Essay: Pengurusan didefinisikan sebagai proses merancang... - Essay Marketplace

Essay: Pengurusan didefinisikan sebagai proses merancang…

PENGENALAN
Pengurusan didefinisikan sebagai proses merancang, mengorganisasi, memimpin dan mengawal daya usaha anggota-anggota organisasi serta menggunakan sumber-sumber yang lain bagi mencapai matlamat-matlamat yang ditetapkan dalam organisasi dengan cekap dan berkesan. Dalam pengurusan terdapat beberapa aspek pengurusan antaranya ialah persekitaran pengurusan, pembuatan keputusan, struktur organisasi, motivasi, kerja berpasukan, kawalan dan lain-lain. Tugasan individu bagi kursus Pengantar Pengurusan (PPB3013) sesi 2012/2013 ini ialah mengenal pasti dua antara aspek-aspek Pengantar Pengurusan dalam mana-mana satu organisasi yang berjaya. Organisasi yang dipilih dalam kajian ini adalah Mutiara Smart Computing Sdn. Bhd. Kajian bagi Smart Computing Sdn. Bhd. berkonsepkan motivasi dan kerja berpasukan.
Objektif kajian ialah:
1) Memahami dua antara aspek-aspek pengurusan iaitu aspek motivasi dan kerja berpasukan.
2) Menghubungkan dua antara aspek pengantar pengurusan seperti aspek motivasi dan kerja berpasukan dalam Mutiara Smart Computing Sdn. Bhd .

1.0 LATAR BELAKANG SYARIKAT.

Rajah 1. Logo MUTIARA Smart Computing.
Mutiara Smart Computing Sdn Bhd. dahulu dikenali sebagai MIMOS Smart Computing Sdn. Bhd. (MSCSB) telah ditubuhkan pada tahun 1998, dengan modal sebanyak RM10 Juta dan mempunyai kakitangan seramai 150 pekerja Bumiputera. MSCSB merupakan sebuah organisasi yang pada amnya terlibat secara terus dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) Malaysia dan mengkhususkan kepada perkhidmatan, pengeluaran, penyelenggaraan dan pengedaran perkakasan ICT.
Aktiviti perniagaan utama MSCSB merangkumi pengeluaran peralatan ICT, penjualan dan pembekalan perkakasan, perkhidmatan sewaan peralatan ICT, khidmat sokongan perkakasan yang dijual atau disewa oleh pihak kami, serta pengurusan projek-projek berlandaskan kegunaan perkakasan keluaran kami.

Objektif syarikat
‘ Sebagai pembekal peralatan dan perkhidmatan ICT kepada badan-badan kerajaan serta sektor swasta.
‘ Mengenal pasti dan membantu meningkatkan syarikat milik bumiputera agar lebih berdaya saing dalam penyertaan bidang ICT.
Misi syarikat
‘ Menjadi pengeluar komputer dan peranti utama di Malaysia.
‘ Di kenali sebagai pengeluar komputer tempatan yang terulung.
‘ Menjadi sebuah IT Solution Centre.
‘ Berkembang dan maju ke arena antarabangsa untuk meluaskan pasaran dan kesedaran jenama SMART.
Visi syarikat
‘ Menyokong matlamat kerajaan untuk mencapai status masyarakat yang berpengetahuan dalam bidang ICT.
‘ Meningkatkan tahap pemilikan komputer tempatan di Malaysia dengan menawarkan produk terbaik dan mampu milik.

2.0 MOTIVASI
Motivasi sering dikaitkan dengan kejayaan atau sesuatu yang telah dicapai selari dengan keinginan dan impian dengan mendorong keupayaan individu untuk membuat keputusan sendiri dalam segala tindakan yang diambil. Motivasi yang menjadi faktor seseorang itu bersungguh-sungguh, komited dan istiqamah dalam mencapai sesuatu yang diingini atau yang mahu dilaksanakan.
Steers dan Porter (1983) (seperti dipetik dalam Khalip, 2011, ms.103), menjelaskan bahawa perkataan motivasi diambil dari perkataan Inggeris iaitu motivation yang berasal dari perkataan Latin iaitu movere yang bermaksud menggerakkan. Menurut Strenberg (1997) (dipetik dalam Yusmalina Md Yusoff, 2010, ms.1), motivasi adalah ‘impulse’ iaitu dorongan atau bisikan hati, ‘desire’ iaitu keinginan dan hasrat yang amat sangat, atau ‘needs’ iaitu keperluan yang menyebabkan seseorang itu bertindak. menurut(Moriss & Maisto, 1999) (dipetik dalam Yusmalina Md Yusoff, 2010, ms.1), motivasi adalah satu bentuk arahan yang datang dari dalam diri individu secara paksa untuk memenuhi keperluan dan kehendak individu yang akhirnya membangkitkan organisma untuk menuju kepada matlamat. Oleh itu, motivasi secara umumnya telah didefinisikan dengan pelbagai istilah seperti hasrat, kemahuan, matlamat akhir, niat, objektif dan tujuan.
Terdapat lapan teori yang digunakan dalam kajian terhadap motivasi termasuk Hierarki Keperluan Maslow, Teori X dan Teori Y McGregor, Teori Dua Faktor Herzberg, Teori Tiga Keperluan McClelland, Teori Penetapan Matlamat, Teori Pengukuhan dan Teori Ekuiti. Masing-masing memiliki andaian dan pendapat yang berbeza dalam kajian mereka. Walau bagaimanapun, semua pandangan dari teori-teori tersebut berkait rapat dengan matlamat, usaha, keperluan dan kepuasan penyempurnaan kendiri.

