Essay: SOROTAN KESUSASTERAAN - Essay Marketplace

Essay: SOROTAN KESUSASTERAAN

PENGENALAN
Sorotan kesusasteraan merupakan bab yang amat penting untuk menyatakan sumber rujukan yang digunakan oleh penkaji melalui kaedah bacaan dan mengambil isi penting yang diyakini berkaitan dengan kajian. Penkaji telah menggunakan kajian-kajian yang lepas sebagai bahan rujukan untuk mengupas topik yang dikaji dengan lebih mendalam, buku-buku ilmiah dan jurnal. Penkaji juga turut menggunakan capaian internet untuk memperolehi maklumat melalui sumber yang boleh dipercayai.
Selain itu, berdasarkan sumber ini akan dijadikan sebagai bukti dan sokongan terhadap kajian yang dijalankan dan dengan ini penkaji menggunakan kaedah bacaan dan mengambil isi penting daripada buku-buku dan jurnal. Di samping itu, ianya juga digunakan untuk mengelak plagiarism dari thesis sebelumnya. Penkaji memulakan langkah dengan mencari bahan-bahan yang berkaitan dengan seni khat seperti asal usul, jenis khat, material yang digunakan serta fungsinya.
Terdapat beberapa buah buku yang telah dipilih untuk membuat sorotan kesusasteraan kajian ini. Buku-buku tersebut sangat penting kerana ia menunjukkan bahawa perkara-perkara yang dikaji sememangnya wujud. Walaubagaimanapun, masih terdapat ruang-ruang kosong yang ditinggalkan oleh penkaji lepas untuk dibuat kajian. Sorotan kesusasteraan ini juga penting digunakan dalam membuktikan bahawa penkaji-penkaji lepas belum lagi menkaji perkara-perkara yang hendak dikaji ini iaitu Pengurusan Persatuan Seni Khat TTI. Buku-buku yang dipilih adalah seperti di bawah.
PEMELIHARAAN WARISAN
Menurut (Abdul Aziz Hussin,: 2011) ‘pemuliharaan warisan juga penting kerana boleh menimbulkan perasaan adanya sejarah dan identiti ( a sense of history and identity ) kepada penduduk sesebuah kawasan’.
Pemuliharaan warisan seni khat ini amat penting kerana ianya melambangkan identiti Islam yang dahulunya popular.
KHAT
Menurut kajian (Latifah Alias: 2011) iaitu Kaedah dan pendekatan pengajaran seni khat, beliau menyatakan ‘Di negeri Johor, seni khat banyak bergantung kepada usaha individu.
Antara khatatt yang telah berusaha secara sendirian dalam mempelajari, dan memperjuangkan seni khat ialah Amir Yusof, Sha’aban Abdul Aziz dan Jainal Sakiban. Mereka telah mengukir nama sebagai penulis khat. Sebagai bukti bahawa mereka telah memperjuangkan seni khat adalah melalui penubuhan Persatuan Seni Khat Kebangsaan Cawangan Johor (PSKKCJ) pada tahun 1996. Persatuan tersebut dipimpin oleh Jainal Sakiban sendiri. Namun, disebabkan sebilangan anggota persatuan tersebut sendiri yang kurang memberikan kerjasama yang tinggi untuk memartabatkan seni khat ini, maka tidak banyak program dapat dilaksanakan. Selain itu, disebabkan masih ramai lagi anggota yang belum mampu menjadi khattat yang berwibawa juga merupakan salah satu faktor Persatuan tersebut kurang mengadakan program. Penkaji akan menkaji beberapa program yang diadakan oleh Persatuan Seni Khat TTI.
ASAL USUL SENI KHAT
Menurut (Muhammad Bukhori Lubis, 1995) Susulan kepada perkembangan tulisan jawi, lahirlah khat Islami. Lebih tepat digelar seni khat Islami daripada istilah khat Arab’.
Berdasarkan pernyataan di atas membuktikan bahawa seni khat datang ke Alam Melayu sejak kedatangan Islam lagi yang pada mulanya menggunakan tulisan jawi yang meliputi pelbagai sistem ejaan. Sebenarnya seni khat Islami ini berkembang dan diminati oleh kebanyakan orang sejak di Alam Melayu lagi. Buktinya, hasil tulisan khat ini boleh dilihat dalam pelbagai bahan seperti kertas, ubin, marmar, kayu, bulu ayam, kaca dan sebagainya. Lokasi atau ruang yang terdapatnya tulisan seni khat ini boleh dilihat pada buku, majalah, bangunan, dewan, kedai-kedai, papan iklan, masjid dan sebagainya. Seni khat berkembang dengan baiknya sehinggalah kini.

