Essay: Dalam era moden, sejarah telah mencatatkan bahawa idea penubuhan ... - Essay Marketplace

Essay: Dalam era moden, sejarah telah mencatatkan bahawa idea penubuhan …

PENGENALAN
Dalam era moden, sejarah telah mencatatkan bahawa idea penubuhan bank tanpa faedah telah mula dibahaskan sejak akhir tahun 1940-an lagi (Ahmad, 1987). Idea awal penubuhan sistem perbankan yang berlandaskan prinsip untung rugi (profit and lost sharing) dikesan melalui penulisan Anwar Qureshi (1946), Naiem Siddiqi (1948) dan Ahmad (1952) diikuti dengan huraian dan penjelasan yang lebih lanjut melalui tulisan al-Maududi (1950) (Za’tary, 2008).
Idea tersebut berjaya direalisasikan di sekitar tahun 1960-an apabila munculnya model perbankan Islam pertama yang diasaskan oleh Ahmad al-Najjar yang mula beroperasi pada 25 Jun 1963 di sebuah pekan kecil Mit Ghamr, 40 batu di utara Kaherah, Mesir. Namun begitu, operasi bank Islam pertama ini berakhir pada tahun 1967 (Ready, 1967). Walaupun projek ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat Islam Mesir, namun ia terpaksa dihentikan pada tahun 1967 kerana tidak mendapat sokongan daripada pihak kerajaan. Kewujudan bank ini dapat membuktikan bahawa aktiviti perbankan perdagangan dapat beroperasi berdasarkan kontrak-kontrak yang tidak melibatkan faedah, sekaligus dapat memenuhi arahan tegahan melibatkan diri dalam aktiviti riba (Khan, 1987).
Pada akhir tahun 1972, menteri-menteri luar negara Islam dijemput ke Jeddah untuk membentuk sebuah jawatankuasa khas bagi menyediakan perjanjian bank Islam bersama. Sebagai susulannya, dalam tahun 1973 dan 1974, menteri-menteri kewangan negara-negara Islam telah mengadakan dua mesyuarat di Jeddah yang akhirnya membawa kepada penubuhan Bank Pembangunan Islam (IDB) dengan modal berbayar sebanyak 2 bilion dinar pada tahun 1975. Bank ini merupakan satu-satunya institusi kewangan Islam antarabangsa yang ditubuhkan untuk membantu memajukan ekonomi dan sosial negara-negara Islam dan umatnya dengan mematuhi kontrak-kontrak yang berteraskan syariah (Mohamed, 1988).
Sebelum melangkah lebih jauh, penyelidik akan membincangkan terlebih dahulu sejarah sistem perbankan di Malaysia yang dimulai dengan perbankan konvensional dan seterusnya diikuti pula sejarah penubuhan bank Islam. Sistem perbankan wujud di Malaysia sejak tercetusnya Perang Dunia Pertama di Tanah Melayu. Bank asing yang terawal ditubuhkan di Malaysia ialah Chartered Merchantile of India yang beroperasi di Pulau Pinang pada tahun 1859 disusuli oleh Chartered Bank pada tahun 1875 dan diikuti pula oleh Hong Kong & Shanghai Bank pada tahun 1877 (Cheah, 1997). Operasi perbankan yang semakin bergerak maju dan lancar membawa kepada penubuhan satu lagi bank asing iaitu Algemence Bank Nederlandshe pada tahun 1888. Pada tahun-tahun yang berikutnya, bank-bank asing yang lain juga telah ditubuhkan dan sistem perbankan semakin bertambah efektif dalam menawarkan perkhidmatan perbankan di seluruh negara (Ahmad Shamsul, Khuzaimah & Rosmawani, 2007).