Rajah 2. Teori-teori motivasi dalam organisasi.

Justeru, Robbins, DeCenzo dan Coulter (2011) (seperti dipetik dalam Khalip, 2011, ms.114-115) mendapati bahawa organisasi yang cemerlang harus berupaya mengiktiraf kepentingan motivasi pekerja dan mengambil tindakan yang sesuai seperti peka dengan perbezaan individu, menyesuaikan pekerja dengan jenis pekerjaan, menetapkan matlamat yang jelas dan mencabar, menetapkan matlamat yang mampu yang dicapai, mempelbagaikan bentuk ganjaran, menghubungkan ganjaran dengan prestasi, memastikan wujud keadilan dalam memberi ganjaran, dan memberi keutamaan kepada ganjaran kewangan.

Rajah 3. Langkah meningkatkan motivasi dalam organisasi.

Berkenaan dengan organisasi kajian iaitu bagi syarikat Mutiara Smart Computing Sdn. Bhd. (MSCSB), mereka amat mementingkan penentuan matlamat serta strategi yang jelas dan ingin serta mampu dicapai dalam satu jangka masa tertentu sebagai motivasi mereka. Hal ini adalah kerana MSCSB merupakan agensi strategik di bawah bidang kuasa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang bertanggungjawab dalam memacu daya saing ekonomi Malaysia dalam membangunkan inovasi melalui penyelidikan gunaan dan pembangunan (R & D) dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Organisasi ini memainkan peranan aktif dalam membangunkan industri tempatan yang berdaya saing di peringkat global dengan menjana usaha teknologi baru melalui memindahkan platform teknologi kepada syarikat-syarikat penerima teknologi tempatan. Dalam usaha ini, MSCSB menetapkan perkongsian pintar dan kerjasama dengan universiti, institusi penyelidikan, kerajaan serta syarikat-syarikat tempatan dan luar negara.
Sejak tahun 2006, MSCSB telah merangka satu set strategi pelaksanaan yang bertujuan untuk mencapai visi utama organisasi iaitu untuk menjadi pusat penyelidikan teknologi yang utama di dunia tanpa sempadan dan misi untuk menjadi perintis maklumat inovatif dan teknologi komunikasi ke arah pertumbuhan industri tempatan yang berdaya saing di peringkat global. Strategi tersebut ialah set lapan strategi pelaksanaan, yang juga dikenali sebagai ‘Strategic Adaptive Tools Realised for Innovation Acceleration (SATRIA) ‘, yang menekankan pendekatan mental kepahlawanan yang diperlukan untuk menjayakan transformasi organisasi.

Rajah 4. Set pelaksanaan lapan strategi SATRIA.
Sumber: Laporan tahunan 2010 MUTIARA Smart Computing Sdn. Bhd. Dimuat turun dari http://www.mimos.my/wp-content/uploads/2012/05/AR2010_270612.pdf.

Rajah 5. Peningkatan inovasi dengan kaedah SATRIA
Sumber: Laporan tahunan 2010 MUTIARA Smart Computing Sdn. Bhd. Dimuat turun dari http://www.mimos.my/wp-content/uploads/2012/05/AR2010_270612.pdf