Menurut (Ensiklopedia Islam, 2004) pula, ‘khat adalah ilmu yang memperkenalkan huruf tunggal, penempatannya dan cara merangkainya menjadi tulisan.
Berdasarkan daripada pernyataan tersebut, penkaji rumuskan bahawa khat adalah huruf-huruf tunggal dan seterusnya dicantumkan menjadi dalam bentuk tulisan. Seterusnya ubahan huruf-huruf dan baris-baris bergantung kepada individu yang menghasilkannya sama ada dari segi ubahan ejaan atau sebagainya. Selain itu, buku ini juga menjelaskan khat adalah tulisan yang terhasil dalam baris-baris dan menjelaskan bagaimana cara untuk menulis khat dan cara bagaimana menentukan mana yang tidak perlu ditulis, cara mengubah ejaan yang perlu digubah dan bagaimana untuk mengubah tulisan tersebut. Penulisan khat bergantung kepada setiap individu mengikut kesukaan sendiri.

Di samping itu, menurut penulis-penulis buku Tamadun Islam iaitu (Ghazali, 2001, Ab. Alim dan Syed Idrus, 1995, Mahayudin, 2004, Kamil al-Baba, 1992) mereka menyatakan bahawa ‘seni khat merupakan satu seni yang berkembang seiring dengan perkembangan bidang seni yang lain terutama sekali seni ukiran’.
Seni khat turut popular dan terkenal seiring dengan seni-seni yang lain seperti seni ukiran yang dilihat paling menonjol pada masa dahulu mahupun masa kini. Seni ukiran kini dapat dilihat di mana-di mana sahaja terutama di masjid-masjid, rumah-rumah, bangunan dan sebagainya. Pada zaman dahulu seni khat jarang diperkenalkan dan kurang mendapat sambutan kerana fungsinya yang agak kurang diaplikasikan di mana-mana tempat. Namun, seni khat pada masa kini telah banyak diaplikasikan di merata-rata tempat.

Manakala definisi menurut (Ensiklopedia Islam Untuk Pelajar,Jilid 5. 2001) ‘. Kaligrafi secara umumnya mempunyai maksud seni penulisan yang indah.
Menurut pernyataan di atas ,nama lain bagi seni khat adalah kaligrafi. Seni kaligrafi Islam seringkali dikaitkan dengan seni khat. Seni khat adalah seni tulisan yang sangat indah dan juga dipanggil sebagai seni penulisan Islam yang indah kerana berkait dengan Islam. Perkataan kaligrafi ini berasal dari bahasa Yunani iaitu kalios yang bererti indah dan graphia yang bererti tulisan. Seni ini diciptakan dan dikembangkan oleh kaum muslim sejak kedatangan Islam. Sebagai bahasa yang memiliki karakter lembut dan artistik, huruf Arab menjadi bahan yang sangat kaya untuk penulisan kaligrafi. Kaligrafi Islam ini juga sangat berkaitan dengan Al-Quran dan hadis kerana sebahagian besar tulisan indah dalam bahasa Arab menampilkan ayat al-Quran atau hadis Nabi S.A.W’.
Menurut (Hasrul Hashim, 2008), Seni khat adalah antara salah satu seni yang indah dan halus, sangat dihargai serta mempunyai kedudukan yang istimewa kepada umat Islam.
Berdasarkan kenyataan tersebut, seni khat merupakan khazanah islam yang amat berharga. Penulisan khat amat penting dalam menyampaikan dakwah kerana tulisannya yang halus, lembut, harmoni dan sebagainya yang mampu menjadi medium dalam menyampaikan sesuatu pesanan ajaran Islam. Sejarah perkembangan seni khat adalah seiring dengan sejarah perkembangan tamadun Islam. Pada abad pertama dan kedua hijrah, khat merupakan salah satu ciri untuk memperindahkan sesuatu penulisan. Melalui khat, setiap maksud dapat diungkapkan. Seni khat bukan juga bukan hanya berfungsi sebagai penyampai maklumat tetapi mengandungi nilai-nilai abstrak yang disimpulkan dengan kehalusan, kelembutan, kesinambungan, perhubungan, pergerakan, keharmonian dan sebagainya.

