Terdapat beberapa institusi fatwa dalam Islam di Malaysia dan beberapa tempat lain…

Terdapat beberapa institusi fatwa dalam Islam di Malaysia dan beberapa tempat lain. Sejarah tertubuh sesebuah institut fatwa adalah berbeza. Antara tempat yang ditulis adalah di India dan Pakistan, ‘Uthmaniyyah (Mesir, Lubnan, Syria, Turki) dan Malaysia (Melaka, Kelantan, Perlis, Kedah, Perak, Johor, Terengganu, Wilayah Persekutuan, Pahang, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan).

INDIA DAN PAKISTAN

Seorang raja India bersama Muhammad Awrangzib Bahadur Alamkir telah menubuhkan satu jawatankuasa khas yang terdiri daripada ulama yang terkenal di India pada tahun 11 Hijrah dan dipengerusikan oleh Syeikh Nizam Burhanburi supaya menyusun undang-undang Islam untuk perlaksanaan. Jawatankuasa ini telah menyusun undang-undang yang berasaskan mazhab Hanafi. Kumpulan undang-undang ini diberi judul al-Fatawa al-Hindiyyah atau al-Fatawa al-‘Alamkiriyyah. (Abdul Halim El-Muhammady, 1993: 73)

Sebelum kedatangan British, India diperintah oleh kerajaan Mongol yang mengamalkan sistem undang-undang Islam dan adat. Diwani dan Nizamat adalah undang-undang Islam yang meliputi bidang sivil dan jenayah yang diamalkan. (Abdul Halim El-Muhammady, 1993: 83)
Setelah kedatangan British mereka telah mengetepikan perlaksanaan Undang-undang Islam serta ditukar kepada Enactment of Penal Code digubalkan bermula pada tahun 1773. Bidang sivil pula ditukar kepada undang-undang Contract Act 1872 dan Transfer of Property Act 1882. Selain itu, terdapat Undang-undang Pembebasan Hamba1843, Undang-undang Wakaf 1913 dan Undang-undang Syari’ah untuk orang-orang Islam 1937. (Abdul Halim El-Muhammady, 1993: 83)

