Essay: Umar b. al-Khattab merupakan khalifah kedua umat Islam yang memerintah... - Essay Marketplace

Essay: Umar b. al-Khattab merupakan khalifah kedua umat Islam yang memerintah…

1.0 PENGENALAN
Umar b. al-Khattab merupakan khalifah kedua umat Islam yang memerintah antara tahun 13H-23H iaitu selepas kewafatan Khalifah Abu Bakr al-Siddiq. Khalifah Umar b. al-Khattab merupakan penerus kepada usaha-usaha yang telah dirintis oleh Khalifah Abu Bakr al-Siddiq. Umar b. al-Khattab adalah seorang kaum Quraiysh yang memusuhi agama Islam. Namun, setelah mendapat hidayah daripada Allah s.w.t, beliau muncul sebagai seorang yang paling gigih menegakkan ajaran Islam dan menjadikan Islam sebagai pegangan hidupnya.
2.0 BIOGRAFI UMAR B. AL-KHATTAB
2.1 Asal-usul Umar b. al-Khattab
Beliau ialah Umar b. al-Khattab b. Nbaufayl b. Abd al-Uzza b. Qurt b. Riyah b. Abd Allah b. Razah b. Adiyy b. Ka’ab b. Lu’ay b. Ghalib b. Fihr b. Malik b. Nadhir b. Kinanah. Beliau juga dikenali dengan gelaran Abu Hafs. Rasulullah s.a.w kemudian telah menamakannya dengan gelaran al-Faruq. Ibunya bernama Hantamah bt. Hisham b. al-Mughirah b. Abd Allah b. Umar dari puak Makhzim yang berpengaruh di Mekah. Ibn Hajar meriwayatkan daripada Abu Na’im daripada Tariq b. Ishaq bahawa Khalifah Umar b. al-Khattab telah dilahirkan empat tahun selepas berlaku perang Fijar iaitu sebelum perlantikan Rasulullah s.a.w. menjadi utusan Allah S.W.T. Walau bagaimanapun, menurut beliau ada juga pendapat yang menyatakan bahawa Khalifah Umar b. al-Khattab dilahirkan tiga belas tahun selepas Tahun Gajah. Umar b. al-Khattab berasal dari suku Quraiysh Makkah iaitu puak ‘Adiyy b. Ka’ab. Beliau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Rasulullah s.a.w di sebelah datuknya iaitu Ka’ab b. Lu’ay.1 Manakala dari sebelah ibunya pula, hubungan kekeluargaan dengan Rasulullah s.a.w bertemu di sebelah datuknya yang keenam iaitu Murrah b. Ka’ab. Khalifah Umar b. al-Khattab membesar di kalangan masyarakat yang berada. Semasa kecil, beliau memelihara ternakan orang tuanya dan setelah itu beliau menjalankan aktiviti perniagaan dengan membawa barang dagangan berulang-alik ke Sham. Keislamannya membawa pengaruh tersendiri dalam perkembangan agama Islam. Antara lain kerana beliau merupakan seorang yang tegas dalam membela syiar-syiar agama Islam sehingga tidak seorang pun dari kalangan Quraisyh yang berani menentangnya.

