Essay: Dalam bab ini, kaedah kajian akan diterangkan dengan …

Bab 3
Metodologi Kajian
3.1 Pendahuluan
Dalam bab ini, kaedah kajian akan diterangkan dengan lebih mendalam. Hal ini kerana penggunaan jenis kajian yang akan digunakan amat penting dalam ketepatan memperoleh sesuatu data. Justeru itu, kaedah mendapatkan maklumat kajian ini adalah dengan menggunakan kaedah data sekunder yang mana merupakan tunggak utama kajian ini. Data sekunder diperolehi dari media cetak dan media elektronik dengan menjadikan kajian terdahulu serta analisis yang telah dijalankan sebagai rujukan. Kajian-kajian terdahulu boleh dijadikan pengukur serta dapat meneliti segala fakta yang akan digunakan.
Desktop research merupakan instrument yang digunakan dalam kajian kes. Hal ini kerana, pendekatan ini mementingkan proses pembacaan serta penilaian bahan atau data jenis elektronik seperti artikel, tesis, kertas kerja serta laporan dokumen melalui pelbagai jabatan serta badan-badan tertentu. Maklumat seperti statistik yang dikeluarkan daripada agensi-agensi tertentu juga menjadi sumber rujukan bagi mendapatkan data yang diperlukan. Kajian ini, dalam mendapatkan maklumat amat mudah kerana maklumat diperoleh dengan mudah dengan hanya di hujung jari sahaja. Capaian akses internet yang mudah membantu dalam memperoleh data yang terkini. Rentetan itu, data statistik yang diperoleh membantu dalam menyokong hujah serta pandangan yang dikemukakan dalam kajian ini. Sumber data sekunder juga amat penting dalam menyokong serta menerangkan konsep serta teori yang diguna pakai dalam kajian. Data sekunder seperti maklumat di Internet, buku-buku, artikel dan jurnal. Pusat Khidmat Maklumat dan Akademik UNIMAS (CAiS) merupakan pusat info atau rujukan utama dalam mendapatkan sumber maklumat serta data yang dikehendaki.
Kajian ini amat memerlukan data yang dikumpulkan dianalisis serta pemahaman terhadap maklumat dalam menginterpretasi data maklumat yang subjektif supaya penyampaian maksud sebenar daripada data tersebut dapat difahami. Hal ini kerana bagi membentuk daya kefahaman terhadap pembaca tentang kajian selanjutnya terutama kefahaman berkenaan Matlamat perjuangan kaum Cina dalam politik Malaysia : Satu kajian perbandingan di antara dua parti dominan Cina: MCA dan DAP.
3.2 Populasi dan sampel.
Kejayaan kerangkaan adalah berdasarkan definisi tumpuan masalah. Di dalam sampel mengandungi definisi populasi daripada sampel yang akan akan diambil (Rusli Ahmad, 2011). Berdasarkan kefahaman, kajian yang akan dilakukan akan memfokuskan terhadap populasi masyarakat Malaysia yang berbangsa Cina. Ini kerana, kaedah sampel ini akan memudahkan kajian ini dalam memahami lebih mendalam sosialasi politik masyarakat Cina dalam politik Malaysia. Hal ini kerana kajian ini menuntut kefahaman tentang matlamat perjuangan kaum Cina dalam perjuangan politik Malaysia. Sampel kajian ini pula adalah masyarakat Cina yang merupakan ahli DAP mahupun MCA. Hal ini kerana kedua-dua parti politik ini memang terkenal dengan majoriti ahlinya yang berbahasa Mandarin atau lebih dikenali sebagai kaum Cina. Sampel ini diambil kerana dua parti ini yang banyak menyumbang ke arah perjalanan perjuangan politik kaum Cina di Malaysia ini.
3.3 Kerangka teori.
Kerangka teori akan menentukan persoalan kajian yang akan dilakukan dalam dan menjadi panduan bagi menentukan arah kajian. Kepentingan kerangka teori adalah asas kepada pembentukan disiplin dalam membentuk konsep, terma, definisi, teori serta model bagi kajian yang akan dilaksanakan. Seterusnya akan membentuk masalah bagi kajian, soalan kajian, pengumpulan data dan analisis serta intepretasi daripada hasil data yang terkumpul.