Merujuk kepada matlamat yang jelas melalui SATRIA dan ia pula disebarkan kepada semua ahli MSCSB maka mereka akan lebih bermotivasi dan berusaha bersama-sama untuk mencapai matlamat yang ditetapkan oleh organisasi.
Selain mempunyai matlamat yang jelas dan mencabar, MSCSB juga memberi motivasi kepada seluruh kakitangan syarikat dengan menyesuaikan pekerja dengan jenis pekerjaan. Contohnya, MSCSB ada menyediakan perkhidmatan keselamatan rangkaian, pembangunan perisian, integrasi sistem dan banyak lagi, sehubungan dengan itu mereka memiliki pekerja mahir atau profesional dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan. Tambahan pula, dengan memiliki sebilangan kakitangan teknikal yang terlatih dan berkelayakan, beberapa dengan Microsoft Certified System Engineer (MCSE), Cisco Certified Network Administrator (CCNA) dan Microsoft Certified Profesional (PKM), mereka dapat memberikan perkhidmatan IT yang berkualiti untuk memenuhi kepuasan dan harapan pelanggan MSCSB.
Pekerja yang mempunyai kemahiran bersesuaian dengan jenis pekerjaan akan meningkatkan motivasi dan memberikan semangat serta mengurangkan tekanan yang melampau dalam persekitaran pekerjaan. Hal ini adalah kerana peratusan tekanan yang melampau di tempat kerja semakin meningkat dari tahun ke tahun di samping memberikan kesan terhadap kesihatan seperti menghadapi risiko sakit jantung. Pekerja yang bermotivasi akan menggunakan keupayaan dan kemahiran yang maksimum serta kurang tekanan kerana mereka dapat melakukan pekerjaan yang mereka sukai dan yang sesuai dengan kemahiran mereka, pekerja yang kurang bermotivasi pula sebaliknya. Tambahan pula pekerja bermotivasi juga dapat menajamkan lagi kemahiran serta kreatif dan inovatif dalam menyelesaikan segala permasalahan dan memberikan hasil keputusan yang berkualiti.
Tambahan pula, kebanyakan pekerja kerja masa kini lebih masa kerana berkehendakkan peningkatan dalam kerjaya seperti kenaikan pangkat atas desakan taraf hidup yang semakin tinggi selain untuk memenuhi perancangan matlamat syarikat tanpa menyedari bahawa ia mempengaruhi tahap kesihatan mereka. Menurut para pengkaji, sesiapa yang bekerja dalam tempoh masa yang lama mempunyai risiko sebanyak 80 peratus (%) untuk mendapat masalah kardiovaskular dan selain itu mudah diserang tekanan perasaan, darah tinggi dan amalan diet yang tidak terancang atau tersusun.
Daripada laporan tahunan 2010 MSCSB atau MIMOS, pada 9 Nov, 50 perantis siswazah menerima sijil mereka selepas tamat program Pusat Kepakaran Domain Pecutan MIMOS atau Centre of Domain Expertise Acceleration (CODE8). Program ini dilancarkan pada Oktober 2009 dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), CODE8 adalah program latihan bimbingan dan mentor yang direka untuk menyediakan pengalaman di tempat kerja untuk para graduan tempatan dan asing yang berkelayakan dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi ( ICT). Kumpulan perantis yang pertama menjalani latihan dalam bidang khusus seperti teknologi semantik, pengetahuan dalam kejuruteraan, pengkomputeran maju, sistem tanpa wayar tertanam, ujian perisian dan ukuran, ontologi dan teknologi perisian pengaturcaraan yang terkini dalam Java, Linux, C + + dan Share Point.
CODE8 menawarkan gabungan latihan dalam kelas sasaran, perubahan tingkah laku dan latihan kerja di MIMOS bawah bimbingan penyelidik terkemuka, saintis dan jurutera MIMOS. Daripada jumlah yang pertama kumpulan graduan, 29 telah terlibat dalam kehidupan sebenar projek Rancangan Malaysia ke sembilan yang membawa kepada potensi generasi Harta Intelek atau Intellectual Property (IP). Menteri Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata bahawa CODE8 adalah satu titik permulaan yang akan membawa kepada usaha berterusan dalam menyokong aspirasi kerajaan untuk mengubah ke arah inovasi yang seiring dengan pembangunan ekonomi.

Justeru, hal ini memberikan motivasi kepada bukan sahaja kakitangan MSCSB bahkan juga kepada para graduan di pusat pengajian tinggi awam mahupun swasta untuk meningkatkan lagi kemahiran dari segi intelek dan kemahiran teknikal. Hal ini adalah untuk melahirkan pekerja separa mahir dan mahir yang akan menjadi rebutan organisasi atau syarikat dari dalam atau luar negara. Melalui peningkatan tenaga kerja, maka ekonomi negara dapat ditingkatkan dan dimajukan setaraf negara-negara maju seperti Jepun.
Kakitangan MSCSB juga diberi galakan dan motivasi untuk bekerja dengan kreativiti, inovatif dan produktif supaya hasil yang bakal diperoleh berkualiti tinggi. Tambahan lagi, dengan galakan tersebut MSCSB dapat menghasilkan produk-produk yang berteknologi tinggi yang mendapat pengiktirafan dalam dan luar negara hasil daripada kreativiti dan inovatif kakitangan MSCSB.