2.2 Perlantikan Umar b. al-Khattab Sebagai Khalifah
Abu bakar sebagai khalifah Islam yang pertama sentiasa memikirkan langkah-langkah yang perlu dilakukan demi kepentingan dan kebaikan umat Islam di zaman pemerintahannya. Beliau sentiasa merasa bimbang seandainya berlaku perpecahan di kalangan umat Islam seperti peristiwa yang berlaku selepas kewafatan Rasulullah s.a.w iaitu dalam menentukan siapakah yang layak untuk menyambung tugas Rasulullah s.a.w bagi memimpin umat Islam. Beliau tidak mahu berlaku pertelingkahan dalam memenuhi jawatan khalifah berulang kembali. Atas sebab inilah Abu Bakar sentiasa memikirkan tentang individu yang layak menggantikannya sebagai khalifah setelah beliau wafat kelak. Semasa Khalifah Abu Bakar sedang sakit, beliau telah ditanya tentang bakal penggantinya. Beliau kemudian memanggil Sayyidina Uthman b. Affan yang merupakan Setiausaha Negara untuk menuliskan wasiat tersebut, beliau telah meminta pandangan sahabat lain tentang cadangan beliau terhadap Umar sebagai pengganti.2 Abd al-Rahman b. Awf bersetuju dengan cadangan tersebut tetapi beliau berasa ragu-ragu dengan peribadi Khalifah Umar b. al-Khattab yang menurutnya terlalu bengis. Khalifah Abu Bakar menyatakan pendapatnya bahawa Khalifah Umar b. al-Khattab tampak bengis tetapi beliau sebenarnya adalah seorang yang baik hati. Sayyidina Uthman b. Affan memberikan pendapatnya bahawa tidak ada di kalangan sahabat yang berperibadi seumpama beliau. Beliau berani serta tegas dalam menyatakan perkara yang hak. Ternyata sahabat yang lain bersetuju dengan cadangan tersebut. Setelah itu, Talhah b. Ubayd Allah mencadangkan agar cadangan tersebut diutarakan kepada orang ramai. Setelah mendapat persetujuan sebulat suara dari umat Islam untuk melantik Umar b. al-khattab sebagai pengganti Khalifah Abu Bakar, maka pengumuman telah dibuat oleh Khalifah Abu Bakar dalam khutbahnya yang bermaksud: Apakah kamu rela (setuju) dengan siapa yang akan aku lantik sebagai khalifah ke atas kamu nanti wahai Muslimin? Sesungguhnya demi Allah setelah aku sempat menjadi pemimpin dan aku tidak melantik yang mempunyai hubungan kekeluargaan denganku. Sesungguhnya aku melantik Umar b. al-Khattab, dengarlah dan taatlah. Semua yang hadir berkata ‘kami dengar dan kami patuh’. Pada petang hari Isnin tanggal 21 Jamadil Akhir tahun 13H/22 Ogos tahun 634M, Khalifah Abu Bakar telah meninggal dunia. Maka pada subuh hari selasa keesokkannya, Umar b. al-Khattab dengan rasminya dibai’ahkan menjadi khalifah Islam yang kedua. Selepas perlantikannya, Khalifah Umar b. al-Khattab telah naik ke mimmbar masjid untuk berkhutbah dengan memuji Allah S.W.T. dan RasulNya serta menyebut-nyebut tentang kelebihan Abu Bakar.

3.0 PERANAN SAIDINA UMAR AL KHATTAB SEBAGAI KHALIFAH
Semasa pemerintah Saidina Umar, empayar Islam berkembang dengan pesat, orang Islam menawan Mesopotamia dan sebahagian kawasan Parsi daripada Empayar Parsi (berjaya menamatkan Empayar Parsi), dan menawan Mesir, Palestin, Syria, Afrika Utara, dan Armenia daripada Byzantine (Rom Timur). Ada di antara pertempuran ini menunjukkan ketangkasan tentera Islam seperti Perang Yarmuk yang menyaksikan tentera Islam yang berjumlah 40,000 orang menumpaskan tentera Byzantine yang berjumlah 120,000 orang. Hal ini mengakhiri pemerintahan Byzantine di selatan Asia Kecil.3 Pada tahun 637 M, selepas pengempungan Baitulmuqaddis yang agak lama, tentera Islam berjaya menakluk kota tersebut. Paderi besar Baitulmuqaddis iaitu Sophronius menyerahkan kunci kota itu kepada Saidina Umar. Beliau kemudiannya mengajak Saidina Umar supaya bersembahyang di dalam gereja besar Kristian iaitu gereja Church of the Holy Sepulchre. Saidina Umar menolak dan sebaliknya menunaikan solat tidak beberapa jauh daripada gereja tersebut kerana tidak ingin mencemarkan status gereja tersebut sebagai pusat keagamaan Kristian. 50 tahun kemudian, sebuah masjid yang digelar Masjid Umar dibina di tempat Saidina Umar menunaikan solat. Saidina Umar banyak melakukan reformasi terhadap sistem pemerintahan Islam seperti menubuhkan pentadbiran baru di kawasan yang baru ditakluk dan melantik panglima-panglima perang yang berkebolehan. Semasa pemerintahannya juga kota Basra dan Kufah dibina. Saidina Umar juga amat dikenali kerana kehidupannya yang sederhana.
