereka berpegang kepada prinsip kesamarataan hak untuk semua kaum di negara ini. Pada anggapan mereka dengan prinsip ini tiada kaum akan diberi layanan istimewa atau didiskriminasikan. Oleh itu apabila para pemimpin persatuan Cina di Tanah Melayu mengetahui MCA terlalu bertolak ansur kepada pemimpin-pemimpin UMNO dalam ‘racial bargain’, mereka telah mengecam hebat tindakan tersebut.
Perjalanan sejarah pembabitan orang Cina dalam politik negara ini menunjukkan perjuangan bagi mendapatkan kesamarataan hak tidak berhenti setakat termeterainya Perlembagaan Kemerdekaan. Ini dapat dilihat dalam perjuangan Dr. Lim Chong Eu ketika menerajui MCA yang seterusnya membawa krisis dalam Perikatan pada tahun 1959 (Thock, 2005). Perjuangan Lee Kuan Yew di bawah slogan ‘Malaysian Malaysia’ pada tahun 1960-an juga berteraskan prinsip tersebut. Kempen hangat pilihanraya umum 1969 yang dikendalikan oleh parti-parti pembangkang Cina dalam beberapa isu, umpamanya pertikaian terhadap hak istimewa orang Melayu mencerminkan arah perjuangan tersebut. Malah perjuangan politik orang Cina pada zaman seterusnya turut bertunjangkan semangat kesamarataan hak (Thock, 1994).
Walaubagaimanapun, perjuangan kesamarataan hak masyarakat Cina telah dikekangi oleh ketuanan kuasa politik Melayu selepas peristiwa rusuhan kaum 13 Mei. Ketuanan Melayu yang wujud meletakkan kedudukan orang Melayu tidak mungkin dicabar oleh orang Cina. Keadaan yang demikian berjaya melenyapkan suara kesamarataan hak masyarakat Cina untuk satu tempoh yang agak lama. Suara tersebut hanya timbul semula pada pertengahan tahun 1980-an. Dengan ketuanan politik UMNO dalam BN, kuasa tawar-menawar parti-parti politik Cina iaitu MCA dan Gerakan semakin merosot dan menjadi lemah (Vasil, 1980).
MCA merupakan parti dominan yang mewakili masyarakat Cina menjelang kemerdekaan. Penubuhan parti tersebut dalam tahun 1949 yang bertunjangkan perjuangan hak dan kepentingan orang Cina telah mendapat sambutan yang baik dari komuniti itu. Namun tahun 1960-an pula menyaksikan popularitinya dan pengaruhnya merosot akibat kegagalan dalam menegakkan kepentingan masyarakat Cina, terutamanya isu bahasa dan pendidikan Cina. Parti itu menerima tamparan paling buruk dalam pilihan raya umum tahun 1969 apabila kebanyakan orang Cina yang menyisihkan calonnya dalam pengundian menyebabkan MCA hanya memenangi 13 kerusi daripada 33 kerusi yang ditandingi. Kesannya, para pemimpin UMNO beranggapan bahawa peranan MCA dalam kerajaan patut dikurangkan dan UMNO perlu diberikan satu kedudukan yang lebih dominan( Vasil, 1980). Parti itu turut diberi amaran oleh Dr. Ismail Abdul Rahman agar ‘tidak hidup segan mati tak mahu'(Milne & Mauzy, 1982). Kekalahan pahit tersebut ternyata menghakis kewibawaan MCA sebagai pejuang suara orang Cina. Senario ini sudah pasti membawa impak yang mendalam terhadap keberkesannya dalam BN, apatah lagi parti itu terpaksa menghadapi hegemoni UMNO dalam dimensi baru politik negara Malaysia selepas tahun 1969.
MCA yang diasaskan oleh golongan atasan dalam masyarakat Cina, terutama saudagar-saudagar Cina sehingga parti itu selalu dilabel sebagai sebuah parti tauke (Lee, 1987). Walaupun barisan pimpinan parti itu telah diterajui oelh golongan berpendidikan dan professional dalam tahun 70-an dan 80-an, namun label itu sukar lupus daripada tanggapan orang ramai. Hal ini demikian kerana parti itu terus menerus terbabit dalam perniagaan (Thock, 2005). Bermula dengan Koperatif Serbaguna Malaysia (KSM) pada tahun 1968, MCA mengorak langkah menubuhkan MPHB dalam tahun 1975 dan seterusnya melancarkan Gerakan Pengkorporatan (The Corporatisation Movement) pada awal tahun 1980-an. Malah pada tahun 1990 parti itu dikatakan terbabit dalam pengambilalihan MPHB oleh Kamunting Corporation Bhd. (Gomez, 1994).
