Essay: Fenomena penglibatan wanita dalam bidang politik berlaku... - Essay Marketplace

Essay: Fenomena penglibatan wanita dalam bidang politik berlaku…

Fenomena penglibatan wanita dalam bidang politik berlaku sejak dari dahulu lagi. Hal ini disebabkan oleh budaya dan tradisi sejak dari dahulu lagi yang menganggap wanita tidak layak untuk berkecimpung dalam dunia politik dan berpendapat bahawa kaum wanita hanya layak untuk tinggal di dalam rumah dan duduk di dapur menyediakan makan dan minum serta menjaga setiap keperluan keluarga sahaja. Sehingga hari ini fenomena feminism dalam bidang politik semakin galak berlaku.
Kekangan untuk menceburi dunia politik bagi wanita semakin sukar disebabkan sebahagian daripada pengundi iaitu rakyat tiada keyakinan diri untuk memilih wanita sebagai ketua, pemerintah atau pentadbir mereka kerana mereka sering kali dimomokkan dengan persepsi negatif tentang seseorang wanita contohnya menganggap wanita merupakan golongan yang lemah untuk mentadbir dan hanya golongan lelaki yang layak untuk menjadi ketua dan pemerintah malah bagi kebanyakan orang menyatakan persepsi golongan wanita lebih banyak menggunakan emosi dalam melakukan sesuatu perkara berbanding dengan lelaki yang lebih banyak melakukan sesuatu perkara dengan menggunakan akal fikiran.
Manakala menurut aktivis muda DAP, Syefura Othman dalam artikel The Malaysian Insider wanita sering dilabel sebagai pelacur politik apabila membuat keputusan untuk menyertai bidang politik, ini adalah faktor yang menyebabkan ramai wanita takut serta bimbang untuk menyertai bidang politik disebabkan gelaran yang dilabel umum. Menurutnya lagi golongan wanita muda perlu diberi ruang untuk bersuara bagi mencapai kesamarataan dengan golongan lelaki.Hal ini dapat dibuktikan dalam teori feminism seperti teori bahasa gender yang menganggap keadaan wanita yang mengalami kekerasan atau penderaan dalam pengunaan bahasa yang digunakan secara umum, iaitu dalam pengunaan bahasa yang menunjukkan kesan, peranan dan eksistesi menyebabkan golongan wanita sering menjadi subordinat, disisihkan, terpencil dan dianggap lemah.
Ketakutan dan keyakinan diri yang rendah menyebabkan peratus atau kuota golongan wanita dalam bidang politik masih lagi sedikit. Menurut Gadis Arivia (2006) dalam bukunya yang bertajuk Feminisme: Sebuah Kata Hati, feminism seringkali digambarkan secara buruk oleh pelbagai pihak dan kelompok. Di peringkat politik, feminism dianggap mengambil posisi kekuasaan lelaki. Argumentasi kuota 30% bagi perempuan di dalam politik tidak dilihat sebagai suatu tindakan ‘ affirmative action’ yang berguna bagi kelompok minoriti.
Gadis Arivia turut menambah, bagi Negara Indonesia pengukuran ketidakadilan yang dialami wanita di Indonesia dari segi politik, penyertaan wanita di Indonesia merupakan paling terendah dalam 74 rata-rata 8% dan 500 anggota Dewan Perwakilan Republik Indonesia ( DPRI) hanya 40 orang sahaja wanita. Penyertaan wanita Indonesia di bidang politik masih rendah dari Negara-negara Afrika, seperti Zimbabwe, Burkina Faso, Zambia, dan negara-negara Amerika Latin. Malah turut menambah penyertaan wanita dalam kabinet juga menunjukkan peningkatan yang lambat.
Justeru di Malaysia dapat dilihat hanya sebahagian wanita sahaja yang menceburi dunia politik di Malaysia seperti Dato Seri Wan Azizah Wan Ismail, YB Nurul Izzah, Dyana Sofya, Datuk Seri Rafidah Aziz, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, YB Chong Eng dan beberapa lagi ahli politik wanita yang dilihat sebagai contoh daripada wanita-wanita yang berkecimpung dalam bidang politik manakala di Indonesia golongan wanita yang paling menyerlah dalam bidang politik seperti Dyah Permata Megawati Setyawati Sukarnoputri atau lebih dikenali sebagai Megawati Sukarnoputri atau Mbak Mega yang merupakan presiden wanita Indonesia yang pertama dan di Filipina presiden wanita pertama ialah Maria Corazon Sumulong Cojuangco Aquino. Wanita-wanita ini merupakan salah satu contoh wanita yang berjaya dalam bidang politik sehingga dikenali ramai dengan sumbangan-sumbangan yang telah diberikan sepanjang menjadi presiden.