Menurut artikel yang dikeluarkan oleh (Utusan Malaysia, 05.12.2008) ‘Di dunia Melayu, seni khat tersebar dalam kedatangan Islam dan batu bersurat Terengganu bukan sahaja menjadi bukti kedatangan agama suci itu tetapi juga menunjukkan bahawa khat telah diterima menjadi sebahagian daripada budaya’.
Ini menunjukkan bahawa seni khat amat penting dan mempunyai kedudukan yang tinggi berbanding seni-seni yang lain dalam tamadan Islam dan masyarakat Islam. Asal-usul seni khat ini turut mempunyai kaitannya dengan batu bersurat di Terengganu. Selain itu, menurut artikel tersebut lagi, seni khat ini dijadikan sebahagian daripada budaya Islam. seni khat yang menggunakan tulisan Arab mempunyai kedudukan yang tinggi di kalangan masyarakat Islam dan tamadunnya. Menurut buku ini lagi, seni khat merupakan seni tulisan hiasan dan bererti tulisan tangan (dan cara menulisnya), garis (tulisan), kaligrafi.

‘Di Semenanjung Tanah Melayu, sebagai contoh pertemuan Batu Bersurat di Terengganu telah membuktikan bahawa khat Arab telah diguna pakai di Alam Melayu sejak ratusan tahun lagi (Noraini Muhammad 2009).
Batu Bersurat di Terengganu telah membuktikan bahawa khat Arab telah wujud di alam melayu iaitu bermula sekitar kurun ke-7 Hijrah iaitu 702H/1303 M. Berdekatan Batu Bersurat tersebut adanya batu pedang yang terdapat ukiran khat kalimah Allah di mana ukiran itu berbentuk khat kufi. Khat tersebut telah ditulis dengan menggunakan bahasa Melayu. Bukti ini telah menyebabkan penggunaan tulisan ini semakin berkembang dan digunakan dalam urusan kerajaan dan menjadi tulisan rasmi.

FUNGSI SENI KHAT
Menurut (Zulina Hassan 2009), ‘Perkembangan sni khat di seluruh dunia pesat sekali, seiring dengan perkembangan dakwah islamiyyah dan ilmu Islam’.
Melalui pembacaan penkaji, seni khat bukan sahaja berperanan mengabadikan Al-Quran dalam bentuk tulisan malahan turut diabadikan sebahagian daripada ayat Al-Quran tersebut di bangunan-bangunan terutamanya di masjid, rumah-rumah dan sebagainya. Selain itu, beliau juga turut menyatakan bahawa seni khat ini bukan sahaja dihasilkan oleh orang Arab. Seni khat berkembang pesat mengikut peredaran masa dan perkembangan dakwah Islam. Ahli khat juga bukan sahaja terdiri daripada kalangan orang Arab bahkan pelbagai keturunan Islam yang lain di seluruh dunia. Antaranya adalah Parsi, Turki, India, Melayu dan lain-lain lagi.