4.0 SUMBANGAN SAIDINA UMAR SEMASA PEMERINTAHANNYA
4.1 Pembaharuan Dalam Bidang Sosial
4.1.1 Menetapkan awal tahun hijrah dan mempelbagai aktiviti pembangunan sosial.
Khalifah Umar b. al Khattab merupakan orang yang pertama mengadakan takwim Islam berdasarkan tahun hijrah iaitu bermula pada tahun 1 Muharram ( menyamai 16 Julai 622 Masihi). Penubuhan takwim Islam ini dibuat pada tahun 17 hijrah, tujuannya adalah bagi memudahkan urusan pentadbiran negara. Beliau telah membuat penetapan mengenai awal tahun hijriyyah yang sebelum ini tidak pernah difikirkan oleh kaum muslimin. Surat menyurat yang diterima oleh Umar b. al-Khattab daripada panglimanya lengkap dengan tanggal hari, bulan tetapi tanpa tahunnya. Umar al-Kattab meminta pendapat para sahabat nabi tentang awal tahun hijriyyah. Para sahabat berpendapat tahun hijriyyah itu diawali dengan hijrahnya Rasulullah s.a.w. dari kota Mekah ke kota Madinah. Dengan ini Umar b. al-Khattab merupakan orang yang pertama menetapkan calendar tahun hijrah. Dalam usaha meningkatkan kehidupan rakyat pula, khalifah Umar b. Al-Khattab telah mengadakan pelbagai kemudahan awam. Beliau telah membina jalanraya, taliair, empangan seperti empangan Abi Musa dan empangan Amirul Mukminin, jambatan dan rumah-rumah persinggahan untuk pelawat. Beliau juga telah mengadakan perkhidmatan pos dan mengadakan matawang sendiri yang diperbuat daripada logam. Khalifah Umar b. al-Khatab turut membina bandar-bandar tentera (masalih) seperti bandar kufah, Basrah, Damsyik dan Fustat. Bandar-bandar ini dijadikan pusat-pusat penempatan atau kem tentera didirikan bertujuan untuk mengawal sempadan wilayah-wilayah yang ditakluki dari bandar-bandar tersebut. Di tengah bandar-bandar tersebut didirikan pula masjid-masjid sebagai tempat beribadat dan pusat penyatuan masyarakat Islam.4 Dengan ini, segala usaha pembangunan sosial yang dilakukan oleh Khalifah Umar b. al Khattab adalah untuk kepentingan dan keselesaan rakyat jelata yang sebelum ini belum pernah menikmati kemudahan-kemudahan seperti yang pernah disumbangkan oleh beliau.
4.1.2 Melakukan polisi baru untuk golongan Dzimmi
Khalifah Umar telah mengadakan cukai tanah dan juga jizyah kepada golongan ini. Cukai ini adalah berpatutan kerana rendah kadarnya dan tidak menyusahkan mereka. Pernah suatu kali khalifah Umar memanggil 10 orang Dzimmi dari Kufah dan 10 orang Dzimmi dari Basyrah supaya mereka bersumpah, bahawa cukai yang dikenakan keatas mereka tidak membebankan. Taraf dan hak awam di berikan sama rata seperti apa yang dinikmati oleh orang Islam. Golongan Dzimmi yang masih menentang Islam akan dibuang atau dihalau keluar negara. Harta mereka tidak akan dirampas, malah harta mereka yang tidak dapat dipindahkan seperti ladang akan dibayar ganti rugi oleh kerajaan Islam.
4.1.3 Memperbaharui taraf kedudukan hamba
Golongan hamba pada masa itu telah diberikan hak kepentingan sosial dan taraf yang baik. Hamba tidak lagi dihina dan ditindas, mereka boleh hidup bebas seperti orang-orang biasa, kecualilah bagi orang-orang yang benar menentang Islam dalam peperangan. Umar menetapkan bahawa hamba perempuan yang menjadi ibu tidak boleh dijual sewenang-wenangnya seperti hamba-hamba lain. Begitu juga dengan hamba yang berkeluarga tidak boleh dipisahkan dari keluarga mereka. Taraf golongan hamba juga disamakan dengan tuannya dalam apa-apa hal tertentu, pegawai-pegawai yang tidak menghormati dan menjaga hal kebajikan hamba akan dikenakan tindakan oleh Khalifah Umar. Sebagai contoh, Umar pernah melucutkan jawatan seorang pegawainya yang tidak menziarahi pekerjanya yang sakit.
