Essay: Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai lebih daripada 200 kumpulan... - Essay Marketplace

Essay: Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai lebih daripada 200 kumpulan…

Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai lebih daripada 200 kumpulan etnik antaranya ialah Melayu, India, Cina, Iban, Kadazan-Dusun dan sebagainya. Perpaduan etnik amat penting dalam aspek pengurusan masyarakat dan pemerintahan negara dengan penduduk yang terdiri daripada pelbagai budaya ini.
Perlembagaan diperlukan di setiap negara bagi menjamin segala kesalamatan atau kestabilan seperti unsur keagamaan, politik dan pemerintahan adil dan cekap. Definisi perlembagaan ialah satu set peraturan tentang hak, kuasa dan prosedur serta tanggung jawab pihak yang mengawal dengan memandu hubungan di antara satu autoriti dengan autoriti yang lain, dan juga antara autoriti dengan rakyat awam (Nazaruddin Mohd Jali et al. 2001). Perlembagaan juga adalah satu dasar atau formula yang menyatakan tugasan kuasa-kuasa awam di dalam sesebuah negara dibahagikan dan digunakan. Selain itu, perlembagaan adalah sumber undang-undang tertinggi sesebuah negara dan berperanan sebagai panduan bagi pembentukan undang-undang sama ada di pihak kerajaan atau rakyat. Perlembagaan juga merangkumi kepercayaan, keinginan dan tolak ansur dalam masyarakat pada waktu ia dirangka (Joseph M. Fernando, 2007). Jika dilihat pada konsep perlembagaan sebenar Malaysia, perlembagaan ialah satu struktur peraturan atau undang-undang sama ada bertulis atau tidak bertulis yag menentukan organisasi kerajaan, pembahagian kuasa antara pelbagai badan kerajaan dan prinsip-prinsip umum bagaimana kuasa tersebut dilaksanakan. Perlembagaan Malaysia mengandungi 15 Bahagian, 183 Perkara dan 13 Jadual. Perlembagaan Malaysia turut dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan.
Kepentingan perlembagaan bagi sesebuah negara mempunyai haluan dan agenda tertentu. Hal ini demikian kerana, perlembagaan mempunyai dasar yang menentukan arah politik negara tersebut. Antara kepentingan perlembagaan kepada negara ialah menjamin kestabilan politik dan sistem pentadbiran yang cekap dan berkesan. Corak pemerintahan, pembahagian kuasa antara pelbagai badan kerajaan serta prinsip-prinsip umum cara kuasa tersebut dilaksanakan ditentukan oleh perlembagaan. Selain itu, perlembagaan merupakan penentu kepada rangka dan bentuk pemerintahan serta kuasa yang diamanahkan kepada mereka yang menerajui tampuk pemerintahan dan terbukti Pelembagaann mampu menjamin satu pentadbiran yang cekap, jujur dan adil. Oleh itu, perlembagaan adalah penting bagi sesebuah negara untuk menjamin kesinambungan pentadbiran dan kestabilan politik seterusnya menjamin kemakmuran dan kesejahteraan rakyat. Perlembagaan juga penting demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Perlembagaan menentukan hak asasi rakyat seperti kebebasan bercakap dan bersuara, kebebasan beragama dan pemilihan harta. Perlembagaan dapat mengelakkan penyalahgunaan kuasa pemerintahan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Perlembagaan Malaysia juga memastikan wujudnya keadilan sosial antara kaum. Bagi menjamin keadilan antara kaum, kebebasan sosial dihadkan. Ini bermakna seseorang itu diberi kebebasan bercakap tetapi kebebasan ini dihadkan kerana seseorang itu tidak dibenarkan bercakap mengenai isu sensitif seperti keistimewaan hak orang Melayu dan bumiputera, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta agama Islam sebagai agama rasmi kerajaan yang boleh menimbulkan kebencian terhadap kaum lain serta akan mengakibatkan berlakunya persengketaan dan pergaduhan antara kaum yang bakal mengancam keselamatan negara. Perkara ini telah termaktub dalam pindaan Akta Hasutan pada tahun 1970 yang mengehadkan hak kebebasan seseorang bercakap. Dengan ini perlembagaan boleh menjamin keselamatan dan rakyat daripada dianiaya serta keamanan negara. Tambahan pula, perlembagaan dapat memudahkan perpaduan nasional dan pembangunan negara. Perlembagaan melindungi kepentingan semua kaum dan menjamin keadilan sosial antara kaum. Hal ini dapat memupuk perpaduan nasional dan mempertingkatkan pembangunan negara.
Perlembagaan juga menentukan supaya hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak tidak boleh dipersoalkan kerana ini adalah jaminan awal sebelum Persekutuan Tanah Melayu merdeka dan sebelum Sabah dan Sarawak bersetuju memasuki Malaysia pada tahun 1963. Hal ini adalah penting untuk mengelakkan persengketaan kaum di kalangan rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun semua warganegara Malaysia, tanpa mengira kaum adalah sama rata di sisi undang-undang, bebas menganut dan mengamal agama masing-masing, boleh mengajar dan bertutur dalam bahasa ibunda mereka sendiri serta berhak memiliki harta. Selain itu, terdapat juga peruntukan mengenai hak pelajaran yang menegaskan bahawa tidaklah boleh ada perbezaan terhadap mana-mana warganegara semata-mata atas sebab agama, kaum, keturunan atau tempat lahir untuk kemasukan dan bayaran yuran ke institusi pendidikan yang diselenggarakan oleh kerajaan. Hal ini menunjukkan bahawa kerajaan begitu menitik beratkan soal keamanan, kemakmuran, kesejahteraan dan hak sama rata di kalangan rakyat di negara ini.