Sehubungan dengan itu, tajuk kajian ini adalah “Matlamat perjuangan kaum Cina dalam politik Malaysia: Satu kajian perbandingan di antara dua parti dominan Cina: M.C.A. dan D.A.P. Kerangka teori yang akan digunakan bagi kajian adalah teori hegemoni dan modelnya model kawalan.
Teori hegemoni telah diperkenalkan oleh Antonio Gramsci melalui bukunya yang berpengaruh, Prison Notebooks. Sebagai seorang pendukung ideologi Marxisme, beliau berjaya menterjemahkan prinsip-prinsip perjuangan kelas dalam sesuatu sistem ekonomi yang diketengahkan oleh Karl Marx ke dalam satu kerangka teori politik. Hegemoni menurut Gramsci ialah dominasi kelas bourjuis terhadap kelas-kelas yang lain dalam sesebuah negara 4.
Kehegemonian kelas borjuis ini dapat dilihat melalui manifestasi nilai dan norma borjuis ke atas kelompok kelas yang dikuasai. Hegemoni ini dapat dicapai melalui penggunaan paksaan (coercion) dan persetujuan (consent) hasil daripada satu kepimpinan yang berlandaskan moral dan intelektual (Carnoy, 1984). Ini menunjukkan bahawa sebagai satu konsep, hegemoni merupakan gabungan yang tidak dapat dipisahkan antara kepimpinan politik, intelektual, dengan kepimpinan moral (Mouffe, 1979).
Konsep hegemoni Gramsci mempunyai dua makna asas yang memberikan hubungan antara kumpulan sosial atau kelas dalam sesebuah negara. Pertama, ia merujuk kepada satu proses dalam masyarakat sivil yang memperlihatkan penguasaan sesuatu kumpulan dalam kelas dominan terhadap kumpulan bersekutu di dalamnya melalui kepimpinan moral dan intelektual (Carnoy, 1984). Kumpulan peneraju memiliki kuasa dan kemampuan untuk menyuarakan kepentingan kumpulan yang lain. Ia tidak memaksakan ideologi tajaannya ke atas kumpulan bersekutu, sebaliknya ia mengusahakan satu proses transformasi yang bersifat pendidikan dan politikal ke atas kumpulan lain dengan bersandarkan prinsip hegemonik yang menyaksikan penerapan pandangan dunia dan kepentingan semua kumpulan. Kedua, konsep hegemoni merujuk kepada hubungan antara kelas dominan dengan kelas yang didominasi. Hegemoni ini bermaksud penguasaan kelas dominan melalui kepimpinan politik, moral, dan intelektual untuk mewujudkan pandangan kelasnya mengenai dunia sebagai bersifat inklusif dan sejagat serta membentuk kepentingan dan keperluan kumpulan yang subordinat. Hubungan persetujuan ini tidak bersifat statik, sebaliknya ia mampu berubah untuk memberi pertimbangan kepada perkembangan sosiopolitik yang baru dan tuntutan serta tindakan insan politik yang sering berubah itu.
Dalam konteks kajian ini hegemoni dilihat bukan dari sudut kelas, tetapi dari sudut etnisiti. Dengan landasan ini, maka hanya konsep-konsep hegemoni yang relevan dengan Permasalahan Kajian iaitu dominasi sesuatu kumpulan sosial terhadap kumpulan yang lain dan kepimpinan moral dan intelektual untuk memperoleh persetujuan serta penggunaan cara paksaan diterapkan dalam kajian ini. Istilah hegemoni yang diaplikasi dalam kajian ini bermaksud dominasi orang Melayu UMNO dalam bidang politik, ekonomi, dan budaya selepas rusuhan kaum tahun 1969. Spesifikasi ini dibuat ke atas parti pemerintah UMNO kerana dasar perjuangan parti yang berlandaskan nasionalisme Melayu itu bersifat hegemonik. Dominasi UMNO terbentuk sejajar dengan kemunculan orde baru politik negara selepas peristiwa berdarah tersebut yang membolehkan para pemimpinnya menggunakan kekuasaan politik untuk menggubal pelbagai dasar dan polisi yang kelihatannya tidak memihak kepada orang bukan Melayu. Hegemoni Melayu ini kemudiannya menyebabkan penghakisan kepentingan kumpulan etnik lain yang seterusnya menimbulkan ketidakpuasan mereka. Namun kehegemonian ini tidak mampu dicabar.