4.1.4 Mengalakkan kegiatan keilmuan dan pelajaran
Pelbagai langkah telah dilakukan oleh Khalifah Umar untuk mengembangkan pelajaran al-Quran. Beliau menyediakan guru-guru bagi mengajar pelbagai ilmu berhubung dengan keilmuan dan dihantar ke serata tempat bagi yang memerlukan serta diberi gaji yang lumayan. Sekolah-sekolah ditubuhkan di masjid-masjid bagi diajar pelajaran Islam di seluruh wilayah Islam. Umat Islam diwajibkan menghafal surah-surah tertentu didalam al-Quran bagi menghuraikan prinsip-prinsip utama ajaran Islam seperti surah al-Baqarah, an-Nisa, al-Maidah dan sebagainya. Golongan ini akan diberikan pelbagai ganjaran sebagai satu usaha untuk menggalakkan menghafal kandungan al-Quran.
4.2 Pembaharuan Dalam Bidang Ekonomi
4.2.1 Mengemaskini kadar pemberian al-Ata’
Pada zaman Abu Bakr al-Siddiq, semua orang yang memperoleh elaun daripada kerajaan iaitu al-‘Ata mendapat kadar yang sama. Abu Bakr pernah diberikan cadangan supaya mempelbagaikan jumlah pemberiannya tapi ditolaknya. Kata beliau: ‘ Mereka berlebih kurang di sisi Allah. Akan tetapi, dalam soal elaun ini elok jika mereka mendapat kadar yang sama’. Dasar ini telah dilanjutkan sehingga akhir zaman pemerintahannya. Pada zaman pemerintahan Umar al-Khattab, apabila penaklukan Islam menghasilkan harta yang banyak, beliau mengubah kaedah pembahagian elaun dan tidak lagi menurut dasar yang telah dilakukan sebelumnya. Kata beliau: Patut ada perbezaan antara orang yang pernah memerangi Rasulullah s.a.w. dan orang yang pernah berperang dengan baginda’. Orang ramai mesti dikelaskan dalam penerimaan elaun berdasarkan kedudukan mereka berhubung Rasulullah s.a.w. Apa yang dijelaskan, Abu Bakr melihat setiap muslim seperti adik beradik. Mereka perlu mendapat bahagian yang sama daripada pusaka peninggalan bapa yang mereka warisi. Dalam hal ini, perbezaan kedudukan dan komitmen terhadap agama tidak diambil kira. Sementara Umar pula melihat perbezaan itu perlu diambil kira. Beliau menekankan soal senioriti sebagai asas perbezaan. Malah, apa yang dikehendaki oleh Umar ialah persamaan dalam erti kata yang sebenar. Ini kerana, tidak semestinya persamaan tersebut memberi maksud bahawa semua orang perlu mendapat kadar yang sama. Sebaliknya, setiap orang perlu mendapat kadar yang sesuai dengan sumbangannya sendiri. Umar sendiri pernah menegaskan apabila perubahan itu dilakukan oleh beliau katanya: ‘Demi Allah, Ibn al-Khattab tidak bermaksud dengan perubahan ini kecuali keadilan dan kesamarataan’.