Rajah 7. Antara ciptaan MSCSB yang mendapat pengiktirafan inovasi bertaraf dunia.
Sumber: Laporan tahunan 2010 MUTIARA Smart Computing Sdn. Bhd. Dimuat turun dari http://www.mimos.my/wp-content/uploads/2012/05/AR2010_270612.pdf.

3.0 KERJA BERPASUKAN
Kajian-kajian menunjukkan bahawa kerja berpasukan dapat menyerlahkan potensi dan meningkatkan prestasi apabila tugasan yang melibatkan pelbagai kemahiran, pengalaman dan penilaian digabungkan. Dalam erti kata yang lain, kerja berpasukan mampu membantu sesebuah organisasi memaksimumkan bakat dan kemahiran antara anggota dalam kumpulan yang bekerja bersama-sama ke arah satu sasaran matlamat.
Kerja berpasukan ditakrifkan sebagai sebarang kumpulan manusia yang mempunyai tujuan umum yang sama dan masing-masing mengiktiraf ahli lain sebagai rakan sepasukan yang sama taraf (Ron Archer,1996) (seperti dipetik dalam Zahari, 2011, ms.142). Selain itu, Richard et al. (1995) (seperti dipetik dalam Zahari, 2011, ms.142) menyatakan kerja berpasukan merupakan penyempurnaan tugas secara teknikal oleh individu yang terdiri daripada sepasukan atau sebilangan ahli. Kebanyakan pandangan ahli-ahli pengkaji mengenai kerja berkumpulan berhubung kait dengan sekumpulan individu bekerjasama mencapai sesuatu matlamat atau objektif.
Dalam kerja berpasukan akan melalui lima tahap pembentukan kerja berpasukan iaitu tahap membentuk, tahap menggempur, tahap membentuk norma, tahap pelaksanaan dan tahap pembubaran.

Berdasarkan Rajah 5 di bawah terdapat lima tahap pembentukan kerja berpasukan dengan penerangan ringkas bagi setiap tahap.

Rajah 8. Tahap pembentukan kerja berpasukan.
Sumber: Modifikasi berdasarkan Zahari (2011), Modul Pengantar Pengurusan, ms. 143-145, Tanjong Malim, Penerbit UPSI.
Untuk menjadi sebuah organisasi yang berjaya, ia bergantung pada beberapa kualiti kerja berpasukan yang berkesan. Elemen-elemen yang penting dalam mewujudkan kerja berpasukan yang berkesan ialah matlamat yang jelas, kemahiran, kepercayaan, komitmen, komunikasi, kemahiran perundingan, kepimpinan, sokongan dari dalam dan dari luar. Tanpa elemen-elemen ini maka kerja dalam satu pasukan tidak akan dapat menghasilkan sesuatu keputusan yang terbaik malah akan menjadi sebaliknya. Justeru tanpa kerja berpasukan yang berkesan, ia akan memberikan impak yang negatif kepada sesebuah organisasi.
Rajah 6 di bawah menerangkan secara ringkas mengenai kerja berpasukan yang berkesan.
Rajah 9. Kerja berpasukan yang berkesan.
Sumber: Modifikasi berdasarkan Zahari (2011), Modul Pengantar Pengurusan, ms.152-153, Tanjong Malim, Penerbit UPSI.
Sebagai pusat R &D kebangsaan dalam ICT, MSCSB memupuk hubungan dan kerjasama dalam mewujudkan hubungan antara bakat, idea-idea, pengetahuan, motivasi, aspirasi, strategi dan hasil bagi mentakrifkan sempadan dan membentuk semula proses dalam kehidupan. Sebagai titik tumpuan ekosistem, mereka memupuk faktor-faktor ini yang saling berkaitan dan memantau bagaimana hubungan mereka berkembang dari masa ke masa. Mereka mengesan dan bertindak balas kepada perubahan dalam pasaran dan pertandingan dalam menilai permintaan, dan menilai kesan perubahan dasar dan trend global.
Bagi MSCSB, mereka amat mementingkan kerja berpasukan kerana mereka memahami bahawa kerja berpasukan adalah penting untuk mengeratkan hubungan antara ahli MSCSB dan juga mampu menghasilkan satu pulangan berharga mengikut matlamat yang diharapkan. Daripada lapan strategi pelaksanaan, SATRIA1 iaitu Nilai Teras Kepimpinan dianggap asas kepada kejayaan pelaksanaan tujuh strategi yang selebihnya. SATRIA1 merupakan pusat memupuk perkongsian satu set nilai-nilai yang disasarkan membentuk sikap ahli MSCSB dan untuk meningkatkan potensi kreatif dan inovatif mereka.