Masyaraka majmuk yang dicirikan oleh pengelompokan (groupings) dan kepelbagaian yang berdasarkan etnisiti selalunya menimbulkan masalah pada proses pembinaan negara-bangsa. Hal ini demikian kerana kemajmukan ini dikatakan mampu merangsang persaingan dan konflik etnik yang seterusnya boleh menggugat keutuhan sesebuah negara. Konflik-konflik ini menghasilkan dominasi dan kejayaan sesuatu kumpulan etnik berbanding dengan yang lain dalam penguasaan kerajaan yang kemudiannya menampilkan penguasaannya ke atas kumpulan etnik lain (Weiner, 1987). Connor (1972) juga berpendapat bahawa kesedaran etnik merupakan satu kuasa politik yang sedang berkembang di pentas dunia. Keadaan ini menunjukkan etnisiti memainkan peranan yang penting dalam politik sesebuah negara.
Kecenderungan ini menunjukkan bahawa faktor etnisiti merupakan satu kekangan kepada pencapaian kestabilan dalam negara majmuk. Yang lebih merumitkan lagi ialah wujudnya masyarakat majmuk yang bersifat dwikutub (bipolar) atau dwimodal 6. Dwikutub bermakna pembahagian masyarakat majmuk kepada dua segmen atau kumpulan etnik yang sungguh berbeza dan masing-masing memiliki bilangan ahli yang hampir sama. Keadaan dwikutub menyumbang kepada pelbagai masalah dalam hubungan etnik seperti dalam huraian di bawah:

Etnically bipolar situations may be likely to produce cleavages which will lead to more intense ethnic competitions and result in more undesirable political consequences than thoese arising from ethnic divisions which are not bipolar, unless appropriate action is taken by political leaders to prevent this. The fact that the two ethnic groups are roughly equal in numbers does not lead to the kind of ‘balance’ that might exist if there were several groups of comparable size (Milne, 1978)

Malah Lijphart (1977) berpendapat bahawa dalam masyarakat dwikutub yang memiliki saiz penduduk yang hampir sama, para pemimpinnya didapati cenderung menggunakan dominasi berbanding dengan kerjasama untuk memenangi sesuatu majoriti. Keadaan sedemikian mendesak kemunculan hegemoni atau suatu keseimbangan yang merbahaya. Namun sebarang keseimbangan yang dicapai tanpa hegemoni lebih bersifat sementara dan membahayakan hubungan etnik. Situasi ini seterusnya akan mendorong kemunculan kumpulan pelampau dalam kedua-dua segmen etnik dan ini seterusnya membuka jalan kepada persaingan yang mungkin bersifat ganas bagi merealisasikan hakikat hegemoni masing-masing (Milne, 1981)
Hal ini mendorong sarjana-sarjana sains politik mengemukakan beberapa teori atau model politik tertentu untuk menjelaskan keadaan di negara-negara yang berlainan. Masalah utama yang ketara dalam masyarakat majmuk ialah konflik etnik. Oleh itu penyelesaian konflik etnik selalunya merupakan agenda terpenting dalam usaha pembinaan negara-bangsa. Maka teori dan model politik yang dikemukakan itu juga bertumpu kepada tema tersebut. Teori dan model ini diajukan berdasarkan pengaplikasian tentang cara dan strategi penyelesaian konflik etnik yang berbeza seperti perkongsian kuasa, akomodasi, dominasi dan sebagainya.
Teori konsosiasionalisme 7 yang dikemukakan oleh Arend Lijphart merupakan model yang penting dalam memahami pencapaian kestabilan dalam negara-negara majmuk. Lijphart (1977) mencanangkan empat ciri penting dalam teori konsosianalismenya. Ciri-ciri ini ialah gabungan perdana (grand coalition) yang disertai oleh para pemimpin politik yang mewakili berbagai-bagai kumpulan etnik. Ini diikuti oleh kuasa veto yang dimiliki bersama oleh semua kumpulan etnik. Ciri yang seterusnya ialah kewujudan sistem nisbah (proportionality) untuk setiap kumpulan etnik diwakili dalam Parlimen, perkhidmatan awam dan agensi-agensi kerajaan. Ciri akhir ialah terdapatnya hak autonomi kelompok bagi setiap komuniti yang bertujuan membolehkan mereka melakukan hal-ehwal mereka dengan agak bebas 8.
