Essay: Makanan merupakan keperluan asas bagi setiap manusia... - Essay Marketplace

Essay: Makanan merupakan keperluan asas bagi setiap manusia…

Makanan merupakan keperluan asas bagi setiap manusia. Hal ini kerana ia dapat memberikan tenaga kepada setiap orang. Selain itu, ia juga dapat membantu manusia untuk meperoleh tubuh badan yang sihat dan otak yang cerdas. Oleh itu, makanan yang diambil hendaklah daripada sumber yang segar dan berkhasiat. Kebiasaannya, makanan yang segar tidak tahan pada jangka masa yang lama. Sebagai contoh, pada zaman dahulu makanan yang segar seperti susu hendaklah diminum dengan segera untuk mengelakkan ia daripada menjadi basi. Justeru itu, dengan adanya teknologi yang serba canggih pada masa kini, makanan telah melalui beberapa jenis proses yang mampu membuatkannya tahan lebih lama. Antara proses tersebut ialah pengawetan makanan. Pengawetan makanan adalah proses pemeliharaan yang menangguh masa sesuatu makanan daripada menjadi basi. Selain itu, ia juga dapat mempertahankan sifat-sifat fizik dan kimia makanan. Tujuan utama pengawetan makanan adalah untuk mengurangkan atau mencegah pertumbuhan mikroorganisma seperti bakteria dan kulat. Bahan-bahan yang digunakan untuk menghalang pertumbuhan mikroorganisma adalah benzoat, nitrit dan sulfit. Terdapat beberapa kaedah dalam proses pengawetan makanan iaitu pengeringan, penyejukbekuan dan pendinginan, pengetinan dan pembotolan, pembungkusan tanpa udara dan pempasteuran.

Kaedah pertama adalah pengeringan. Semasa pengeringan, air akan hilang dari makanan. Oleh itu, mikroorganisma yang hidup dan aktif pada suhu lembap akan mati atau menjadi tidak aktif. Justeru itu, ketiadaan air akan menghalang pembiakan mikroorganisma. Kaedah ini juga merangkumi dua cara untuk mengeringkan makanan iaitu mengeringkan makanan di bawah terik cahaya matahari dan cara kedua ialah memanaskan makanan pada suhu yang tinggi dengan menggunakan ketuhar. Antara bahan yang diproses secara pengeringan adalah sotong, cili dan buah-buahan.
Kaedah kedua ialah penyejukbekuan dan pendinginan. Bagi kaedah pendinginan ia memerlukan sesuatu bahan makanan disimpan di dalam peti sejuk pada suhu yang rendah iaitu di bawah 00C sehingga 50C. Antara kebaikan kaedah ini ialah vitamin dalam makanan boleh dikekalkan dan tahan lebih lama manakala keburukan kaedah ini ialah ia susah dibawa kerana memerlukan pengangkutan khas dan kos yang tinggi. Contoh makanan yang digunakan untuk kaedah ini ialah sayur-sayuran dan buah-buahan. Selain itu, penyejukbekuan dilakukan secara simpanan di dalam peti sejuk dibawah -180C. Oleh itu, makanan seperti ikan dan sosej boleh disimpan pada masa yang lama.
Kaedah ketiga dalam pengawetan makanan adalah pengetinan dan pembotolan. Kaedah ini memerlukan pemanasan makanan pada suhu tinggi untuk membunuh bakteria dan fungi. Makanan diletakkan di dalam tin dan dipanaskan pada suhu 1160C sehingga 1210C. Kemudian, tin tersebut ditutup dan dipateri. Makanan ini boleh disimpan untuk jangka masa yang panjang dan mudah dibawa. Sekiranya tin makanan tersebut rosak atau kemik, ia boleh menyebabkan makanan tersebut terdedah kepada jangkitan mikroorganisma serta bahan toksik dari tin dan membahayakan pengguna. Contoh makanan yang diawet dengan cara pengetinan ialah susu pekat dan buah-buahan. Jem dan sos tomato adalah makanan yang digunakan untuk kaedah pembotolan.
Kaedah keempat ialah pembungkusan tanpa udara ataupun dikenali sebagai pembungkusan vakum. Pembungkusan tanpa udara melibatkan penyimpanan makanan dalam persekitaran tanpa udara sama ada di dalam beg atau botol kedap udara. Kemudian, bakteria dan fungi tidak boleh membiak dalam keadaan vakum kerana tidak terdapat udara dan air. Antara kelebihan kaedah ini ialah dapat menjadikan makanan tahan lama iaitu selama satu bulan. Kaedah ini biasanya digunakan untuk menyimpan makanan kering seperti bijirin dan kekacang. Selain itu, kaedah ini juga turut digunakan untuk menyimpan makanan segar seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.
Kaedah terakhir ialah pempasteuran yang diperkenalkan oleh Louis Pasteur. Beliau menggunakan kaedah ini untuk memproses susu haiwan. Pempasteuran ialah proses yang digunakan untuk pemanasan susu pada suhu 630C selama 30 minit atau pemanasan pada suhu 720C selama 15 saat dan diikuti oleh pendinginan pada suhu bawah 100C. Masa pemanasan yang digunakan dalam kaedah ini adalah sangat singkat untuk memastikan mikroorganisma di dalam susu dapat dibunuh dan memastikan kandungan nutrien seperti vitamin serta rasa semulajadi susu dapat dikekalkan. Selepas pempasteuran dilakukan, susu hendaklah disimpan di dalam peti sejuk.

Kesimpulannya, proses pengawetan makanan dapat menjadi pemangkin kepada industri makanan untuk menjadikan makanan tahan lebih lama. Namun, penggunaan bahan pengawet yang berlebihan dalam kaedah pengawetan dapat menjurus kepada bahaya. Contohnya, penggunaan asid benzoik dalam sos cili secara berlebihan boleh mengakibatkan gangguan saraf. Oleh itu, setiap penggunaan bahan tersebut hendaklah dirujuk kepada pihak tertentu terlebih dahulu sebelum memulakan pemprosesan.

Review this essay:

Name
Rating
Your review: (optional)

Latest reviews:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload the CAPTCHA.