Pendapat Zulina Hassan 2009 turut disokong oleh (Noraini Muhammad 2009) yang menyatakan bahawa ‘seni khat ini merupakan salah satu bidang kesenian yang amat diminati oleh orang Islam’.
Beliau menyatakan bahawa seni khat ini adalah seni yang diminati oleh umat Islam. Di dalam kajiannya juga turut menyatakan tentang keindahan seni khat yang banyak diabadikan di banyak tempat seperti di bangunan-bangunan, kubah masjid, seramik, kaca dan juga turut diukir di atas kayu dan logam. Melalui pembacaan penkaji juga, seni khat turut berkembang dari semasa ke semasa sejak zaman Rasullullah S.A.W hinggalah ke hari ini. Seni khat terus berkembang dan pencapaiannya juga terus meningkat dengan cemerlangnya. Selain itu, seni khat ini telah menghasilkan pelbagai reka bentuk. Selepas 100 tahun kewafatan Rasullullah S.A.W, seni ini telah berada di puncak kegemilangannya.

Menurut (Hassan: 1993), ‘kehalusan khat juga didapati pada rumah bertiang 12 yang beridentiti tersendiri di Terengganu’.
Di Terengganu, seni khat turut terdapat pada rumah bertiang 12 di mana rumah tersebut mempunyai identiti yang tersendiri. Rumah jenis ini berasal daripada seni bina Istana Sultan Terengganu. Pada kebiasaannya, rumah ini dibina oleh orang-orang yang ternama dan orang-orang kaya. Dinding rumah yang dibina berbentuk kembung atau lidah buaya. Pada bahagian atas rumah ini pula terdapat hiasan seperti kerawang-kerawang yang telah diukir dengan ukiran tebuk yang bermotifkan unsur geometri, flora dan ayat-ayat al-quran atau bentuk bunga yang halus.

‘Tempat atau ruang yang menerima tulisan khat ini adalah seperti buku, majalah, bangunan, dewan, kedai, iklan, papan tanda bandar atau jalan dan tidak ketinggalan, malah yang terpenting, masjid. (Muhammad Bukhari Lubis: 1995).
Sebenarnya, seni khat telah berkembang di Alam Melayu lagi dan di Malaysia seni khat Islami juga turut berkembang dan diminati oleh kebanyakan orang. Ini membuktikan bahawa di Malaysia juga turut mempunyai tokoh-tokoh khat yang juga mahir dalam menghasilkan tlisan seni khat. Malahan, tokoh-tokoh seni khat ini juga ada yang terlatih di Malaysia dan ada juga yang terlatih dari negara-negara Islam dan negara Arab yang lain seperti di Arab Saudi, Mesir, Jordan dan sebagainya. Oleh sebab itulah contoh-contoh serta hasil tulisan seni khat ini boleh dilihat dalam pelbagai bahan seperti di kertas, ubin, marmar, kayu bulu ayam, kaca dan sebagainya.

Manakala menurut (Fauzi Salim Afifi), beliau menghuraikan tentang tujuan dan manfaat pendidikan kaligrafi’
Berdasarkan pemahaman penkaji, buku tersebut menjelaskan tentang manfaat pendidikan seni khat di sekolah-sekolah dan tempat-tempat pembinaan khat. Tujuan pendidikan seni kaligrafi ini adalah untuk mendidik kemampuan, di antaranya ialah melalui pengawasan, kecermatan, dan kehalusan dalam semua hal. Di samping membentuk rupa-rupa watak dan kebiasaannya seperti disiplin, ketertibaan, kebersihan kesabaran dan ketekunan. Selain itu, tujuan mempelajari seni khat jugauntuk memperoleh kemahiran dan kerampilan tangan ketika menulis tulisan khat semasa latihan. Manfaat pendidikan seni khat juga untuk menumbuhkan kemampuan seseorang untuk mengkritik dan menyelami rasa seni setelah mengetahui unsur-unsur keindahan dalam kaligrafi yang bagus. Apabila seseorang sudah mahir dan mencapai kemajuan dalam latihan, sudah tentunya mereka akan merasa senang dan menambahkan minat yang lebih mendalam terhadap bidang seni khat ini. Melalui pembelajaran seni khat juga dapat meningkatkan dan menambahkan minat dalam jiwa murid-murid untuk menambah kecintaan, perhatian, pemeliharaan, dan karier dalam bidang seni kaligrafi.