Namun masih terngiang lagi persoalan ‘ mengapa wanita di Malaysia tiada peluang untuk menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri’. Adakah wanita di Malaysia tiada keupayaan dan hak untuk menjadi seorang Perdana Menteri? Adakah disebabkan masyarakat sering dimomokkan dengan kenyataan bahawa hanya golongan lelaki sahaja layak menjadi Perdana Menteri? Walaupun Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berpelembagaan yang mana Seri Paduka Baginda Yang Di- Pertuan Agong sebagai ketua negara. Menerusi artikel The Malaysian Insider, bekas Perdana Menteri Malaysia keempat iaitu Tun Dr. Mahathir Mohammad (2014) berkata beliau tidak menolak kemungkinan Malaysia akan diterajui Perdana Menteri wanita pada masa hadapan berikutan bilangan golongan wanita dalam institusi pengajian tinggi dan sektor pentadbiran kini didominasi kaum tersebut. Beliau turut menambah Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang wanita untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya mendapat sokongan majoriti dari rakyat dan partinya. Masih terngiang lagi pepatah dulu ‘tangan yang menghayun buaian mampu mengoncangkan dunia’ dan kini pepatah tersebut telah membuktikan kewibawan dan kekuatan golongan wanita semakin terserlah.
Melalui teori feminist yang lain, iaitu teori feminism liberal berpendapat bahawa semua orang adalah sama dan tidak harus dinafikan peluang yang sama rata kerana jantina malah ketidaksamaan wujud berpunca daripada penafian hak yang sama dan menyatakan halangan utama untuk ketidaksamaan adalah seksisme. Dapat dilihat pada hari fenomena hari ini di mana wanita yang menceburi bidang politik bukan sekadar menjadi tokoh politik atau sebagainya namun melalui penelitian yang diperhalusi lagi wanita turut terjun ke dunia politik dengan menjadi pengundi yang mengundi untuk hak mereka bagi mendapat kepimpinan yang lebih baik lagi. Selain itu, golongan wanita berhak untuk melakukan apa sahaja bagi menjamin kebajikan mereka terus terpelihara, oleh itu ramai golongan tersebut menjadikan penglibatan dalam politik sebagai jalan untuk terus memelihara kebajikan serta hak-hak mereka daripada terus ditindas. Justeru wanita berhak untuk mendapatkan kesaksamaan hak dalam politik setanding dengan golongan lelaki.
Namun bagaimana Malaysia berusaha untuk mencapai 30% penglibatan wanita dalam bidang politik? Sekiranya diskriminasi gender terus menerus berlaku maka usaha untuk mendapatkan 30% penyertaan dalam parlimen atau kabinet hanya usaha yang sia-sia. Seharusnya persepsi-persepsi yang negatif terhadap golongan wanita perlu dikurangkan bagi memberi ruang untuk wanita di Malaysia menerokai dan menceburi dunia politik sebagaimana wanita-wanita di Negara lain. Hal ini kerana mereka mempunyai hak untuk terlibat di dalam parlimen malah seringkali kita melihat hanya beberapa orang sahaja golongan wanita yang menyertai anggota parlimen dan kabinet dan kebanyakan anggota lain didominasi oleh kaum lelaki
Oleh itu, diskriminasi gender untuk penglibatan golongan wanita dalam bidang politik perlu diberi perhatian kerana rakyat juga memerlukan kebijakan, buah fikiran, pendapat,peranan serta sumbangan dari golongan wanita bagi menjaga kebajikan, bantuan untuk kehidupan yang lebih selesa demi mengecap sebuah Negara yang aman dan makmur. Bukan hanya golongan lelaki yang mampu lantang bersuara, wanita juga berhak untuk bersuara dalam politik. Bak mutiara kata ‘ disebalik kejayaan lelaki adanya wanita hebat’.

Review this essay:

Name
Rating
Your review: (optional)

Latest reviews:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload the CAPTCHA.