Konsosiasionalisme sebagai satu pendekatan untuk membendung konflik etnik didapati gagal berfungsi di sesetengah negara Dunia Ketiga (Lijphart, 1977). Hal ini kerana konsosiasionalisme yang berasaskan penerimaan kemajmukan etnik sebenarnya bertentangan dengan dinamika etnisiti dan nasionalisme yang bertindak atas landasan untuk menegakkan dan seterusnya untuk menguasai sesuatu kumpulan etnik dalam berbagai-bagai bidang. Pendekatan konsosiasional yang menggalakkan penglibatan dalam kegiatan politik berdasarkan etnik juga mampu menyumbang kepada pembahagian etnik yang seterusnya menyebabkan polarisasi dalam masyarakat (Rothchild, 1986). Selain itu, para elit politik didapati tidak berupaya bertindak menjangkaui batasan etnik kerana sentimen etnisisme masih mempengaruhi pertimbangan mereka. Selanjutnya konsosiasionalisme dikatawakan menawarkan satu bentuk demokrasi dan kerajaan yang kurang berkesan lantaran kumpulan minoriti juga memiliki kuasa veto (Ryan, 1995).
Ian Lustick (1979) memperkenalkan model kawalan (control model) sebagai satu pendekatan yang bertentangan dengan konsosiasionalisme. Menurut model ini, kestabilan dalam masyarakat majmuk boleh dicapai melalui manipulasi segmen atau kumpulan superordinate ke atas segmen subordinate (Lustick, 1979). Dominasi ini menyebabkan cabaran kumpulan etnik yang subordinate terhadap pucuk pemerintahan yang dikuasai kumpulan superordinate yang tidak mungkin berlaku.
Lustick (1979) menganjurkan tujuh ciri yang menjadi amalan model kawalan:
1) Sumber-sumber negara diagihkan menurut kepentingan yang dipersepsi dan diartikulasikan oleh kumpulan etnik yang dominan dan bukan melalui akomodasi antara elit.
2) Perhubungan antara elit bersifat “meresap”, yakni kumpulan dominan mengaut apa yang diperlukan oleh kumpulannya dan memberi apa yang dianggap sesuai.
3) Ketiadaan rundingan menyeluruh yang menjadi ciri konsosiasionalisme.
4) Peranan “official regime” atau alat-alat negara (state apparatus) berfungsi sebagai instrumen pendtadbiran untuk kumpulan dominan.
5) Orde politik yang wujud disahkan oleh ideologi kumpulan dominan dan bukannya berlandaskan kebajikan bersama.
6) Hubungan kuasa antara elit bersifat berat sebelah(asymmetric) dan penumpuan utama kumpulan dominan ialah merangka teknik-teknik yang berkesan untuk memanipulasikan kumpulan yang subordinat.
7) Hubungan antara elit diibaratkan sebagai Tok Dalang dengan bonekanya.

Model kawalan bercanggah dengan teori konsiasionalisme dalam banyak aspek. Model kawalan bertunjangkan nasionalisme dan bersifat etnosentrik, manakala konsosiasionalisme pula berlandaskan kompromi etnik. Hal yang demikian menunjukkan kedua-dua model ini berada dalam satu dikotomi dan terletak di dua hujungan dalam satu kontinum. Keadaan ini mendorong sarjana-sarjana sains politik berusaha mencipta model konsosiasionalime dan kawalan. Model baru ini diajukan oleh Donald Rothchild (1986) dalam kajiannya terhadap konflik etnik di Afrika Tengah yang meliputi negara-negara seperti Sudan, Zambia, Kenya, Uganda dan Ethiopia.