Setelah beberapa tahun bank-bank asing menjalankan operasi perbankan di negara ini dan mendapat sambutan yang menggalakkan, bank tempatan memulakan operasinya dengan penubuhan bank tempatan yang pertama iaitu Kwong Yik Bank pada tahun 1913 di negeri Selangor (Ahmad Shamsul et al., 2007). Bank Of Malaya pula ditubuhkan pada tahun 1920 dan menjalankan operasinya di Ipoh, Perak dan diikuti oleh Oriental Bank of Malaya pada tahun 1930 dan Kwong Lee Bank pada tahun 1934 yang beroperasi di luar Semenanjung iaitu di Sarawak. Perang Dunia Kedua menyebabkan keseluruhan sistem perbankan ini musnah dan mulai tahun 1945, usaha-usaha telah dijalankan untuk membangun dan memulihkan bank-bank yang telah ditubuhkan sebelum itu dan juga bank-bank baru termasuk bank yang dimiliki oleh orang-orang Melayu. Bertitik tolak dari itu, sistem perbankan yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) mulai kukuh dan dapat beroperasi sehingga kini (Ahmad Shamsul et al., 2007).
Ordinan Bank Negara Tanah Melayu 1958, yang menubuhkan BNM ditubuhkan secara rasmi pada 26 Januari 1959. Pada masa yang sama, Ordinan Bank 1958, yang menyediakan asas bagi pelesenan dan peraturan perniagaan urusan bank di Persekutuan Tanah Melayu, telah juga dikuatkuasakan (Bank Negara Malaysia dan Sistem Kewangan di Malaysia, 1999). Akta ini mempunyai lapan bahagian dengan setiap bahagian menerangkan tentang penubuhan, modal dan pentadbiran bank. Ia juga menerangkan tentang mata wang yang digunakan untuk berurus niaga, penyediaan aset luaran bagi memulakan perniagaan bank, perniagaan bank, hubungan antara bank dan institusi kewangan yang lain serta tambahan kepada bidang kuasa yang lain (Ahmad Shamsul et al., 2007).
Ordinan ini telah dikaji semula pada tahun 1994 dan kini dikenali sebagai Akta Bank Negara Malaysia 1958 (CBA) (dikaji semula -1994). CBA mendefinisikan BNM sebagai sebuah bank yang menerajui struktur kewangan dan perbankan negara, dengan objektif untuk :
i. mengeluarkan mata wang dan menyimpan rizab bagi menjaga nilai mata wang tersebut;
ii. bertindak sebagai juru bank dan penasihat kewangan kepada kerajaan;
iii. menggalakkan kestabilan kewangan dan struktur kewangan yang baik; dan
iv. mempengaruhi kedudukan kredit bagi kepentingan Malaysia.
Objektif-objektif BNM adalah saling berkait dan melengkapi antara satu sama lain. Disebabkan oleh peranannya untuk mengeluarkan mata wang, BNM mempunyai tanggungjawab utama untuk memastikan paras harga dalam negeri stabil supaya pertumbuhan ekonomi tidak terjejas (Bank Negara Malaysia dan Sistem Kewangan di Malaysia, 1999).
Kemunculan sistem kewangan Islam di mana-mana tempat seringkali dikaitkan dengan kebangkitan Islam dan hasrat umat Islam untuk mengamalkan ajaran Islam secara keseluruhan termasuklah sistem ekonomi. Umat Islam di seluruh dunia umumnya dan di Malaysia khususnya berhasrat untuk melihat terlaksananya sistem kewangan dan perbankan yang berteraskan Islam. Sebelum wujudnya perbankan Islam secara yang bersistematik, masyarakat Islam di Malaysia telah mengamalkan beberapa transaksi yang bebas daripada amalan riba seperti amalan jual janji (Joni, 2005). Amalan ini dilakukan kerana mereka tidak mahu terlibat dengan pembiayaan pinjaman yang berasaskan riba yang diuruskan oleh institusi ceti pada waktu berkenaan. Jual janji (conditional sale/bay’ al-wafa’) adalah antara budaya muamalat masyarakat Malaysia, terutamanya dalam kalangan para petani di Kedah, Perlis, Utara Perak dan Kelantan sebelum zaman penjajahan lagi (Joni, 2005). Transaksi ini bertujuan untuk mendapatkan modal yang bebas daripada riba dalam usaha penanaman padi dan seumpamanya tanpa perlu menemui ceti atau mana-mana institusi kewangan yang mengamalkan riba (Hooker, 1970).