Teori kontrak sosial menurut pandangan ahli teori demokratik Eropah seperti Thomas Hobbes dan John Locke ialah manusia mewujudkan negara sebagai satu perjanjian bersama di mana setiap individu itu bersetuju kepadanya (William Molesworth et al. 1839). Kontrak ini bererti individu-individu yang bebas bersetuju untuk menyerahkan haknya untuk memerintah diri sendiri itu kepada satu institusi bersama yang berkuasa dan berdaulat (Ruth W. Grant et al. 1996).
Dari segi bahasa pula, kontrak boleh didefinisikan sebagai perjanjian formal dengan syarat-syarat tertentu antara dua pihak atau lebih. Ia juga bermaksud dokumen yang mengandungi syarat-syarat perjanjian atau undang-undang yang berkaitan dengan kontrak. Sosial pula boleh ditakrifkan sebagai segala yang berkaitan dengan masyarakat, perihal masyarakat dan kemasyarakatan. Oleh itu, kontrak sosial apabila diasimilasikan boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk perjanjian atau permuafakatan yang ditulis dan ditetapkan oleh undang-undang yang melibatkan semua masyarakat di sesebuah negara. Ia juga merupakan satu istilah permuafakatan antara kaum yang dicapai sebelum merdeka melalui satu persetujuan di kalangan rakyat dan pemimpin yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Pemeteraian kontrak sosial ini juga turut disertai dan dipersetujui oleh parti-parti yang mereka wakili iaitu UMNO, MCA dan MIC. Istilah ini sebenarnya tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 tetapi dari perspektif lain, kontrak sosial sememangnya wujud dalam sejarah negara dan permuafakatan yang dicapai itulah yang mentakrifkan negara Malaysia dan seterusnya menentukan sifat sesebuah negara.

Asas persetujuan kontak sosial ini bersandarkan sifat toleransi antara kaum yang memasuki kontrak dengan mengamalkan konsep memberi sesuatu dan memperolehi sesuatu. Antara elemen penting dalam kontrak sosial ini adalah orang Melayu bersetuju untuk melonggarkan syarat-syarat kewarganegaraan dengan memberikan kewarganegaraan kepada orang-orang bukan Melayu dan bukan pribumi. Sebagai menghargai toleransi orang Melayu, kaum India dan Cina telah bersetuju untuk memberikan perlindungan hak-hak istimewa yang tertentu kepada orang Melayu dan pribumi Sarawak dan Sabah. Kontrak sosial ini bukanlah satu konsep yang berprinsip mendiskriminasikan kaum sebagaimana yang dihebahkan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab. Hal ini kerana jika berlakunya diskriminasi kaum menjadi puncanya, sudah tentu tiada kaum Cina dan India mampu berjaya mencipta kejayaan di dalam segala aspek kehidupan terutamanya dalam bidang ekonomi negara ini. Peruntukan itu adalah hasil proses toleransi pada asasnya merupakan semangat perjanjian di sebalik pembentukan perlembagaan tahun 1957. Menurut Perkara 8, Perlembagaan Persekutuan menjamin bahawa setiap rakyat akan mendapat perlindugan yndang-undang yang sama rata kecuali diperuntukkan oleh Perlembagaan di mana tiada perbezaan di antara warganegara dari segi kedudukan politk, sosial, pekerjaan dan taraf ekonomi. Rakyat bebas untuk tinggal di semua negeri dan akan mendapat layanan yang sama rata dari pihak kerajaan. Selain itu, dalam Perkara 10 menyatakan batasan hak kebebasan bersuara daripada menyentuh kedudukan raja-raja, kedudukan agama Islam dan kedudukan orang Melayu. Parlimen diberi mandat untuk mengawal hak tersebut kerana ia merupakan hak orang ramai. Sebuah akta yang
membolehkan penahanan seseorang tanpa bicara telah diperkenalkan selepas peristiwa 13 Mei 1969 yang dikenali sebagai Akta Keselamatan Dalam Negeri. Penahanan seseorang tanpa bicara boleh dilaksanakan jika ia merupakan langkah yang terbaik demi untuk kesejahteraan dan keselamatan Malaysia. Kesalahan seperti mengancam keselamatan dan keamanan negara dengan mempersoalkan kontrak sosial boleh ditahan di bawah akta ini.

Review this essay:

Name
Rating
Your review: (optional)

Latest reviews:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload the CAPTCHA.