Essay: Cabaran ketujuh dalam Wawasan 2020 adalah bagi mewujudkan masyarakat... - Essay Marketplace

Essay: Cabaran ketujuh dalam Wawasan 2020 adalah bagi mewujudkan masyarakat…

Definisi:
Cabaran ketujuh dalam Wawasan 2020 adalah bagi mewujudkan masyarakat penyayang atau dalam bahasa Inggerisnya ‘caring society’ dan budaya penyayang. Masyarakat penyayang dan budaya penyayang menurut tafsiran YAB Tun Dr. Mahathir adalah sebagai sistem sosial yang menekankan supaya mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri di mana kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan tetapi meliputi sekeliling keluarga yang kukuh. Dengan kata lain, masyarakat penyayang ialah masyarakat yang hidup bermuafakat bersama semua warganya yang mesra dan saling bertimbang rasa. Setiap individu harus saling hormat menghormati dan faham memahami sesuai dengan peribahasa ”yang muda menghormati yang tua dan yang tua mengasihi yang muda”.
Matlamat Masyarakat Penyayang
1. Membentuk sebuah negara maju.
Tun Dr. Mahathir Mohammad telah menyatakan bahawa matlamat utama yang harus dituju ialah Malaysia menjadi sebuah negara yang maju menjelang tahun 2020. Sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi, kita seharusnya menyahut seruan ini dengan menjadi negara maju mengikut rencah kita sendiri bukan mengikut acuan negara maju yang sudah sedia ada. Oleh sebab itu, matlamat Wawasan 2020 yang utama adalah pembentukan sebuah negara Malaysia yang maju dari segala aspek meliputi ekonomi, politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan. Malaysia diharap bakal menjadi sebuah negara perindustrian yang maju tetapi masih mengekalkan nilai-nilai murni, menikmati taraf hidup yang tinggi, keadilan sosial, keamanan serta bangga terhadap negara kita. Keadaan sebegini akan membolehkan negara memupuk tenaga dan wang bagi program-program pembangunan daripada menggunakannya untuk mengatasi masalah sosial. Tanpa melahirkan insan yang berjiwa penyayang, kita akan mengulangi kesalahan negara maju yang sedia ada dimana walaupun mereka telah maju, rakyat mereka masih lagi dibelenggu dengan keruntuhan moral yang amat membimbangkan.

2. Memelihara maruah negara.
Pemupukan masyarakat penyayang ialah bagi membangunkan sebuah negara yang stabil kerana asas kestabilan sesebuah negara adalah terletak kepada kestabilan masyarakatnya sendiri. Kestabilan masyarakat amat penting untuk pengukuhan ekonomi dan politik sesebuah negara. Rakyat yang stabil dari segi jasmani, emosi, rohani dan mental malahan turut peka pada tanggungjawab bersama akan dapat mewujudkan negara yang aman dan harmoni. Dengan kekuatan ini, negara dapat dihindari daripada dicerobohi oleh kuasa-kuasa asing. Keadaan sebegini amat penting kerana penjajahan pada alaf baru yang serba canggih ini tidak dilakukan melalui kekuatan tentera tetapi melalui kecanggihan sistem teknologi maklumat yang dimiliki oleh mereka.

3. Mengekalkan nilai dan budaya ketimuran.
Sejak zaman dahulu lagi, rakyat Malaysia memang terkenal dengan mempunyai amalan nilai-nilai murni dan budaya masyarakat timur seperti hormat-menghormati, tolong-menolong, bertimbang rasa, berhemah, peramah, bekerjasama dan banyak lagi. Apabila datangnya kuasa barat ke negara ini, mereka telah membawa bersama pengaruh negatif dari barat seperti sifat angkuh, sombong, materialistik, individualistik, dan penindasan serta banyak lagi sehingga menyebabkan nilai-nilai murni yang sedia ada diamalkan terhakis begitu sahaja. Dengan adanya pengenalan konsep masyarakat penyayang ini diharapkan ianya dapat membantu mengembalikan semula nilai-nilai ketimuran yang semakin dipinggirkan oleh warganegara Malaysia pada masa kini.

Rasional pengenalan konsep masyarakat penyayang
1. Masalah gejala sosial di kalangan remaja masa kini.
Pada era siber ini, gejala sosial diihat semakin berleluasa melanda masyarakat pada masa kini. Dalam kalangan remaja misalnya, gejala-gejala sosial seperti melepak, lumba haram, penagihan dadah dan macam-macam lagi dilihat semakin bermaharajalela di negara yang kita cintai ini. Masalah-masalah ini perlu diatasi dengan sepantas yang mungkin kerana ianya boleh mencacatkan malahan mengagalkan impian ke arah Wawasan 2020. Jika diteliti dengan baik, gejala-gejala ini tidak akan wujud sekiranya semua pihak memainkan peranan untuk mengawasi, menasihati serta membetulkan tingkah laku anak-anak remaja pada masa kini.