Rajah 10. Nilai kerja berpasukan MSCSB.
Sumber: Laporan tahunan 2010 MUTIARA Smart Computing Sdn. Bhd. Dimuat turun dari http://www.mimos.my/wp-content/uploads/2012/05/AR2010_270612.pdf.

Dalam rajah 7 di atas merujuk kepada lapan nilai-nilai murni dalam SATRIA1 yang harus ada dan diamalkan oleh setiap ahli MSCSB iaitu integriti tanpa kompromi (uncompromising integrity), kepimpinan teknologi jangkaan (enviosioning technology leadership), visi yang dikongsi bersama dalam kalangan ahli pasukan (shared vision among team members), pelaksanaan komitmen yang sempurna (flawless execution of commitments), kelebihan dalam prestasi (edge in performance), budaya inovasi, kreativiti dan produktiviti (culture of innovation, creativity and productivity), bekerjasama sebagai satu cara hidup (teaming as way of life) dan akauntabiliti dalam setiap tindakan (accountability for all actions).
Integriti tanpa kompromi (uncompromising integrity) menerangkan mengenai setiap tindakan yang diambil perlu selaras dengan penghakiman moral yang standard dan konsisten dengan kod etika MSCSB. Nilai kedua ialah kepimpinan teknologi jangkaan (enviosioning technology leadership) yang menunjukkan kesungguhan untuk memperoleh pengetahuan teknikal yang diperlukan, kemahiran dan kecekapan untuk mencapai keputusan atau untuk memenuhi keperluan pelanggan dengan berkesan.
Nilai ketiga ialah visi yang dikongsi bersama dalam kalangan ahli pasukan (shared vision among team members) menunjukkan pemahaman tentang hubungan antara tanggungjawab kerja sendiri dengan keseluruhan matlamat organisasi dan keperluan, serta dapat melaksanakan tugas seseorang dengan matlamat yang lebih luas. Nilai keempat ialah pelaksanaan komitmen yang sempurna (flawless execution of commitments) iaitu untuk menerapkan, mengekalkan dan meningkatkan serta mendalami pengetahuan luas atau kemahiran khusus untuk mencapai hasil atau perkhidmatan berkesan kepada pelanggan. Menunjukkan keprihatinan untuk memenuhi keperluan pelanggan dalaman dan luaran dengan cara memberikan kepuasan kepada pelanggan dengan sumber-sumber yang sedia ada.
Nilai kelima iaitu kelebihan dalam prestasi (edge in performance) dalam menghasilkan keputusan yang berkualiti atau perkhidmatan yang melebihi piawaian organisasi. Seterusnya nilai keenam, budaya inovasi, kreativiti dan produktiviti (culture of innovation, creativity and productivity). Nilai ini menjurus kepada penyesuaian diri dengan mudah untuk menukar, melihat merit dari kedudukan yang berbeza dan strategi dalam respons kepada maklumat baru atau perubahan dalam keadaan.
Nilai yang seterusnya ialah kerja berpasukan sebagai satu cara hidup (teaming as way of life) iaitu mampu untuk membangunkan kerjasama dan kesepakatan ke arah menghasilkan penyelesaian yang lebih baik, yang secara umumnya memberikan manfaat kepada semua pihak yang terlibat. Nilai yang terakhir ialah akauntabiliti dalam semua tindakan (accountability for all actions) iaitu dalam membuat keputusan secara rasmi dan bijak, setelah membuat pertimbangan yang sebaiknya dalam setiap tindakan. Selain bertanggungjawab atas semua keputusan dan tindakan yang diambil.
Selain nilai-nilai yang terkandung dalam SATRIA 1 diterapkan pada ahli-ahli MSCSB, MSCSB juga menjalankan kerja berpasukan secara bersilang fungsi. Petikan dari Modul Pengantar Pengurusan menyatakan pasukan bersilang fungsi terdiri daripada ahli pasukan dari paras hierarki yang sama yang bekerjasama dalam menyelesaikan sesuatu tugasan, tetapi dari jabatan atau unit yang berbeza. Menurut Glenn (1994) (seperti dipetik dalam Zahari, 2011, ms.148), pasukan bersilang fungsi adalah sangat berperanan dan tidak mempunyai batasan tertentu. Selain itu, pasukan bersilang fungsi diberi bidang kuasa dan tanggungjawab yang lebih bagi merancang dan mengendalikan sesuatu projek yang memerlukan koordinasi, kerjasama serta input yang berkenaan daripada semua pihak yang terlibat (Lussier & Achua, 2000) (seperti dipetik dalam Zahari, 2011, ms.148). Lussier dan Achua, 2000, juga menyatakan kepimpinan dalam pasukan kerja bersilang fungsi masih berpusatkan kepada ketua pasukan yang memainkan peranan sebagai perunding, penasihat dan pemudah cara.
Antara jabatan dalam MSCSB ialah jabatan Pembangunan Perisian dan Pusat Kejuruteraan, Capaian dan Operasi Teknologi, Strategi dan Perancangan Teknologi dan sebagainya. Walaupun berada dalam jabatan dan unit yang berbeza namun ahli-ahlinya berusaha dan bekerjasama dalam melaksanakan matlamat dalam membangunkan pelan-pelan yang dirancang seperti Teknologi Hijau, Keselamatan Informasi, Pengkomputeran Grid, Nanoelektronik dan banyak lagi. Tambahan lagi, matlamat bagi mencapai misi dan visi MSCSB yang telah dinyatakan pada awal pengenalan syarikat MSCSB.
Pasukan bersilang fungsi sebenarnya memberi kelebihan bagi MSCSB kerana pasukan yang dibentuk mempunyai kepelbagaian dalam aspek kepakaran dan kemahiran yang dimiliki setiap ahli. Apabila kedua-dua aspek tersebut digabung, keputusan yang akan diperoleh daripada penyelesaian masalah adalah yang terbaik seiring dengan peningkatan koordinasi antara ahli pasukan. Selain itu, perbezaan latar belakang contohnya daripada perbezaan jabatan atau unit yang menumpukan pada kepakaran tersendiri, dapat mewujudkan daya kreativiti dan inovatif dalam mencari jalan untuk menyelesaikan tugasan mengikut ketetapan oleh ketua pasukan kerja.