Tulisan khat juga berasal daripada tulisan jawi. Menurut (Mohd Kassim: 1990) ‘Kegiatan ukiran dan seni khat juga terpahat pada mata wang di negeri Terengganu’.
Kegiatan perdagangan telah pesat berkembang di negeri Terengganu dalam lingkungan kurun ke- 16, 17 dan 18. Justeru itu, pemerintah negeri iaitu Sultan Zainal Abidin Shah I (1702- 1726) telah mengeluarkan duit-duit tempatan sendiri. Jenis nilai yang digunakan pada duit syiling yang diperbuat daripada logam emas merupakan jenis nilai mas dan kupang. Apa yang menariknya, pada kedua-dua duit syiling ini terukir nama Sultan Zainal Abidin Shah menggunakan tulisan Jawi. Di sebelah belakangnya pula ditulis kata-kata pujian Khalifatul Mukminin, juga dalam tulisan Jawi. Duit-duit emas jenis nilai mas dan kupang dipercayai diedarkan dalam lingkungan masa dua pemerintahan, iaitu Sultan Zainal Abidin Shah I dan Sultan Zainal Abidin II (1793-1808)’.

Menurut kajian (Mohd Kassim 1990: 35), ‘Setiap keping jokoh dicapkan dengan nama saudagar-saudagar besar di Terengganu, yang kebanyakannya adalah berbangsa Cina. Contohnya nama Wee Sin Hee dicopkan pada jokoh tersebut dengan menggunakan tulisan Jawi’.
Pada tahun 1907, di Terengganu ketika itu, kaum cina menguasai pelbagai bidang. Pertukaran atau duit ganti ketika itu telah diperkenalkan oleh Kapitan Cina yang berkuasa ketika itu. Ganti duit diperkenalkan mulai abad ke 19 di Terengganu. Lama-kelamaan, ganti duit ini diterima sebagai bayaran dalam urusan jual beli masyarakat Terengganu sehingga ke pasar-pasar dan kedai-kedai runcit. Kemudian, timbul pula ganti duit yang baru iaitu jokoh. Setiap jokoh tersebut terdapat nama-nama saudagar besar di Terengganu ketika itu seperti Wee Sin Hee. Setiap jokoh tersebut terdapat tulisan jawi.

Manakala di dalam kajian (Nasr, 1993: 28) beliau menyatakan ‘konstribusi kaligrafi terhadap peradaban Islam dapat kita lihat dari beberapa aspek, yaitu: aspek religious’.
Melalui pemahaman penkaji terhadap pernyataan di atas ialah seni kaligrafi ini turut memainkan peranan dalam penyebaran ilmu islam iaitu keagamaan terutamanya agama Islam. Melalui penulisan dan pembacaan seperti titik-titik, garis-garis, serta isi kandungan yang cuba disampaikan boleh menarik minat manusia melalui kalimat-kalimat al- Quran tersebut malahan kalimat-kalimat yang memancarkan gagasan boleh memancarkan kekuatan dalam diri pembacanya. Melalui kaligrafi ini juga akan turut dapat menyampaikan pesan-pesan dan wahyu Islam.