Kerajaan British mengiktiraf undang-undang Islam dan adat dalam bidang Undang-undang Diri dan Keluarga sahaja. Seterusnya, pada tahun 1772 digubal pula undang-undang yang menetapkan bahawa undang-undang Islam dikuatkuasakan pada perkara berkaitan dengan pusaka, perkahwinan dan adat-adat yang berkaitan dengan orang-orang Islam. Dalam setiap permasalahan yang timbul dikalangan orang-orang Islam, para hakim dan ahli perundangan yang terlibat merujuk kepada kitab-kitab Fiqh mazhab Hanafi seperti kitab al-Hidayah, al-Fatwa al-Hindiyyah al-‘Alamkiriyyah dan lain-lain. (Abdul Halim El-Muhammady, 1993: 84)
Justeru itu, untuk mengukuhkan undang-undang Islam pemimpin Islam menentang dan memberontak sehingga penjajah British terpaksa memecahkan benua kecil India kepada dua negara pada tahun 1947 iaitu India untuk penganut Hindu dan Pakistan untuk penganut Islam. Kejayaan pejuang sehingga dapat menubuhkan negara Pakistan adalah bawah kepimpinan Muhammad Ali Jinnah. Setelah Pakistan diisytiharkan sebagai sebuah negara merdeka pada tahun 1949 mereka meletakkan prinsip diantaranya ialah demokrasi, kebebasan, kesamarataan dan keadilan sosial yang tidak bercanggah dengan Islam. (Abdul Halim El-Muhammady, 1993: 84)
‘UTHMANIYYAH
Kerajaan ‘Uthmaniyyah telah terdedah kepada perkembangan Barat pada abad ke 19 Masihi Mereka melihat ada kepentingan dan kelebihan perhubungan dengan dunia Barat, maka mereka menyusun undang-undang Islam sesuai dengan penyusunan yang ada pada undang-undang Barat, terutama dalam bidang sivil. Satu jawatankuasa ditubuhkan yang diberi nama Jawatankuasa Pengumpulan Majalah (Lujnah Jam’iyyah al-Majallah). Jawatankuasa ini dianggotai oleh tujuh orang anggota yang diketuai oleh Ahmad Jawdat Basya. Pada tahun 1285/1869M Jawatankuasa ini mula menjalankan tugas. Majallat al-Ahkam al-‘Adliyyah diisytiharkan sebagai undang-undang pada tahun 1293H oleh pemerintah. (Abdul Halim El-Muhammady, 1993: 73) Perlaksanaan ini dijalankan ke atas Turki dan di beberapa buah negara lain di bawah pemerintahan kerajaan ‘Uthmaniyyah yang berkuatkuasa dalam negara tersebut sehingga berlakunya Perang Dunia Kedua. (Abdul Halim El-Muhammady, 1993: 74)
Dari segi teksnya, susunannya atau rohnya Undang-undang ini sebahagian besarnya berasaskan undang-undang Perancis dan tidak berasaskan undang-undang Islam, serta terdapat banyak perbezaan dan percanggahan dengan undang-undang Islam. Contohnya, hukuman potong tangan ke atas pencuri tidak diperuntukkan dalam Undang-Undang Jenayah, begitu juga dalam Jenayah zina tidak ada peruntukan hukuman rejam dan sebat dan amalan riba dibenarkan dalam Undang-undang Sivil. Terdapat pengubahsuaian terhadap undang-undang Islam kesan daripada perkembangan baru ini iaitu pada tahun 1876 dalam bidang mu’amalat di mana diubah undang-undang al-Ahkam al-Adliyyah serta Undang-undang Hal Kekeluargaan pada tahun 1917. (Abdul Halim El-Muhammady, 1993: 77-78)
a. Mesir
Muhammad Qadri Basya melakukan penyusunan undang-undang yang mengandungi tiga bahagian iaitu undang-undang kekeluargaan, undang-undang waqaf dan undang-undang sivil. Mursyid al-Hayran ila Ma’rifat Ahwal al-Insan diberi nama kepada undang-undang ini serta mengandungi 1045 artikel dan dibuat dalam bentuk artikel penyusunan yang ringkas. (Abdul Halim El-Muhammady, 1993: 74) Terdapat usaha yang dilakukan oleh Rabitat al-‘Alami al-Islami, Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah di Mesir, Majlis al-A’la li al-Syu’un al-Islamiyyah di Mesir selain daripada penyusunan di atas. (Abdul Halim El-Muhammady, 1993: 75)
Semasa era pemerintahan Fatimiyyah, mazhab Syafie adalah mazhab asas ketika itu. Akan tetapi telah berubah kepada mazhab Hanafi ketika zaman pemerintahan ‘Uthmaniyyah. Undang-undang Islam telah diamalkan sejak awal penerimaan Islam. Undang-undang Majallah al-Ahkam al-‘Adliyyah tidak dikuatkuasakan serta bidang kuasa Mahkamah Syarak dihadkan setelah Mahkamah Sivil diwujudkan pada zaman pemerintahan ‘Uthmaniyyah. Muhammad Qadri Basya menyusun sebanyak 647 artikel yang diperuntukkan khusus untuk Mahkamah Syar’iah. (Abdul Halim El-Muhammady, 1993: 81)
Pada tahun 1973, Perjanjian Montro telah dimeteraikan untuk memansuhkan Mahkamah Campuran. Pada 16 Julai 1944, Undang-undang Sivil dilaksanakan dan penyusunan semula undang-undang Mesir serta berkuatkuasa pada 15 Oktober 1949. Dr. Abdul Razak al-Sanhuri mengetuai jawatankuasa yang menyusun undang-undang ini. Terdapat empat sumber iaitu undang-undang Sivil Mesir dahulu, keputusan-keputusan mahkamah, undang-undang Islam dan undang-undang Eropah dalam undang-undang Sivil yang baharu. (Abdul Halim El-Muhammady, 1993: 81-82)
b. Lubnan
Lubnan secara menyeluruh mengamalkan undang-undang kerajaan ‘Uthmaniyyah termasuklah undang-undang al-Ahkam al-‘Adliyyah semasa di bawah pemerintahan kerajaan ‘Uthmaniyyah. Pada tahum 1926 selepas berlaku Perang Dunia Pertama, Lubnan telah jatuh ke tangan Perancis dan berada di bawah French Mandate. Pada 9 November 1943 telah digubal perlembagaan baru setelah French Mandate dihapuskan kerana mendapat penentangan hebat dari rakyat. (Abdul Halim El-Muhammady, 1993: 78)
c. Syria
Pada peringkat awal, Syria mengamalkan undang-undang ‘Uthmaniyyah kecuali Undang-Undang Milik selepas jatuh ke tangan Perancis. Pada 1930, Syria mengamalkan undang-undang Milik yang dikuatkuasakan di Lubnan. Perkembangan yang penting dalam sejarah undang-undang di Syria adalah penggubalan undang-undang Sivil. Pada Jun 1949, berlaku pembatalan undang-undang sebelumnya termasuklah undang-undang al-Ahkam al-‘Adliyyah kerana penguatkuasaan undang-undang Syria yang baru No. 84. (Abdul Halim El-Muhammady, 1993: 79)