4.2.2 Tidak membahagikan harta rampasan perang ( ghanimah) kepada tentera
Pada zaman pemerintahan Umar b. al-Khattab, wilayah kekuasaan Islam sangat luas meliputi daerah Sham, Persia, Mesir, dan Iraq. Sewaktu negeri-negeri ini ditakluki, tanah pertanian termasuk tanah pertanian di Iraq dapat dikuasai oleh tentera Islam dan menjadi harta rampasan perang. Ketika itulah Umar b. al-Khattab mengirim surat kepada tentera Islam di Iraq mengatakan bahawa beliau tidak akan membahagikan harta rampasan perang khususnya yang tidak bergerak seperti tanah pertanian atau sawah kepada anggota tentera Islam sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. sebelum ini. Umar b. al-Khattab pada dasarnya ingin agar tanah pertanian yang dapat dirampas itu tetap dikerjakan oleh pemilik sebelumnya, kerana mereka dianggap menguasai hal-hal yang berkaitan dengan perlaksanaan dan pengolahan tanah pertanian. Manakala harta rampasan yang bergerak pula , Umar b. al-Khattab melaksanakan hukum seperti amalan yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.aw. sebelum ini iaitu dengan mengambil seperlima daripada harta itu dan membahagikan empat perlima yang lainnya kepada anggota tentera yang terlibat dalam peperangan. Kebijaksanaan Umar b. al-Khattab yang tidak mengagihkan harta ghanimah berupa tanah pertanian kepada anggota tentera kaum Muslimin, nampaknya dilatarbelakangi oleh pertimbangan tertentu. Umar b. al-Khattab bermaksud mendahulukan kepentingan umum yang menyeluruh berbanding kepentingan peribadi, suku, atau golongan. Sehubungan dengan ini diterangkan seperti berikut: Keputusan ini didasarkan kepada: Pertama, akan menghalangi perjuangan mereka, kedua, akan memerosotkan kuantiti produk pertanian kerana mereka kurang berpengalaman dalam bidang pertanian, dan ketiga, menyebabkan timbul kasta baru dalam masyarakat, iaitu golongan tuan rumah yang menjalankan praktis monopoli serta akan menjadikan golongan lain menjadi penganggur dan hidup tersisa, dan menghalangi generasi muda, sebagai generasi penerus untuk mendapatkan hak dan mata pencarian mereka. Dilihat dari keterangan ini, kebijaksanaan Khalifah Umar b. al-Khattab untuk tidak mengagihkan tanah pertanian rampasan perang nampaknya mempunyai alasan yang rasional iaitu demi kepentingan masa depan umat Islam yang lebih baik dan lebih banyak. Jika Rasulullah s.a.w. membahagikan kepada orang-orang Muslim harta rampasan perang yang terdiri daripada tanah pertanian pada masa itu sesuai dengan situasi yang ada, khususnya untuk memperbaiki nasib orang-orang miskin Muhajirin dari Mekah yang diusir dari tempat kediaman dan harta kekayaan mereka. Dan jika Umar b. al-Khattab tidak membahagi-bahagikannya, maka itu adalah kerana pertimbangan ekonomi kaum Muslimin di masa akan datang yang juga merupakan kemaslahatan. Selain itu, keadaan tentera di masa Khalifah Umar al-Khattab memerintah baik kedudukannya dibanding dengan tentera pada masa Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakr al-Siddiq. Ini kerana tentera pada masa Umar b. al-khattab telah mendapat gaji tetap tidak seperti pada masa Rasulullah s.a.w dan Abu Bakr al-Siddiq.
4.3 Pembaharuan Dalam Bidang Politik dan Pentadbiran
4.3.1 Membentuk Majlis Syura
Khalifah Umar telah membentuk satu Majlis Syura yang merupakan lembaga atau majlis perunding yang tertinggi. Ianya terbahagi kepada dua iaitu Majlis Syura Tertinggi dan Majlis Syura Am. Anggota Majlis Syura Tertinggi ialah terdiri daripada Uthman b. Affan, Ali b. Abi Talib, Zaid b. Tsabit, Abdul Rahman b. Auf, Saad b. Abi Waqas dan Muaz b. Jabal. Semua pekara yang melibatkan masalah politik, keselamatan dan sosial negara akan dibincangkan bersama-sama dalam majlis tersebut. Majlis Syura ini juga bertanggungjawab menentukan polisi negara dalam soal pemerintahan dalaman dan hubungan luar. Melalui amalan sistem syura, Khalifah Umar dapat mengetahui apa-apa permasalahan yang berlaku kepada dalam semua segi. Beliau juga membuka peluang dan kebebasan yang seluas-luasnya kepada semua orang untuk mengemukakan fikiran dan pendapat mereka demi kebaikan dan keadilan Islam. Sehingga beliau menggangap semua manusia yang tidak mahu memberikan pendapat adalah manusia yang tidak berfaedah.