Penelitian terhadap sejarah bangsa Melayu di semenanjung membuktikan adanya kenyataan yang menyatakan wujud secara praktikal aktiviti-aktiviti perbankan dalam acuan ekonomi Islam di kalangan masyarakat Melayu. Sumber-sumber daripada beberapa fakta sejarah tentang kegiatan ekonomi orang Melayu, sebagaimana terdapat dalam tulisan Tun Sri Lanang, Sejarah Melayu dan juga dalam tulisan Raja Ali Haji, Tuhfat al-Nafis jelas mempamerkan usaha-usaha untuk mempraktikkan prinsip ekonomi Islam yang mengharamkan riba dan membenarkan kegiatan komersial berkonsepkan profit-sharing atau pembahagian untung (Hadenan, 2006). Pandangan ini diperkukuhkan lagi dengan klausa dalam Undang-undang Melaka yang menyebut secara jelas tentang pengharaman riba. Dalam fasal 30 Undang-undang Kanun Melaka yang memperuntukkan syarat-syarat sah jual beli dan pinjam-meminjam, dinyatakan dengan jelas hukum haram mengamalkan riba, tidak sah berniaga bagi orang gila dan kanak-kanak belum baligh, orang mabuk arak dan tuak serta sah berwakil dalam jual beli (Fang, 1976: Fasal 30).
Seterusnya penyelidik akan membincangkan pula berkaitan latarbelakang dan perkembangan sistem kewangan Islam di Malaysia. Berdasarkan literatur-literatur yang dirujuk oleh penyelidik, banyak penulisan mengaitkan idea penubuhan sistem kewangan Islam di Malaysia berdasarkan cadangan Profesor Emeritus Ungku Aziz . Pada tahun 1959, beliau yang merupakan seorang profesor Ekonomi dari Universiti Malaya pada waktu itu mengemukakan satu memorandum kepada pihak kerajaan mencadangkan keperluan satu perbadanan atau sebuah institusi kewangan ditubuhkan bagi menguruskan sumber-sumber kewangan bakal haji Malaysia yang bebas daripada amalan bunga dalam kegiatan-kegiatan kewangannya, sebaliknya berdasarkan kepada pelaburan dan keuntungan. Hasilnya, institusi kewangan Islam yang pertama diperkenalkan dalam sistem kewangan Malaysia adalah dengan penubuhan Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) pada tahun 1969.
Seperti juga yang berlaku di negara-negara Islam yang lain, semangat kembali kepada agama telah menular dalam kalangan cerdik pandai di Malaysia sekitar tahun 1970-an. Perkembangan ini mencetuskan pula hasrat untuk menubuhkan bank Islam yang disuarakan di peringkat negeri dan kumpulan masyarakat Islam di Malaysia. Kerajaan telah menerima syor dan cadangan ini yang membawa kepada penubuhan Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan Bank Islam pada bulan September 1981 yang dianggotai oleh empat belas orang ahli dan dipengerusikan oleh YM Raja Tan Sri Mohar Raja Badiozaman manakala Lembaga Tabung Haji pula bertindak sebagai urus setia (Nor Mohamed, 1996).
Hasil daripada laporan Jawatankuasa Pemanduan Kebangsaan Bank Islam tersebut, maka satu akta perbankan yang berasingan iaitu Akta Bank Islam 1983 (ABI) pada 7 April 1983 telah digubal untuk membolehkan perbankan Islam beroperasi seiring dengan perbankan konvensional. Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) ditubuhkan pada 1 Julai 1983 sebagai bank Islam pertama di Malaysia di bawah ABI dengan modal berbayar sebanyak RM80 juta. Seterusnya, perbankan Islam telah dikembangkan ke seluruh negara dengan meningkatkan bilangan peserta sebanyak mungkin dalam tempoh yang singkat.
Pada bulan Mac 1993, BNM telah memperkenalkan Skim Perbankan Tanpa Faedah (SPTF) yang membenarkan institusi perbankan konvensional menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan Islam (Bank Negara Malaysia dan Sistem Kewangan di Malaysia, 1999). Langkah ini adalah sebagai salah satu usaha kerajaan untuk menambah syer pasaran perbankan Islam dalam pasaran kewangan negara ke arah menjadikan sistem kewangan Islam selari dengan sistem kewangan konvensional. Pada 1 Disember 1998, istilah SPTF telah digantikan dengan ‘Skim Perbankan Islam (SPI)’ memandangkan istilah SPTF tidak mencerminkan penampilan sebenar operasi perbankan Islam yang dilaksanakan oleh institusi perbankan (Bank Negara Malaysia dan Sistem Kewangan di Malaysia, 1999).