Hal ini merupakan salah satu faktor kejayaan MSCSB kerana kerja berpasukan di bawah kepimpinan ketua yang berkaliber lebih terarah untuk dipandu kepada matlamat yang hendak dicapai organisasi mengikut ketetapan masa di samping mengelakkan pembaziran sumber, masa, dan organisasi dapat beroperasi seiring dengan peredaran masa global.

4.0 REFLEKSI
Dapatan kajian syarikat Mutiara Smart Computing Sdn. Bhd. (MSCSB) menunjukkan syarikat ini mementingkan aspek motivasi dalam organisasi dan juga kerja berpasukan. Penekanan terhadap dua aspek ini telah memberikan pulangan yang baik kepada MSCSB dari segi kepercayaan pelanggan terhadap perkhidmatan yang diberikan selain menjana sebahagian pertumbuhan ekonomi negara. Hal ini adalah kerana Malaysia dapat mengurangkan kos yang melibatkan agensi di luar negara kerana MSCSB dapat memberikan perkhidmatan yang setaraf kepakaran di luar negara dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Selain itu, hasilnya ialah suatu ekosistem kerja berpasukan yang padu dan motivasi yang tinggi dalam kalangan ahli MSCSB dengan penciptaan dalam menghasilkan nilai produk komersial, penyelesaian dan platform teknologi, yang merupakan komponen kritikal dalam pembinaan ekosistem organisasi yang berdaya saing.
Dari konteks pengurusan, sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kemenangan atau kejayaan dalam kerja, perniagaan, mana-mana pertandingan, dalam kalangan keluarga atau komuniti adalah bergantung kepada ahli-ahli pasukannya. Sekiranya ahli-ahli pasukannya tidak berkomunikasi dengan berkesan, tiada bekerjasama, tiada motivasi dan menghadapi perselisihan faham antara satu sama lain, pasukan itu semestinya akan kecundang. Satu pasukan adalah sekumpulan orang yang bekerja bersama atas satu tujuan. Setiap ahli menggunakan pengetahuan, kemahiran, usaha dan tenaga untuk membuahkan hasil yang membanggakan.
Pengurus perlu menggunakan kuasanya dengan sewajarnya untuk mempengaruhi pekerja menjalankan tugas masing-masing mengikut objektif yang telah ditetapkan oleh organisasi. Pekerja akan memandang tinggi kepada pihak pengurusan yang berwibawa. Tambahan pula dengan menggunakan polisi yang membabitkan penyertaan pekerja dan menggalakkan pekerja untuk mengemukakan pandangan dalam memajukan organisasi. Pandangan pekerja perlulah diteliti dan diambil tindakan yang sewajarnya sekiranya perlu.
Kuasa yang keterlaluan akan menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan pekerja. Hal ini adalah kerana pekerja akan merasa tertekan dan ini akan menimbulkan gejala yang tidak diingini seperti ingkar kepada arahan, kemerosotan disiplin pekerja dan sebagainya. Untuk mendapatkan kesan yang baik, cara pengaruh yang baik yang perlu digunakan oleh pengurus adalah dengan menggunakan komunikasi yang memberangsangkan kepada pekerja. Pekerja boleh dimotivasikan dengan menggunakan pengaruh atau kuasa. Pengurus sepatutnya menggunakan pengaruhnya dengan sebaik mungkin untuk mendapatkan sokongan daripada pekerja.