4.3.2 Memperbaharui undang-undang pentadbiran tanah
Perluasan kuasa Islam menuntut kepada Khalifah Umar untuk melakukan pembaharuan terhadap sistem tanah. Di Mesir, Syria, dan Iraq misalnya, segala tanah-tanah awam adalah menjadi milik kerajaan tempatan dan segala hasil dari tanah tersebut akan digunakan untuk membiayai kemudahan-kemudahan awam negara itu juga. Khalifah Umar menetapkan tanah-tanah yang dimiliki oleh penduduknya tidak akan dirampas tetapi ianya akan dikenakan cukai. Tentera atau umat Islam dari negara lain tidak dibenarkan mengambil tanah dari negara jajahan kecuali melalui pembelian. Ini berbeza dengan amalan-amalan sebelumnya dimana tanah-tanah akan dibahagikan kepada tentera yang menyertai peperangan.

4.3.3 Memperluaskan skop pengawasan dan pentadbiran
Khalifah Umar b. al-Khattab memperluas skop pengawasan terhadap pegawai-pegawai kerajaannya. Ini bermakna, pegawai-pegawai zaman Umar b. al-Khattab sentiasa berada di bawah pemerhatian atau pengawasan semua pihak. Khalifah Umar b. al-Khattab memperaktikkan beberapa kaedah bagi menjayakan sistem pengawasan pentadbirannya, antaranya:
i) Memastikan semua gabenor wilayah dan pegawai kanan kerajaan berada di Mekah pada musim haji. Di samping itu, mereka juga diberikan peringatan tentang bahaya rasuah, hadiah dan penyalahgunaan kuasa dalam pentadbiran. Rakyat seluruh negara dimaklumkan terlebih dahulu tentang pehimpunan tersebut. Individu yang bermasalah atau pernah dizalimi oleh pegawai-pegawai berkenaan. Dengan ini, semua pihak perlu berhati-hati dalam setiap tindakan dan perlakuan.
ii) Pegawai-pegawai yang bertugas di luar kawasan ibu negara Madinah tidak dibenarkan masuk ke ibu negara pada waktu malam kerana penyelewangan boleh berlaku pada waktu malam.
iii) Pegawai-pegawai kerajaan diwajibkan untuk membentangkan penyata harta milik mereka ketika mula bertugas, sedang bertugas dan ketika tamat perkhidmatan. Sumber-sumber harta yang bertambah tanpa bukti yang sah akan dirampas.
iv) Khalifah dan pembantu-pembantu menyusun pogram rondaan malam dan siang bagi mendapatkan maklumat yang jelas tentang kehidupan rakyat jelata. Mereka juga berusaha menangani dan menyelesaikannya dengan baik.
v) Bagi wilayah Islam yang berada jauh dari pusat pentadbiran, khalifah menugaskan ramai perisik untuk mendapatkan maklumat tertentu dan melaporkannya kepada ibu negara. Ini sebenarnya merupakan lanjutan polisi yang dijalankan oleh Rasulullah s.a.w dan Khalifah Abu Bakr iaitu memberikan kebebasan bertindak kepada gabenor wilayah dalam urusan yang khusus dan membataskan tindakan kepada urusan yang umum.

4.3.4 Memperbaharui bidang kehakiman
Pada masa pemerintahan Khalifah Abu Bakr al-Siddiq, beliau akan mencari ayat-ayat al-Quran untuk dijadikan panduan umum. Jika tiada beliau akan mendapatkan hadith atau al-sunnah dengan menanyakan kepada para sahabat terutama yang boleh dipercayai untuk dijadikan landasan hukum. Ini menunjukkan bahawa walaupun Khalifah Abu Bakr merupakan sahabat yang terdekat dengan Rasulullah s.a.w. dan seorang khalifah, ternyata beliau tidak berani melakukan ijtihad sebagaimana yang dilakukan oleh Khalifah Umar b. al-Khattab. Antara ijtihad yang telah dilakukan oleh Umar b. al-Khattab ialah beliau telah menambah jumlah sebatan ke atas peminum arak dari 40 sebatan kepada 80 sebatan. Pada masa Khalifah Umar b. al-Khattab beliau telah mengadakan penyerahan tugas kehakiman daripada khalifah kepada qadi. Dalam bidang pentadbiran Khalifah Umar b. al-Khattab sentiasa memikirkan kaedah-kaedah yang terbaik serta mampu memberi keadilan kepada semua pihak. Pada masa pemerintahan beliau,banyak wilayah-wilayah baru dibuka dan empayar Islam meluas sehingga ke wilayah Rom dan Parsi. Orang-orang Arab telah bercampur dengan masyarakat bukan Arab dan timbul berbagai masalah baru yang perlu diselesaikan. Khalifah Umar b. al-Khattab merupakan orang yang pertama membuat pembaharuan dalam urusan kehakiman ; beliau melantik qadi sebagai ketua hakim di setiap daerah. Mereka berkuasa penuh terhadap melaksanakan tugas-tugasnya dengan adil tanpa dipengaruhi oleh pemimpin daerah. Dengan kata lain, qadi menjatuh hukuman tanpa memandang status, tidak kira samada seseorang itu berpangkat tinggi atau rendah, kaya atau miskin, bangsawan atau tidak. Umar tidak memberikan jawatan qadi kepada sebarang orang kecuali kepada mereka yang mampu dan cekap dalam bidang kehakiman. Syarat utama yang dijadikan pertimbangan ialah integriti peribadi seperti takwa, warak, adil, di samping kemampuan dan keluasan ilmu pengetahuan dan keterampilan dalam bidang kehakiman.