d. Turki
Turki berada di bawah kerajaan ‘Uthmaniyyah dan mengamalkan undang-undang kerajaan ‘Uthmaniyyah. Akan tetapi sejak akhir zaman pemerintahan kerajaan ‘Uthmaniyyah berlaku perubahan dalam undang-undang Barat di Turki. Perubahan berlaku apabila Mustafa kamal Atartuk berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan dan mengisytiharkan Republik Turki pada 29 Oktober 1923. Semasa pemerintahannya Mustafa Kamal telah menghapuskan Mahkamah Syari’ah, jawatan Syaikh al-Islam, menukar huruf Arab kepada huruf Latin dan menukar al-Quran kepada huruf Latin serta menghapuskan sebarang unsur Islam dengan membawa idea sekular dalam pemerintahan. Justeru itu, mereka menghapuskan semua undang-undang al-Ahkam al-‘Adliyyah dan undang-undang Syariah lain. Selain itu, Turki telah mengambil Undang-undang Obligasi dan Sivil Switzerland untuk dijadikan Undang-undang Turki tanpa sebarang perubahan besar dilakukan kecuali hanya perkara-perkara kecil seperti had ‘cukup umur’ ditukar kepada 19 tahun bagi orang Turki menggantikan umur 20 tahun bagi orang Switzerland pada tahun 1926. (Abdul Halim El-Muhammady, 1993: 82)
Turki masih mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi, akan tetapi hanya pada nama dan tidak memberi impak terhadap undang-undang. Peruntukan ini tidak melibatkan perkara undang-undang dan pentadbiran negara hanya sekadar untuk memenuhi kepercayaan dan keyakinan. (Abdul Halim El-Muhammady, 1993: 83)
MALAYSIA
i. Melaka
Undang-undang Qanun Melaka dan Qanun Laut Melaka, termasuk juga Qanun Pahang. Qanun Melaka digubal pada tahun 1444M antara undang-undang Islam yang lebih awal dan menyeluruh kandungannya daripada al-Ahkam al-‘Adliyyah. (Abdul Halim El-Muhammady, 1993: 75)
Sultan Iskandar Syah, Sultan Melaka pertama yang dikenali sebagai Parameswara telah menukar namanya setelah menganut agama Islam serta telah menerima undang-undang Islam sebagai undang-undang negara. Qanun Melaka dan Qanun Laut Melaka diantara undang-undang Melaka yang digubal oleh Hang Sidi Ahmad. Undang-undang yang dikuatkuasakan di negeri Melaka adalah Qanun Melaka dan undang-undang yang dilaksanakan di atas kapal adalah Qanun Laut Melaka. (Abdul Halim El-Muhammady, 1993: 84)
Semua orang Islam yang tinggal di Melaka dikehendaki untuk berpegang kepada fatwa yang telah diwartakan dalam warta Kerajaan sebagai ajaran agama dan menjadi kewajipannya untuk mengikutinya. Sesuatu fatwa hendaklah diiktiraf oleh semua mahkamah dalam negeri Melaka untuk dikategorikan sebagai yang berkuasa penuh dalam perkara yang ditetapkan itu. (Hasnan Kasan, 2001: 54)
ii. Kelantan
Pada tahun 1885, Tuan Hj. Wan Daud bin Wan Sulaiman telah dilantik secara rasmi sebagai jawatan mufti negeri Kelantan. Tarikh simbolik kepada jawatan mufti kerana tugas mufti telah dijalankan oleh penasihat Sultan pada tahun 1830an. Sementara, catatan pelantikan Tuan Syeikh Daud al-Bahrain dilihat sebagai bukan atas jawatan mufti tetapi sebagai guru istana pada abad ke 19H. (Noor Naemah Abd. Rahman, 2004: 190)
Selain itu, mufti merupakan ahli tetap Majlis Mesyuarat Negeri dan penyelia kepada institut masjid dan surau, menyelia kutipan zakat dan fitrah, menjadi tempat rujukan bagi Sultan dalam menyelesaikan kes-kes di Mahkamah Balai serta tugas pengadilan di mahkamah. Seterusnya, dalam urusan pentadbiran agama Islam, mufti masih merupakan tokoh utama di mana pentadbiran Mahkamah Syariah keseluruhannya berada di bawah penyeliaan mufti yang meliputi urusan pemilihan dan pelantikan kadi serta hal-hal berkait dengan peraturan-peraturan mahkamah. (Noor Naemah Abd. Rahman, 2004: 190)