1. Kurangnya amalan kemasyarakatan.
Nilai-nilai kemasyarakatan dan kemanusiaan yang diamalkan oleh nenek moyang kita pada zaman dahulu semakin luput dalam kamus hidup generasi masa kini. Ramai jiran pada masa kini tidak mengenali sesama mereka jauh sekali untuk mengambil tahu perihal anak-anak jiran mereka. Sifat individualistik seakan sudah sebati dalam diri setiap masyarakat pada masa kini dimana mereka lebih suka mengambil sikap untuk tidak ‘menjaga tepi kain orang lain’ dengan lebih mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan perihal orang lain. Bukan itu sahaja, masyarakat kini juga lebih suka mengejar kemewahan dan kesenangan sesuai dengan sikap materialistik mereka. Selain itu, kecanggihan teknologi maklumat pada zaman ini juga turut menjadi punca kerenggangan semangat kemasyarakatan dalam kalangan masyarakat Malaysia bahkan dunia.

2. Masalah pengabaian warga tua.
Seiring dengan kehidupan masyarakat kini yang lebih mementingkan kemewahan dan kesenangan telah menyebabkan sifat kasih sayang kepada keluarga semakin pudar dalam jiwa mereka. Keadaan sebegini telah menyebabkan nasib golongan tua tidak sebaik dan tidak terjamin berbanding dahulu. Masyarakat kini beranggapan bahawa warga tua merupakan golongan yang tidak produktif, memnyusahkan dan juga banyak kerenah. Sering kita lihat pada masa kini juga di media massa golongan tua ini dibiarkan hidup mengemis dan merempat di luar sana. Keadaan sebegini berlaku kerana kurangnya nilai kasih sayang dan hormat-menghormati baik dari kalangan anak-anak mahupun golongan dewasa.

Cara-cara mewujudkan masyarakat penyayang
1. Peranan keluarga.
Keluarga merupakan golongan yang paling rapat dalam kehidupan seseorang. Maka, asas yang paling ampuh untuk membudayakan satu golongan masyarakat penyayang adalah melalui institusi keluarga. Ibu bapa haruslah mewujudkan sebuah suasana yang penuh dengan kasih sayang dan mengambil berat dalam membesarkan anak-anak supaya nilai kasih sayang itu akan dipraktikkan oleh anak-anak apabila mereka dewasa kelak seterusnya, dapat melahirkan seorang insan yang berkualiti.

2. Peranan masyarakat.
Sebagai masyarakat yang mengingikan kehidupan yang penuh dengan nilai kasih-sayang, kita seharusnya membantu untuk merealisasikan budaya masyarakat penyayang. Sebagai contoh, kita seharuslah mempratikkan semula amalan ziarah-menziarahi jiran tetangga ataupun saudara mara, tolong-menolong, bergotong-royong dan sebagainya pada hari-hari biasa mahupun pada perayaan tertentu. Dengan melakukan aktiviti sebegini, kita dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara anggota keluarga dan juga masyarakat. Di samping itu, kita juga haruslah mempratikkan amalan memberi tanpa mengharapkan balasan terhadap bantuan yang diberi. Melalui cara ini, ianya diharap dapat membantu untuk memupuk komuniti masyarakat Malaysia yang sentiasa ikhlas dalam membantu seseorang tanpa mengharapkan apa-apa pulangan.

3. Peranan kerajaan.
Kerajaan merupakan satu platform yang paling penting dalam usaha untuk mewujudkan sebuah masyarakat penyayang. Kerajaan haruslah sentiasa bersedia untuk menyediakan satu alternatif untuk mewujudkan masyarakat penyayang. Kerajaan haruslah menlaksanakan dasar-dasar tertentu dalam usaha untuk menerapkan budaya masyarakat penyayang. Sebagai contoh, kerajaan melaksanakan dasar ”Penerapan Nilai-nilai Islam” yang menyeru supaya masyarakat mengamalkan nilai-nilai islam dalam kehidupan seharian. Melalui cara ini, ia bukan sahaja dapat mewujudkan budaya masyarakat penyayang, bahkan ia turut dapat memberikan imej yang baik terhadap agama islam di samping dapat menarik kaum lain untuk mengenali islam. Di sampan itu, kerajaan juga boleh mengadakan kempen-kempen melalui media massa seperti program ‘Keluarga Bahagia’, ‘Cintai Sungai Kita’ dan banyak lagi bagi menerapkan budaya masyarakat penyayang dalam kalangan masyarakat terhadap sesame manusia bahkan terhadap alam semulajadi.

Review this essay:

Name
Rating
Your review: (optional)

Latest reviews:

★★★★★
5 5 1
Very useful for STPM students.. Thank you very much...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload the CAPTCHA.