4.3.5 Mengambil bekas golongan Riddah sebagai tentera Islam.
Pada zaman Khalifah Abu Bakar al-Siddiq, sebahagian dari wilayah Iraq, khususnya di bahagian selatan telah dikuasai oleh tentera Islam dan panglimanya pada waktu itu ialah Khalid b. al-Walid. Pada zaman Khalifah Abu Bakr al-Siddiq juga, bilangan tentera Islam yang terlibat dalam peperangan pembukaan wilayah tidaklah begitu ramai dan terhad pula kepada golongan yang tidak pernak murtad. Dengan terlantiknya Umar b. al-Khattab sebagai khalifah , beliau telah melantik panglimanya yang baru iaitu Abu ‘Ubayd b. Umar al-Thaqafi untuk meneruskan ekspidisi di Iraq. Peperangan pertama berlaku di Qarqas (al-Jisr) yang dikenali sebagai perang jambatan. Peperangan ini berlaku di sekitar jambatan yang merintangi sungai al-Furat. Sebelum peperangan, berlaku cabar-mencabar antara tentera Islam dn Parsi tentang siapa yang berani menyeberangi terlebih dahulu. Oleh sebab tersalah perhitungan, Abu ‘Ubayd telah memerintahkan tenteranya menyeberangi jambatan tersebut. Justeru itu, tenteranya telah mengalami kekalahan dan Abu ‘Ubayd serta tujuh orang pahlawan daripada suku Thaqif termasuk saudara dan anak Abu ‘Ubayd terkoban. Peristiwa ini berlaku pada bulan Ramadhan tahun ke 13H/634M. Dengan kekalahan ini, bilangan tentera Islam mula berkurangan dan ada di kalangan mereka yang mula hilang pedoman. Atas sebab itu, Khalifah Umar b. al-Khattab telah membuat perubahan dasar dengan mengambil bekas golongan al-Riddah sebagai tentera baru Islam bagi menyertai peperangan. Ini adalah memandangkan bekas golongan al-Riddah mempunyai bilangan yang ramai dan untuk memperkukuhkan lagi kedudukan tentera Islam yang bilangannya agak terhad untuk menghadapi pihak musuh. Maka dengan ini, tiada lagi tindakan yang dikategorikan sebagai al-Riddah, diyakini bahawa golongan ini betul-betul menyesal dan mematuhi Ulil al-Amr.

1.Drs H.A Hafizah Dasuwi, Ma (1994), Ensiklopedia Islam, Jilid IV, Pt Ichtiar Baru Van Hoeve, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
2.Syed, Syed Ahmad Semait (1995), Sepuluh Yang Dijamin Masuk Syurga, Singapura, Pustaka Islamiyah Pte Ltd.
3.Buku Khalifah-khalifah Yang Benar , 2010, oleh Abdul Latip Talib.
4.Ibn Hajar Al-Asqalani, Ahmad bin Ali. Lisan Ul-Mizan: Umar bin al-Khattab al-Adiyy.
5. Muhammad, ibn Sa’ad (830-840 BCE). At-Tabaqat al Kubra. pp. Chapter 3 page 281

Review this essay:

Name
Rating
Your review: (optional)

Latest reviews:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload the CAPTCHA.