Pada 24 Disember 1915, telah ditubuhkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Antara tugasnya ialah memungut dan menyimpan zakat, menyelaras harta Baitul Mal, memelihara tempat-tempat ibadat, menjaga tanah perkuburan orang Islam, mengembangkan pelajaran agama Islam dan lain-lain. Mufti Kelantan iaitu Haji Wan Muhammad bin Haji Abdul Samad telah dilantik untuk menguruskan Majlis ini (Muhammad Husain 1970). (Hasnan Kasan, 2006: 181)
Kelantan adalah pusat pengembangan agama Islam yang terpenting di Kepulauan Melayu. Pada tahun 1918, sultan telah mengarahkan untuk menubuhkan Dewan Permesyuaratan Ulama’ (Muhammad Khaldun, 1991) kerana banyak pertanyaan berkenaan hukum syarak. Ketika itu mufti menjadi ketua Dewan Ulama’. Pada 23 September 1919, Haji Wan Muhammad (mufti) telah dilantik untuk menganggotai Dewan Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bertujuan untuk menjelaskan masalah yang menyentuh agama Islam dalam Dewan. Setelah penubuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Kelantan jawatan mufti yang diwartakan hanya wujud pada tahun 1915, tetapi mufti Negeri Kelantan telah ada sejak pemerintahan Sultan Muhammad II. Syed Daud bin Syed Muhammad dilantik oleh baginda sebagai Mufti yang pertama (Muhammad Khaldun 1991). (Hasnan Kasan, 2006: 182)
iii. Perlis
Raja Melayu mempunyai kuasa penuh dalam hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu kerana Raja Melayu dianggap sebagai ketua agama Islam dan adat Melayu semasa pemerintahan Siam dan Inggeris (Azizan Khalid Ahmad 1970). Pada tahun 1920, Majlis Agama Islam Perlis ditubuhkan oleh Sultan Syed Putra dan pentadbiran dilaksanakan mengikut Undang-Undang Mahkamah Syariah yang dikuatkuasakan sejak pemerintahan Syed Alwi (1905-1943).
Pada tahun 1930, Perlis secara rasminya berada di bawah perlindungan Inggeris setelah mengikat perjanjian dengan Inggeris. Lantaran itu, kerajaan Perlis perlu menerima Inggeris sebagai penasihat dalam hal ehwal pentadbiran awam kecuali dalam hal ehwal agama dan adat istiadat. Kerajaan negeri Perlis telah menubuhkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis pada 12 Januari 1948 selepas Perlis dimasukkan ke dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu. Pertubuhan ini dilakukan untuk mengendalikan hal ehwal agama yang menggantikan Undang-Undang Mahkamah Syariah. Pada tahun 1963, Jabatan Agama Islam Perlis di tubuhkan pada tahun yang sama di Kangar berikutan Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam Perlis No.3 diluluskan pada tahun itu. (Hasnan Kasan, 2006: 177)
Selain itu, telah ditubuhkan 3 jawatankuasa kecil iaitu Jawatankuasa Syariah, Jawatankuasa Mahkamah Kadi dan Jawatankuasa Ulang Bicara yang terdiri daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis, Mahkamah Syariah dan Bahagian Mufti untuk perlaksanaan tugas utama Majlis Agama Islam, untuk memberi nasihat kepada raja mengenai hal yang berkaitan agama Islam dan adat Melayu (Minami Ibrahim 1993). Tuan Haji Muhammad Nor bin Haji Muhammad telah berkhidmat dari tahun 1920 hingga 1941 sebagai Mufti pertama yang dilantik (Othman Ishak 1981). (Hasnan Kasan, 2006: 178)
Selain itu, perlu disiarkan dalam Warta Kerajaan dan diiktiraf oleh mahkamah-mahkamah yang ditubuhkan di bawah undang-undang bertulis bagi Negeri Perlis tentang sebarang keputusan yang diberikan oleh Raja Pemerintah atau fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis. Serta tidak disebut fatwa yang diwartakan dikenakan terhadap semua orang Islam yang tinggal di negeri itu. (Hasnan Kasan, 2001: 56)

 

Leave a Comment

Time limit is exhausted. Please reload the CAPTCHA.