JENIS KHAT
‘Terdapat pelbagai jenis bentuk khat yang ditulis. Antaranya ialah khat nasakh, thuluth, rihan, muhaqqaq, tauqi’, riq’ah, diwan, ta’liq, nasta’liq dan lain-lain’. (Zulina Hassan 2009).
Menurut pembacaan penkaji, khat kufi merupakan senimkhat yang tertua. Manakala seni khat nasakh pula mula terkenal dan mula diminati pada abad kelima Masihi. Jenis khat ini sebenarnya berasal daripada khat kufi yang telah diubahsuaikan oleh Qutabah. Khat kufi telah diperkenalkan oleh Al-Dhahaq bin Iljan. Khat jenis ini berkembang dengan pesatnya pada zaman pemerintahan Bani Abbasiyah yang ketika itu dipimpin oleh Muhammad bin Muqalan. Beliau adalah seorang yang sangat mahir dalam penulisan seni khat kufi ini. di antara ahli khat yang terkenal juga pada masa itu ialah Ibrahim Al-Syujairi yang telah menghasilkan khat jenis Al-Jalil, Al- Thuluthain dan Al- Thuluth. Yusuf al-Syujairi pula merupakan tokoh terkenal dalam bidang ini. Beliau menghasilkan khat jenis al-Riayasi. Begitu juga dengan al-Hasan al Naqulah, Muhammad al-Samsari, Muhammad bin Asad, Abu Hasan Ali bin Hilal (Ibnu al-Bawwab-terkenal kerana telah menulis Al-Quran dengan pelbagai gaya dan bentuk tulisan. Ada pendapat mengatakan sebanyak 64 buah Al-Quran pelbagai gaya tulisan tetapi sebahagian besar karyanya hilang atau terbakar), Syeikh Jamaluddin Taqut al-Mustakami dan ramai lagi tokoh penulis khat yang terkemuka. Seni khat ini diambil alih oleh orang Mesir, India dan Turki selepas kejatuhan Baghdad. Seni ini menjadi semakin terkenal sehingga tertubuhnya beberapa institusi khat di pelbagai negara Islam.

Menurut kajian oleh (Makmur dan Abdullah Yusof: 72-74) yang bertajuk Isyarat dan Manisfestasi Seni dalam Al-Quran, beliau menyatakan bahawa ‘Perkembangan tulisan tulisan seni khat utama dikenali dengan tulisan Sittah (enam) iaitu Thuluth, Naskh, Muhaqqaq, Rayhani, Riqcah dan Tawqi`.
Buku ini menyatakan tentang jenis-jenis khat dan menceritakan tentang perbezaan jenis khat tersebut di samping menerangkan ciri-ciri khat. Beliau juga turut menerangkan tentang enam jenis khat yang utama yang dikenali sebagai al-Aqlam al-Sittah iaitu enam tulisan asal seni khat yang pada mulanya diwujudkan. Melalui pernyataan tersebut, dapat memberikan maklumat kepada penkaji dalam mengenalpasti jenis-jenis khat dan perbezaannya. Jenis khat yang tertua adalah khat kufi. Seni tulisan ini banyak memiliki sudut dan siku-siku serta bersegi, mengandungi garis-garis vertikal pendek dan garis horizontal yang memanjang. Khat Kufi berkembang di Kufah dan khat ini juga disebut Khat Muzawwa iaitu salah satu jenis tulisan Arab berbentuk siku, tulisan ini berasal dari Khat Hieri (Hira).11 Tulisan Kufi sering disebut juga dengan Jazm.
Manakala, Khat Naskh merupakan tulisan yang dikenali juga sebagai Naskh. Merupakan jenis tulisan tangan berbentuk cursif iaitu tulisan bergerak berputar (rounded) dan sifatnya mudah serta jelas untuk ditulis dan dibaca. Menurut Didin Sirojuddin A.R., ‘kata Naskh diambil daripada akar kata Nuskhah atau Naskah. Khat ini merupakan tulisan dasar yang paling banyak digunakan kerana mudah dipelajari.
Seterusnya adalah Khat Thuluth iaitu tulisan yang banyak digunakan untuk tujuanhiasan di berbagai manuskrip, khususnya dalam pembuatan tajuktajuk buku atau sub bab dan nama-nama kitab. Jenis ini juga digunakan sebagai tulisan hiasan pada dinding-dinding bangunan dan hiasan dalaman. Jenis ini sesuai dengan karekter hurufnya yang artistik (menyangkut tentang seni dan kebudayaan). Thuluth lebih berwibawa bila dilengkapi dengan tashkil (harkat) dan tazyin (hiasan) sehingga tidak ada lagi cela-cela dan ruang kosong tidak terisi melainkan penuh dan padat dengan hiasan sebagai pelengkap seri dan keindahannya. Tulisan ini telah dikembangkan sepenuhnya menjelang abad ke-9 dan menjadi sangat popular kegunaannya sebagai hiasan dan tulisan di masjidmasjid pada abad ke-10 dan 11.
Selain itu, Khat Farisi yang sesuai dengan namanya iaitu jenis Khat Ta`liq atau Farisi yang banyak berkembang di Parsi (Iran), Pakistan, India dan Turki. Perkembangan khat ini bermula dari Parsi pada masa pemerintahan Dinasti Safavid (1500-1800 M). Pada masa pemerintahan Shah Ismail dan Shah Tahmas, perkembangan Khat Ta`liq samgat meluas sehingga mengalami kemajuan amat pesat kerana tulisan ini menjadi satu tulisan rasmi yang digunakan di 11 Suatu tempat yang bernama Hira berdekatan dengan Kufa. Kufa sebagai pusat agama dan perkembangan politik Islam, maka dengan sendirinya Khat Hieri berubah status menjadi Parsi ketika itu. Menurut sejarahnya, Khat Ta`liq berasal dari tulisan jenis Kufi yang dibawa oleh penguasa-penguasa Arab pada masa penaklukan Parsi.
Berbeza dengan Khat Riq`ah iaitu khat yang disebut juga Khat Riq`ie atau Riqa`. Khat ini merupakan jenis tulisan cepat dan hampir sama dengan cara menulis stenograf. Corak ini banyak digunakan untuk tulisan tangan biasa yang bersifat ringkas dan cepat kerana tidak banyak memiliki lekukan. Dikatakan bahawa Khat Riq`ah berasal dari tulisan Naskh dan Thuluth. Apa yang membezakan hanyalah cara penulisan Khat Riq`ah lebih cepat daripada keduanya, sebab ianya tidak memerlukan banyak lekukan pada ujung-ujung hurufnya.
Khat Diwani pula mempunyai tulisan yang sangat berbeza dengan Khat Naskh dan Thuluth. Khat Diwani berbentuk melingkar-lingkar, condong bersusun-susun, hurufnya tumpang tindih, lentur dan bebas. Namun ukuran dan bentuk huruf-hurufnya dalam satu ayat tidak bermacam-macam dan penulisannya pun sangat tergantung kepada kemahiran, kecekapan, kreativiti atau minat daripada penulisnya. Khat Diwani merupakan suatu corak tulisan Uthmani yang sejajar perkembangannya dengan tulisan Syikasteh Farisi.