Model Rothchild ini diberi nama Pertukaran-Hegemonik (Hegemonic Exchange). Model ini memperlihatkan kerajaan berada di tengah-tengah satu gabungan yang bersifat hegemonik yang merangkumi wakil-wakil daripada pelbagai kumpulan etnik dan wilayah. Dengan gabungan ini rundingan dan kompromi dapat berfungsi untuk memastikan pengagihan sumber-sumber negara dapat diterima oleh kebanyakan pihak. Melalui pendekatan ini konflik etnik mampu dibendung menerusi pengagihan kuasa dan sumber negara. Menurut model ini kerajaan tidak bertindak sebagai penindas, tetapi berperanan sebagai pendamai dan fasilitator (Ryan, 1995). Model ini dirumuskan seperti berikut:

As an ideal type, hegemonial-exchange is a form of state-facilitated co-ordination in which a somewhat autonomous ethno-regional interests engage, on the basis of commonly accepted procedural norms, rules, or understandings, in a process of mutual accomodation (Rothchild, 1986)
Kesimpulannya, teori atau model yang dikemukakan oleh sarjana-sarjana di atas bagi mengurus konflik etnik dalam masyarakat majmuk dapat dirumuskan dalam jadual di bawah:

Jadual 1. Teori dan strategi untuk menangani konflik etnik
Sarjana Nama Teori/Model Ringkasan Teori dan Strategi
Rabushka & Shepsle Ketidakstabilan Demokratik Demokrasi bersifat tidak stabil lantaran wujud persaingan etnik
Lijphart Konsosiasionalisme Kestabilan dicapai melalui permuafakatan dengan mewujudkan gabungan perdana, kuasa veto, sistem nisbah dan autonomi segmental
Ian Lustick Kawalan Kestabilan dicapai melalui dominasi hegemoni kumpulan etnik yang dominan
Rothchild Pertukaran-Hegemonik Kerajaan bertindak sebagai pendamai kepada kumpulan etnik agar rundingan dan kompromi dapat dijalankan

Malaysia merupakan sebuah negara majmuk dan masyarakatnya juga dilihat sebagai bersifat dwikutub (Milne, 1981: Chee, 1987). Hal ini kerana persaingan dan konflik kepentingan yang berlaku dalam masyarakat adalah berlandaskan pembahagian kepentingan orang Melayu dan orang bukan Melayu. Komuniti Cina yang merupakan kaum kedua terbesar dan lantang dalam perjuangan kepentingannya didapati muncul mewakili kepentingan orang bukan Melayu. Hal yang demikian membolehkan hubungan etnik di Malaysia dianalisis mengikut kerangka persaingan dan konflik etnik. Setakat kini terdapat sejumlah kajian terhadap tema ini 9. Hampir keseluruhan kajian tersebut mengaplikasikan pendekatan konsosiasional. Namun rusuhan kaum tahun 1969 yang memacu kekuasaan politik Melayu ke tahahp hegemoni telah membawa orde baru kepada politik Malaysia. Umpamanya Lijphart (1977) sendiri mengesyaki apakah model konsosiasional masih relevan untuk keadaan Malaysia selepas tahun 1971. Mauzy (1993) pula mengistilahkan struktur politik Malaysia selepas tahap itu sebagai “coercive consociationalism” yang bertunjangkan kehegemonian politik Melayu.
Hegemoni yang demikian mendorong Stephen Chee (1991) menggunakan model Pertukaran-Hegemoni 10 dalam kajiannya. Pengkaji ini mengutarakan bahawa hubungan kuasa yang berat sebelah di dalam parti-parti komponen BN yang membezakannya daripada model konsosiasional (Chee, 1991).
Kehegemonian UMNO dalam kerajaan BN mendorong McGarry & O’Leary (1993) merumuskan bahawa struktur politik Malaysia selepas tahun 1969 telah berubah daripada konsosiasionalisme dan menghala kepada model kawalan. Case (1996) juga turut mempertimbangkan kemungkinan penggunaan model ini ke atas Malaysia. Hakikat ini menunjukkan bahawa hegemoni politik Melayu mirip kepada model tersebut. Oleh itu penulis juga cederung menerapkan model kawalan dalam kajian ini. Kecenderungan ini diharapkan akan dapat menyerlahkan dinamika dominasi orang Melayu dalam politik Malaysia. Penumpuan yang demikian juga dapat memaparkan dilema yang melanda masyarakat Cina natijah daripada kehegemonian ini.
