Essay: Pembangunan pesat dalam bidang Sains dan Teknologi... - Essay Marketplace

Essay: Pembangunan pesat dalam bidang Sains dan Teknologi…

Pembangunan pesat dalam bidang Sains dan Teknologi khususnya bidang perubatan dan industri makanan secara tidak langsung meningkatkan permintaan terhadap bahan kimia berasakan sumber semula jadi. Ini menyebabkan penyelidikan terhadap aktiviti biologi dalam sumber tumbuhan semakin meningkat. Hal ini kerana, bahan kimia berasaskan sumber semula jadi seperti sebatian bioaktif tulen dan hasil ekstrak piawai mempunyai kepelbagaian dalam bahan kimia yang berkeupayaan untuk bertindak sebagai agen antimikrob, antioksida, antitumor dan antidiabetik (Maregesi e tal. 2008). Pemahaman yang mendalam dan kesedaran tentang kepentingan mengenai bahan kimia daripada sumber tumbuhan membolehkan para penyelidik mengkaji tumbuh-tumbuhan termasuk cendawan bagi memperoleh sebatian-sebatian dan metabolit yang bakal menggantikan bahan kimia sintetik yang lazimnya menunjukkan kesan sampingan dan bertindak sebagai toksik serta mempunyai ciri-ciri karsinogen (Maregesi e tal. 2008).

Penggunaan ekstrak tumbuhan sebagai bahan alternatif dalam bidang perubatan dan industri makanan banyak dikaji sehingga kini (Wang et al. 2008; Kujumgiev et al. 1999; Amakura et al. 2002). Hal ini kerana, ubat-ubatan dan suplemen berasaskan bahan semula jadi lebih selamat digunakan dan menjadi pilihan masyarakat. Sejak kebelakangan ini, penyelidikan terhadap aktiviti biologi dari sumber cendawan banyak dilaporkan kerana kajian terhadap bahan aktif dalam cendawan memainkan peranan penting dalam penjagaan kesihatan manusia (Maja Kozarski et al. 2011; Xiaofei Xu et al. 2011).

Cendawan merupakan makanan bernutrisi dan popular dalam kalangan masyarakat Malaysia kerana cendawan mempunyai nilai yang tinggi sebagai sumber makanan dan digunakan untuk tujuan perubatan sejak berkurun lama (Linequist et al. 2005). Kajian mengenai antioksida, antimikrob, antitumor, antidiabetik dan komposisi kimia dalam cendawan telah menjadi antara perkara yang sangat penting dalam pembangunan industri farmaseutikal dan industri makanan. Kandungan protein yang tinggi dan kandungan kanji dan kolestrol yang rendah membolehkan cendawan digunakan sebagai suplemen nutrien berbentuk tablet bagi meningkatkan imuniti tubuh badan dan sesuai bagi pesakit diabetes dan pesakit hati (Wani et al. 2010). Pelbagai spesies cendawan telah digunakan dalam rawatan bagi kanser perut, paru-paru dan sebagainya di China, Russia, Korea, Jepun, US dan Kanada. Cendawan juga digunakan dalam penjagaan kesihatan untuk merawat penyakit-penyakit biasa seperti penyakit kulit sehinggalah kepada penyakit yang kompleks dan pandemik seperti AIDS (Wani et al. 2010). Beberapa spesies cendawan turut menunjukkan kesan positif dalam melawan bakteria, fungi, virus, dan barah (Tochikura et al. 1998; Jonathan and Fasidi 2003). Ini jelas menunjukkan bahawa pengambilan cendawan atau makanan tambahan berasaskan cendawan secara berterusan akan menjamin kadar kesihatan diri yang berpanjangan. Ini kerana cendawan mengandungi variasi sebatian bioaktif seperti ??-glukan, terpenoid, steroid, fenol, poliferol, glikoprotein dan polisakarida (Benzie et al. 2011). Sebatian bioaktif daripada cendawan yang ditulinkan berpotensi untuk digunakan sebagai sumber baru antioksidan, antimikrob dan antitumor semulajadi untuk mengawal, dan mengubati beberapa penyakit (Eliana et al. 2011).

Walaubagaimanapun masih banyak khasiat perubatan cendawan belum ditakrifkan dengan jelas. Oleh itu, lebih banyak kajian dan penyelidikan perlu dilakukan bagi memaksimumkan penggunaan cendawan yang ternyata mempunyai potensi yang boleh diterokai secara lebih mendalam. Cendawan gelam (Boletus variipes) yang digunakan dalam kajian ini merupakan sejenis cendawan liar tempatan yang ditemui di bahagian utara pantai timur Semenanjung Malaysia; Tok Bali, Kelantan. Orang tempatan percaya bahawa cendawan ini mampu mengubati penyakit-penyakit seperti kencing manis, kanser rahim, kanser payudara dan lain-lain lagi. Namun, tiada pembuktian saintifik yang dapat menyokong kenyataan lisan ini. Rasional penyelidikam ini adalah bagi menabir aktiviti biologi cendawan gelam dengan melihat tindakan bahan aktif ekstrak merencat aktiviti enzim ??-amilase dan ??-glukosidase serta mengawal kadar glukosa dalam darah ikan zebra (aktiviti antidiabetik), dan kesan sitotoksik ekstrak ke atas titisan sel kanser payudara (MCF-7), titisan sel hati (Hep G2) dan sel normal Vero (antiproliferatif).

Kelebihan penyelidikan ini ialah tumpuan khusus diberikan kepada penentuan aktiviti biologi (antidiabetik dan antiproliferatif) cendawan tempatan yang menjadi makanan penduduk tempatan; cendawan gelam (Boletus variipes). Kajian ini juga dapat membuktikan kenyataan lisan orang tempatan mengenai cendawan ini. Secara tidak langsung, kajian ini dapat menyumbang kepada pencarian bahan farmaseutikal berasaskan tumbuhan semula jadi, dan melibatkan kos pengeluaran yang lebih rendah berbanding tumbuhan kelas tinggi.

Review this essay:

Name
Rating
Your review: (optional)

Latest reviews:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload the CAPTCHA.