Setiap pekerja yang bermotivasi akan berkehendak untuk meningkatkan kemahiran secara berterusan dan latihan kemahiran adalah jalan yang terbaik perlu diambil oleh sesebuah organisasi. Pekerja merasa yakin terhadap latihan kerana mereka menganggap bahawa latihan merupakan kunci utama untuk maju. Penghargaan menerusi latihan akan menjadikan seseorang pekerja terus aktif menyumbangkan kepakarannya kepada organisasi. Keupayaan untuk belajar akan meningkatkan prestasi pekerja berkenaan. Jika sesebuah firma mendapatkan kemahiran baru dan seterusnya diterapkan kepada pekerja-pekerjanya, sudah pasti ia dapat menguatkan lagi daya motivasi pekerja.
Walau bagaimanapun pihak pengurusan perlu memikirkan jenis latihan yang sesuai dengan kehendak organisasi dan pekerja itu sendiri. Hal ini perlu kerana, tiada hasil yang bakal diperoleh jika seseorang pekerja itu diberi latihan yang tidak dapat membantu dalam meningkatkan prestasi organisasi mahupun prestasi pekerja. Selain itu, faedah pekerja kadangkala dirujuk sebagai faedah sampingan tetapi sebenarnya ia adalah unsur-unsur asas yang perlu dalam pakej pekerjaan. Faedah-faedah yang diberikan kepada pekerja adalah unsur-unsur yang terkandung di dalam keseluruhan penghargaan di samping gaji yang diterima. Kemudahan-kemudahan tersebut termasuklah perkara-perkara yang melibatkan nilai kewangan seperti skim persaraan, insurans pekerja, bayaran perubatan, kemudahan pengangkutan, kemudahan penginapan dan cuti. Meskipun faedah pekerja tidak menghasilkan motivasi secara terus, ia dapat meningkatkan komitmen dan kepuasan bekerja terhadap syarikat atau organisasi. Di samping itu, faedah pekerja boleh meninggikan lagi kesetiaan pekerja terhadap syarikat. Contohnya, firma-firma di Jepun mempunyai pekerja-pekerja yang sangat taat kepada syarikat yang akhirnya dapat meningkatkan produktiviti syarikat. Jika pengurusan organisasi berlaku sebaliknya, akan ada segelintir pekerja yang lebih cenderung untuk bertukar kerja selepas mendapat latihan kerana mendapat tawaran yang lebih tinggi daripada firma-firma lain.
Oleh itu pihak pengurusan perlulah memikirkan langkah-langkah yang sesuai agar pekerja yang telah diberi latihan tidak berhijrah ke tempat lain. Latihan-latihan untuk meningkatkan kemahiran dan kecekapan akan menjadikan seseorang itu lebih yakin dengan pekerjaan yang dibuatnya. Di samping itu, latihan boleh mengurangkan pembaziran masa, tenaga dan wang ringgit

5.0 RUMUSAN
Sebagai rumusan daripada kajian ini, ternyata bahawa motivasi dan kerja berpasukan adalah amat penting dalam sesebuah organisasi. Walaupun terdapat beberapa lagi aspek pengurusan seperti persekitaran pengurusan, pembuatan keputusan, struktur organisasi, pemimpin dan kepimpinan dan banyak lagi, namun aspek motivasi dan kerja berpasukan penting untuk mengekalkan kedudukan sesebuah organisasi. Kerja berpasukan adalah perlu untuk menjayakan matlamat organisasi dalam jangka masa yang dirancang dan ditetapkan. Pelbagai kemahiran, kreativiti, idea-idea dapat dikongsi antara ahli pasukan selain dapat mewujudkan suatu hubungan silaturahim, kerjasama dan tolak ansur walaupun saling tidak mengenali sebelumnya. Motivasi pula diperlukan untuk mengekalkan semangat setiap ahli pasukan untuk terus berusaha menyiapkan tugasan dan memberikan suatu hasil yang berkualiti. Motivasi bermula dengan kehendak seperti kehendak kenaikan pangkat, disusuli dengan usaha tanpa jemu dan bersemangat akan memberikan hasil iaitu kejayaan mencapai apa yang dikehendaki dan kepuasan kendiri.