Dalam menghuraikan model kawalan, Lustick (1979) berpendapat kumpulan etnik yang subordinat akan memberikan respons kepada polisi-polisi anjuran kumpulan superordinat. Mereka akan menilai peluang untuk membuat rundingan atau penentangan. Dalam hal ini masyarakat Cina yang semakin terpinggir dalam arus politik negara hanya berupaya berperanan sebagai kumpulan subordinat. Parti politik Cina yang merupakan pelindung dan pejuang kepentingan masyarakat Cina turut tidak dapat menjangkaui kerangka ini. Dengan peranan ini, parti politik Cina sebenarnya boleh dikategorikan sebagai kumpulan kepentingan (interes group) 12 dan Gabriel Almond mengistilahkan peranan yang demikian sebagai artikulasi kepentingan (interest articulation) (Douglas & Pedersen, 1973). Almond dan Powell (1978) menganggap artikulasi kepentingan sebagai satu proses tuntutan politik yang disuarakan oleh sesuatu kumpulan atau individu. Umpamanya Firdaus (1991) berpendapat bahawa peristiwa rusuhan kaum 13 Mei di Malaysia merupakan natijah daripada “anomic interest group articulation” oleh orang Melayu yang berbentuk keganasan politik bagi membaiki taraf ekonomi mereka.
Kumpulan kepentingan yang memainkan peranan artikulasi kepentingan boleh bersifat berpersatuan. Perjuangan persatuan atau pertubuhan dalam mempengaruhi penggubalan dan pelaksanaan sesuatu dasar negara merupakan aktiviti penglibatan politik oleh rakyat sesebuah negara (Huntington & Nelson, 1976). Oleh yang demikian pembabitan kumpulan berkepentingan atau NGO(Non-Governmental Organizations) dalam politik merupakan perkara lumrah, terutamanya di negara-negara Barat. Malah di negara-negara yang membangun sudah wujud kesedaran di kalangan rakyat untuk menyertai politik dalam erti yang lebih luas melalui pergerakan NGO bagi mewujudkan kerajaan yang lebih bertanggungjawab, telus, dan adil serta penjaminan hak-hak asasi manusia 14. Penglibatan demokrasi berpartisipasi (participatory democracy) ini selalu dilihat sebagai penyumbang kepada pembentukan masyarakat sivil (sivil society).
Dalam konteks Malaysia, kemunculan dan kelantangan parti-parti politik berasaskan kaum Cina dalam memperjuangkan hak dan kepentingan masyarakat Cina sudah bermula sejak dari era awal pasca kemerdekaan lagi. Ia juga didorang oleh peranan pertubuhan persendirian Cina iaitu Huatuan di mana Ho Khai Leong (1992) mendapati bahawa Huatuan di Malaysia sebagai pertubuhan yang memiliki kepentingan bersama dan memperjuangkannya melalui tindakan politik. Keadaan ini mendorong penonjolan peranan parti politik berasaskan kaum Cina sebagai pejuang dan kepentingan masyarakat Cina.
3.4 Limitasi kajian
Oleh kerana kajian ini menggunakan desktop research, pengkaji mengalami kesukaran dalam proses pengumpulan data dan maklumat untuk dapatan kajian terutamanya bagi data primer. Hal ini demikian kerana pengkaji bergantung kepada carian melalui internet, jurnal dan buku-buku bagi mendapatkan maklumat serta statistic kajian yang terkini. Pengkaji mengalami kesukaran untuk mendapatkan data terkini berkaitan kajian memandangkan terlampau sedikit kajian yang dibuat terhadap masyarakat Cina dan politik mereka di Malaysia. Walaupun terdapat banyak data boleh dijumpai di internet namun data-data tersebut tidak dapat digunakan memandangkan ianya dari sumber-sumber yang diragui kesahihannya kerana tiada ketiadaan nama penulis dan tarikh ia diterbitkan seperti yang banyak ditemui pengkaji di laman-laman seperti Blogspot.com dan WordPress.com. Pengumpulan data yang sahih menjadi faktor penting bagi memastikan hasil dapatan kajian tidak menggunakan maklumat yang salah atau tidak tepat. Sumber buku-buku yang terdapat di Pusat Akademik dan Informasi UNIMAS juga kebanyakannya sudah terlalu lama. Justeru itu, bagi mengelak masalah ini daripada terus menjadi penghalang kepada pengkaji untuk meneruskan kajian, pengkaji telah bertindak melakukan carian di internet secara kerap dan konsisten serta dengan teliti bagi memastikan maklumat yang diperoleh merupakan maklumat yang terkini dan sahih serta merupakan fakta yang benar. Hal ini demikian kerana negara Malaysia yang bersifat majmuk terdedah kepada ancaman perpecahan etnik yang ditimbulkan pihak-pihak tertentu dengan menyebarkan fitnah dan fakta palsu bagi meningkatkan ketegangan hubungan etnik.

Leave a Comment

Time limit is exhausted. Please reload the CAPTCHA.