Pembabitan MCA dalam perniagaan telah menghakis keberkesanannya sebagai pelindung hak dan kepentingan kaum Cina. Fenomena ini menyebabkan hala tuju perjuangan parti yang sepatutnya bersandarkan kepentingan komuniti Cina telah dikaburkan oleh kepentingan perniagaan milikan parti ataupun pemimpin-pemimpin tertentu. Keadaan ini dapat dilihat dalam kes penyelewengan dana MPHB oleh Tan Koon Swan bagi menyelamatkan syarikat perniagaannya (Thock, 2005). Ini pula diikuti oleh beberapa orang pemimpin MCA yang melakukan pecah amanah dalam skandal Koperasi Penerima Deposit.
Dalam pada itu, sebagai sebuah parti komponen dalam badan pemerintah iaitu BN yang menguasai sumber-sumber ekonomi negara, MCA turut memperoleh agihan kepentingan ekonomi. Umpamanya ahli-ahli Majlis Perbandaran dan Daerah dari MCA dilaporkan berupaya mendapat tender-tender kerajaan. Trend ini mendorong ramai ahli MCA menganggap jawatan dalam parti itu sebagai laluan memperoleh kekayaan. Oleh yang demikian parti itu dikatakan diresapi utilitarianisme yang menebal dan hanya dengan mengejar kepentingan diri barulah seseorang ahli itu dapat melihat manfaatnya dalam parti (Hou, 1993). Dengan kecenderungan ini, maka para pemimpin parti itu di pelbagai peringkat selalu mengambil pendirian dan tindakan yang membelakangi kepentingan masyarakat Cina demi kepentingan dan peluang kerjaya politiknya dalam masyarakat Cina demi kepentingan dan peluang kerjaya politiknya dalam kerajaan. Keadaan ini dapat digambarkan melalui kata-kata di bawah:
Unable to champion communal cause vigorously under the hegemonial rules established by UMNO and certainly unwilling to risk being dismissed from participating in government, the non-Malay political elites could not avoid the steady erosion of their communal base of support to the DAP.
(Chee, 1991, p. 80)
Kegagalan MCA memperjuangkan hak dan kepentingan komuniti Cina mengakibatkan parti itu sukar meraih sokongan pengundi-pengundi Cina. Dalam sesuatu pilihanraya umum sebelum tahun 1995 biasanya MCA dan Gerakan hanya mampu mendapat 20 peratus hingga 30 peratus daripada undi masyarakat Cina (Ho, 1995). Hal ini menyebabkan para pemimpin MCA terpaksa bergantung kepada pengaruh UMNO untuk memenangi pilihan raya. Sudah menjadi satu kebiasaan bagi mereka bertanding di kawasan pilihanraya pengundi Melayu. Menurut Heng Pek Koon (1988) pergantungan ini menyumbang kepada manipulasi oleh pucuk pimpinan UMNO terhadap MCA dengan lebih mudah. Perkembangan ini mengekang MCA untuk memainkan peranan yang efektif dalam masyarakat Cina dan kuasa untuk tawar-menawar dengan UMNO juga terjejas. Dalam hal ini MCA seolah-olah terjerumus ke dalam satu kitaran yang semakin menghakis pengaruhnya dalam masyarakat Cina dan juga kerajaan.