Menurut (Kamil al-Baba, 1992), ‘Terdapat banyak khat yang digunakan oleh orang Islam seperti khat kufi, nasakh, thuluth, rayhan, muhaqqaq, tawqi’, riq’ah, diwan, ijazah, parisi, diwan jali, ta’liq, nasta’liq, dan sebagainya’.
Seni khat yang digunakan oleh umat Islam sangat banyak. Antaranya ialah seperti yang dinyatakan oleh (Zulina Hassan, 2012). Penambahannya adalah khat parisi. Selain itu, buku ini juga menjelaskan tentang khat Kufi. Khat Kufi mempunyi ciri-ciri istimewa yang tersendiri dan berbeza daripada yang lain. Ianya mudah untuk dikesan kerana sifatnya yang bersudut-sudut dan bersegi. Khai Kufi ini mempunyai ukiran seimbang yang membuatkan tulian khat ini kelihatan lebih kemas dan ringkas. Manakala, khat Thuluth kebanyakannya digunakan hanya untuk hiasan seperti dalam masyaf Uthmani (Al-Quran), nama buku atau kitab serta untuk tujuan lain. Khat Nasakh pula merupakan tulisan yang paling banyak digunakan dalam penulisan buku-buku berkenaan keagamaan. Ini kerana tulisan khat jenis ini mudah dibaca, jelas serta tidak mengelirukan. Seterusnya ialah khat Farisi yang mula diperkembang di Parsi. Bentuk hurufnya condong sedikit ke kanan. Ia banyak digunakan untuk penulisan buku kesusasteraan, nama dan tajuk karangan pada majalah dan surat khabar. Karangan yang berbahasa Urdu juga biasanya ditulis dengan menggunakan khat jenis ini. Khat jenis Riq’ah pula dapat ditulis dan dihasilkan dengan cepat dan banyak digunakan untuk tujuan surat-menyurat. Khat Diwani pula merupakan catatan atau antologi karangan. Khat jenis ini telah digunakan secara meluas semasa pemerintahan Sultan khedewy sekitar tahun 1220 Hijrah di Mesir. Ia digunakan untuk penulisan surat rasmi seperti surat perjanjian, surat penghargaan, dan sebagainya yang juga berfungsi sebagai perhiasan. Khat diwani Jali pula jika dibandingkan dengan khat diwani sahaja bentuknya lebih banyak, penulisan yang rumit tetapi indah.