Malaysia mengamalkan pendekatan sistem dwiperbankan (dual banking system) iaitu melaksanakan sistem perbankan Islam dan dalam masa yang sama membenarkan operasi sistem perbankan konvensional (Nor Mohamed, 1996). Model dwiperbankan ini diiktiraf oleh banyak negara umat Islam yang lain sebagai model perbankan masa depan. Banyak delegasi dari luar negara terutamanya negara-negara umat Islam datang melawat Bank Negara Malaysia dan Bank Islam Malaysia Berhad untuk mendalami cara-cara sistem dual banking ini berfungsi (Hamim et.al, 2008, Archer dan Karim, 2002). Indonesia mula mengikut gaya Malaysia dengan melaksanakan sistem perbankan Islam di sekitar 1990-an. Formasi ini (islamic windows) seterusnya menjadi model perbankan Islam bagi sebahagian negara-negara Teluk seperti Bahrain, Qatar dan UAE (Siddiqi, 2006).
Setelah lebih dua puluh sembilan (29) tahun SPI beroperasi di Malaysia, perkembangan yang berlaku amat memberangsangkan. SPI telah berkembang dan mewujudkan persaingan yang baik kepada sistem perbankan konvensional di Malaysia . Data terkini menunjukkan terdapat enam belas (16) buah bank Islam (Islamic banks) sedang beroperasi di Malaysia termasuk enam bank luar (foreign banks) iaitu Bank Al-Rajhi, Asian Finance Bank Berhad, Kuwait Finance House (Malaysia) Berhad, HSBC Amanah Malaysia Berhad, OCBC Al-Amin Bank Berhad dan Standard Chartered Saadiq Berhad . Selain itu terdapat lima buah bank Islam antarabangsa (International Islamic banks) yang sedang beroperasi di Malaysia iaitu Al-Rajhi Banking and Investment Corporation, Alkhair International Islamic Bank Berhad, Deutsche Bank Aktiengesellschaft, Elaf Bank B.S.C. (c) dan PT. Bank Syariah Muamalat Indonesia.Tbk yang menawarkan produk kewangan berlandaskan syariah. Data yang terkini menunjukkan bahawa aset perbankan Islam di Malaysia sudah mencapai 72.5 bilion USD dengan purata perkembangan sebanyak 20% setiap tahun .
SPI menawarkan produk-produk berasaskan prinsip-prinsip syariah yang berbentuk deposit dan pembiayaan. Produk-produk berbentuk deposit adalah bersandarkan kepada prinsip-prinsip seperti wadiah dan mudarabah untuk akaun simpanan, akaun semasa dan akaun pelaburan. Produk-produk yang berbentuk pembiayaan pula berdasarkan prinsip-prinsip seperti bay’ bithaman ajil, murabahah, bay’ al-‘inah, ijarah thumma al-bay’, al-rahn dan musyarakah untuk pembiayaan individu, pendidikan, kenderaan, perumahan, hartanah, gadaian, projek-projek dan lain-lain lagi yang diklasifikasikan sebagai pembiayaan runcit. Pembiayaan korporat pula adalah berdasarkan prinsip-prinsip seperti murabahah, tawarruq, bay’ bithaman ajil (BBA) dan ijarah. Pembiayaan perdagangan antarabangsa (trade finance) pula berdasarkan prinsip wakalah, murabahah, kafalah, bay’ al-dayn, ujr dan musyarakah untuk urusan pembiayaan perdagangan import dan eksport dan produk-produk yang ditawarkan adalah seperti Surat Kredit (Letter of Credit), surat jaminan (Letter of Guarantee), bil penerimaan secara Islam (Islamic Accepted Bill), jaminan perkapalan (Shipping Guarantee ) dan lain-lain lagi (Abdul Ghafar, 2010).

.

Review this essay:

Name
Rating
Your review: (optional)

Latest reviews:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload the CAPTCHA.