Dilema MCA tidak setakat itu sahaja. Malah parti itu pula dihimpit krisis autoriti. Krisis ini terbentuk kerana MCA semacam sudah hilang kredibiliti dan komuniti Cina tidak menerima kepimpinannya. Punca pertama kepada krisis ini ialah MCA mengalami satu siri perebutan kuasa yang tidak berkesudahan. Yang menyedihkan orang Cina ialah hampir kesemua perebutan kuasa ini tidak berkaitan dengan perjuangan untuk menegakkan kepentingan kaum Cina. Hanya perebutan kuasa tahun 1958 antara Dr. Lim Chong Eu dengan Tan Cheng Lock merupakan satu kekecualian (Thock, 2005). Kerenggangan hubungan MCA dengan persatuan-persatuan kaum Cina juga menjadi sebab kedua dalam masalah ini. Pendirian MCA yang tidak sehaluan dengan pertubuhan Cina dalam soal bahasa dan pendidikan Cina menjadikannya sebagai sasaran kecaman kaum Cina. Faktor ketiga ialah hambatan dan ketidakeberkesanan parti itu berfungsi di bawah satu kerangka sistem politik yang bukan berdasarkan konfusianisme (Ho, 1995). Hal ini demkikan kerana ketuanan politik Melayu telah menyekat corak kepimpinan MCA.
Dilema yang semakin menghimpit sebenarnya telah memaksa MCA mengambil tindakan yang lantang. Ini dapat dilihat melalui tindakan parti itu membuat tiga kali ugutan untuk keluar daripada BN dari tahun 1986 hingga 1988 (Thock, 2005). Punca kepada ugutan 1986 ialah kelewatan kerajaan membantu pendeposit-pendeposit yang terhimpit dalam skandal Koperasi Penerima Deposit. Ugutan kali kedua berpunca daripada penempatan pentadbir tanpa kelayakan bahasa Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). Manakala ugutan pada tahun 1988 pula berpunca daripada kegagalan kerajaan melayani tuntutan-tuntutan masyarakat Cina. Kewibawaan MCA sebagai pembela kepentingan masyarakat Cina yang semakin tergugat telah mendorong parti itu mengambil langkah drastic demikian. Namun di bawah ketuanan politik Melayu UMNO, tindakan tersebut kurang mendatangkan hasil.
Walaupun MCA merupakan parti dominan masyarakat Cina pada waktu kemerdekaan, tetapi kemunculan DAP dan Gerakan dalam tahun 60-an juga mempengaruhi peranannya. Denga kemunculan ini, maka politik orang Cina di Semenanjung Malaysia dikatakan berlandaskan tiga pendekatan yang diwakili oleh MCA, DAP dan Gerakan (Lee, 1987). Dalam hal ini, MCA dan Gerakan yang menganggotai BN terpaksa akur dengan hegemoni politik UMNO. Manakala DAP memainkan peranan sebagai pendesak dan pengkritik kepada dasar-dasar kerajaan. Sungguhpun parti-parti politik yang membela kepentingan masyarakat Cina bertambah, orang Cina tetap dikekangi denga pelbagai masalah dan dilema. Gerakan dan MCA didapati tidak mahu menonjolkan diri sebagai pejuang kepentingan orang Cina yang tegas agar tidak menyakiti hati para pemimpin UMNO (Thock, 2005). Keadaan ini menyumbang kepada pembentukan kuasa yang saling mengekang kedua-dua buah parti tersebut.
Sementara itu, DAP merupakan parti yang lantang memperjuangkan kesamarataan hak untuk semua rakyat dan kepentingan masyarakat Cina. Sejak bertanding buat julung kalinya di pilihan raya umum 1969 dan memperoleh prestai yang memberangsangkan, parti it uterus bertapak dan merupakan sebuah parti pembangkang yang berpengaruh di negara ini. DAP yang mendapat sokongan orang Cina daripada golongan kelas menengah dan kelas bawahan memiliki kekuatannya di kawasan bandar. Ini bermakna parti itu bersaing dengan MCA dan Gerakan untuk meraih sokogan Cina. Ini dapat dibuktikan apabila pada pilihan raya umum 1986, DAP memenangi 24 kerusi Parlimen berbanding MCA yang hanya mendapat 17 kerusi (Ho, 1995). Keadaan sebaliknya yang memihak kepada MCA telah berlaku pada pilihanraya umum 1995. Trend ini menjelaskan bahawa pola pengundian orang Cina bukan sesuatu yang kekal, tetapi pola ini lebih bersifat menghayun antara dua hujungan mengikut sentiment politik pada ketika itu. Oleh itu DAP tetap berperanan dalam politik masyarakat Cina.

Review this essay:

Name
Rating
Your review: (optional)

Latest reviews:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload the CAPTCHA.