MATERIAL KHAT
Menurut (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2007) Khat bermaksud ‘tulisan tangan yang cantik, yang dihasilkan dengan menggunakan berus atau pen khas kaligrafi’.
Seni khat merupakan salah satu seni yang sangat cantik yang dihasilkan melalui tulisan tangan. Material yang digunakan untuk menghasilkan khat ini adalah dengan menggunakan berus dan pena khas untuk menghasilkannya. Ini bermaksud, untuk menghasilkan seni khat yang cantik mestilah menggunakan pena khas untuk khat sahaja. Pada zaman dahulu material yang digunakan untuk menghasilkan khat adalah dengan menggunakan pen atau berus yang dihasilkan dari kayu sahaja. Berbeza dengan zaman moden sekarang iaitu terdapat pelbagai jenis mata pena khat yang khas di mana ianya lebih mudah digunakan. Selain pena khat, material yang penting juga adalah kertas, dakwat dan lain-lain. Di dalam kajian ini penkaji akan menkaji material yang digunakan untuk menghasilkan khat.

Menurut (Amat Juhari: 1996) ‘Tulisan khat terdapat dalam pelbagai bahan seperti kertas skrip, kayu, batu, logam, kain, kulit binatang, tembikar dan kulit kayu’.
Antara bahan yang digunakan untuk menghasilkan sesuatu bentuk khat adalah seperti dakwat atau bahan-bahan cecair yang khas hanya digunakan untuk tulisan khat. Ada juga bahan-bahan lain seperti untuk ukiran, pahat, lakaran dan percetakan. Bahan-bahan ini adalah bahan yang utama untuk menghasilkan sesuatu bentuk dan tulisan khat. Contoh tulisan khat yang ada pada tembikar seperti pada pinggan mangkuk, piring, cawan, teko, kendi air, pasu, tikar, tempayan dan buyung. Keindahan tulisan khat juga boleh dilihat pada bahan-bahan yang diperbuat daripada logam, contohnya pada wang syiling, keris, pedang, cerek, pinggan, kendi air, kucur, dulang, gong, tetawak, meriam, dan sebagainya. Kesimpulannya, terdapat banyak alat serta perkakas yang dihiasi dengan tulisan khat. Tulisan khat ini ada yang ditulis dengan menggunakan dakwat atau bahan-bahan cecair yang lain, dan ada yang diukir, dipahat, dilakar atau dicetak.

PENUTUP
Jelaslah di sini bahawa kesemua rujukan yang telah dikaji dan dirujuk oleh penkaji hanya sebagai panduan untuk mendalami dan mengupas tentang topik kajian yang akan dilakukan ini. Sebahagian bahan bacaan dan rujukan memberikan manfaat dan kelebihan kepada penkaji untuk terus melaksanakan kajian dan memperolehi maklumat tambahan. Selain itu, penyelidik lebih cenderung mencari pendapat tokoh-tokoh daripada buku-buku dan jurnal. Pendapat-pendapat tersebut bertujuan membantu penyelidik untuk lebih memahami tajuk kajian yang ingin dijalankan. Pendapat-pendapat tokoh ini juga turut diaplikasikan ke dalam penyelidikan yang akan dijalankan. Sorotan kesusasteraan ini telah menjadi bukti bahawa mereka telah pun menkaji. Ia juga turut menjadi bukti bahawa sistem pengurusan persatuan khat belum lagi dikaji.

Review this essay:

Name
Rating
Your review: (optional)

Latest reviews:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload the CAPTCHA.