BIBLIOGRAFI
Khalip ( 2011). Unit 7 : Motivasi. Dalam Marinah Awang & Suzyanty Mohd Shukory (Eds). Modul Pengantar Pengurusan (ms.103-120). Tanjong Malim: Penerbit UPSI.
Laporan Tahunan MIMOS 2007.
Dimuat turun daripada
http://pptpsmblog.intra.net.my/wp-content/uploads/2011/07/Profil-Syarikat_-bm.pdf pada 9 Oktober 2012.
Laporan Tahunan MIMOS 2010.
Dimuat turun daripada http://www.mimos.my/wpcontent/uploads/2012/05/AR2010_270612.pdf pada 15 Oktober 2012.
Marinah Awang & Suzyanty Mohd Shukory (2011) (Eds). Modul Pengantar Pengurusan. Tanjong Malim: Penerbit UPSI.
Portal Usahawan Bumiputera Pulau Pinang.
Dimuat turun daripada
http://www.bpp.icu.gov.my/eDirektori/?page=papar&cat_id=15&subcat_id=33&sid=103 0 pada 8 Oktober 2012.
Tentang Mutiara Smart Computing.
Dimuat turun daripada
http://www.smart.com.my/index.php pada 8 Oktober 2012.
Yusmalina Md Yusoff (2010). Pengenalan Motivasi .
Dimuat turun daripada
http://www.scribd.com/doc/45727523/Pengenalan-Motivasi pada 15 Oktober 2012.
Zahari (2011). Unit 9 : Kerja Berpasukan Dalam Organisasi. Dalam Marinah Awang & Suzyanty Mohd Shukory (Eds). Modul Pengantar Pengurusan (ms.141-157). Tanjong Malim: Penerbit UPSI.

LAMPIRAN 1

1. Nama Syarikat : MUTIARA Smart Computing Sdn Bhd
2. Alamat Syarikat : No.1 Jalan BK 1/13,Kinrara Industrial Park .
Bandar Kinrara,6 ?? Miles,Jln Puchong 47180 Selangor.
3. No. Telefon Dan No. Fax : +603 8075 7088 +603 8075 23762
4. Tarikh Penubuhan Syarikat : 10 November 1997
5. Jenis Perniagaan : Sendirian Berhad
6. No. Pendaftaran : 357-02003731
Kementerian Kewangan
7. Kod Bidang : 020101,020201,210101,210102,210103,
210104,210105,210106,220209
8. Panel Bank & No Akaun : CIMB Bank Bandar Seri Petaling,28 Jln Radin Tengah,
Bandar Baru Seri Petaling,57000 Kuala Lumpur.
(1429-0002434-05-2)
9. Kemudahan Kredit & Nilai : Malayan Banking Berhad,
Menara Maybank,100 Jln Tun Perak 50050,
Kuala Lumpur. (RM 60,000,000.00)
10. Modal yang dibenarkan : RM10,000,000.00
11. Modal Berbayar : RM10,000,000.00

LAMPIRAN 2

PENCAPAIAN

1’st Intel OEM in Malaysia
1’st Microsoft OEM in Malaysia
Membekalkan peralatan ICT kepada semua Kementerian dan Agensi secara
sewaan
berpusat daripada tahun 1999 hingga 2004
Merupakan di antara 10 pembekal utama peralatan ICT di Malaysia

PENGANUGERAHAN & PENGIKTIRAFAN

Best Homegrown Desktop ‘ PC.COM 2007
Best Local Notebook ‘ PC.COM 2006
Best Local Budget Notebook ‘ PC.COM 2005
Novell Silver Partner 2005
HP Platinum Imaging & Printing ‘ HP 2004
Best Homegrown PC ‘ PC.COM 2004
Best Desktop System ‘ Hardware Magazine 2004
AMD Best System of the Month ‘ Hardware Magazine 2004
INTEL Server Sales Achievement ‘ Q3 2001
Outstanding Partner Award ‘ Seagate 2001
Top Performing Resellers ‘ Seagate 1999

KHIDMAT SOKONGAN PENGGUNA

LAMPIRAN 3 LAMPIRAN 4

Review this essay:

Name
Rating
Your review: (optional)

Latest reviews:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload the CAPTCHA.