Essay: Strategi pengajaran - Essay Marketplace

Essay: Strategi pengajaran

Pendahuluan

Bagi menyempurnakan amanah sebagai seorang pendidik, kita perlulah mengetahui dan memahami bahawa terdapat pelbagai strategi pengajaran yang memerlukan setiap guru memahaminya dengan baik agar isi pengajaran dapat disampaikan secara lancar. Strategi pengajaran dan pembelajaran boleh diklasifikasikan kepada tiga cabang utama iaitu berpusatkan guru, berpusatkan pelajar dan berpusatkan bahan pelajaran. Bagi setiap klasifikasikan tersebut ianya mempunyai ciri-ciri yang perlu diberi perhatian oleh guru sebelum memulakan sesi pembelajaran. Pembelajaran yang mencapai objektif adalah pengajaran dan pembelajaran yang mempunyai perancangan dan segala mekanisma yang yang telah di kenal pasti seperti kaedah, pendekatan, teknik dan strategi.

Pada zaman mutakhir ini, telah wujud pelbagai kaedah dalam pengajaran al-Quran yang banyak menitik beratkan kecepatan dan kemahiran (Mohd Alwi Yusoff et.al., 2003). Masing-masing bersaing untuk menarik minat masyarakat untuk mempelajari al-Quran dengan matlamat untuk membolehkan umat Islam hari ini celik al-Quran. Antara kaedah yang termasyhur dan tersebar luas di sebelah rantau Asia ialah Kaedah Iqra’ yang diperkenalkan oleh al- Marhum As’ad Humam pada tahun 1988 di Indonesia. Kaedah ini telah mendapat sambutan yang hangat di gugusan Asia termasuklah Malaysia pada tahun 1992(Engkizar ,2011). Pada tahun 1995, KPM telah menetapkan pengajaran tilawah al-Quran bagi murid tahun 1 dengan aplikasi sistem Iqra’ selama 6 bulan pertama di semua sekolah kebangsaan. Kaedah Iqra’ dikenal pasti sebagai antara kaedah yang dapat membantu mempercepatkan kanak-kanak menguasai kemahiran membaca al-Quran dengan baik (Mohd Alwi Yusoff et.al., 2003)
Guru dalam apa jua keadaan (khususnya guru-guru PI) mestilah benar-benar faham dan menghayati semua mekanisma tersebut agar pembelajaran itu dapat berkembang secara langsung. Walau bagaimanapun dalam melaksanakan semua perkara tersebut, masih terdapat berbagai cabaran dan halangan yang perlu dihadapi dengan bijak dan berpengetahuan. Kajian ini merupakan kajian yang mengkaji pembelajaran berbantu khusus di dalam bidang al-Quran selain ada dihuraikan tentang ciri-ciri bagi klasifikasi strategi pengajaran, dan juga membincangkan kaedah serta cabaran yang dihadapi oleh setiap guru sebagai seorang pendidik.
Proses pengajaran dan pembelajaran adalah interaksi diantara pengajar atau guru dengan pelajar. Pada masa yang sama, pelajar pula adalah dikalangan seseorang atau sekumpulan orang sebagai pencari dan penerima pelajaran yang diperlukannya, manakala pengajar atau pendidik mahupun guru merupakan seseorang atau sekumpulan orang yang profesionnya sebagai pengolah aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Proses pengajaran dan pembelajaran melibatkan beberapa komponen yang saling berkait rapat iaitu pelajar, guru, objektif pembelajaran, isi pelajaran, kaedah pengajaran, media dan penilaian. Tujuan pembelajaran yang diinginkan seharusnya mencapai tahap yang optimal, untuk itu ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh guru dan salah satu diantaranya adalah strategi pengajaran dan pembelajaran. Strategi pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan perlu dimiliki dan difahami oleh setiap guru, ini kerana keberhasilan proses pengajaran dan pembelajaran bergantung pada cara mengajar guru berkenaan. Jika cara mengajar sesuai dan menepati kehendak pelajarnya, maka pelajar akan tekun dan rajin, dalam menerima pelajaran yang diberikan, malah diharapkan juga akan terjadi perubahan dan tingkah laku kepada pelajar tersebut baik dari tutur katanya, sopan santunnya dan juga gaya hidupnya.

2.1 Konsep Pendidikan Di Malaysia

Sufean (2004) menyatakan pendidikan dari segi semantiknya adalah merangkumi didikan latihan. Didikan adalah komponen akliah atau intelek dan latihan merangkumi gerak laku perbuatan. Didikan lebih tertumpu kepada pembentukan kemahiran motor atau gerakan seperti kemahiran melakukan kerja dan aktiviti. Beliau turut menerangkan education (pendidikan) dari segi etimologi adalah berasal dari perkataan Latin iaitu educere dan educare. Educere memberi definisi ‘to lead out’ atau menzahirkan keupayaan diri mengenai pembelajaran untuk membina manusia supaya mencapai tahap sedar kendiri tentang kewujudan diri dalam hubungan kewujudan makhluk-makhluk lain, alam dan Yang Maha Pencipta. Educare pula bermaksud ‘to train’ mengenai keperluan seperti keperluan hidup, keperluan sosial, keperluan pembangunan ekonomi dan sebagainya.
Pendidikan merupakan pelbagai aktiviti yang melibatkan pembentukan dan perkembangan ilmu, kemahiran, kerohanian dan jasmani manusia (Mok, 2008). Menurut Syed Ismail dan Ahmad Subki (2010) dalam bukunya bahawa dunia pendidikan sering menjadi isu penting dalam kehidupan sama ada dari segi pendidiknya, kaedah yang digunakan, ganjaran dan kenaikan pangkat malah isu-isu semasa yang tidak pernah sunyi daripada melibatkan diri pendidik.
Guru adalah pejuang barisan hadapan dalam usaha mendidik anak bangsa. KBSM (1990) menjelaskan profesion perguruan bukan semata-mata memegang satu pekerjaan, namun berperanan untuk mencorakkan masa depan anak yang dididik, menentukan jenis insan yang dihasilkan dan bentuk bangsa yang akan dijelmakan. Abdull Sukor (2008) berpendapat guru kini diharapkan mempunyai pengetahuan yang mendalam terhadap teori dan amalan pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, pengurusan bilik darjah, pengurusan bidang kurikulum dan juga dalam penilaian prestasi pelajar.
Selanjutnya beliau menjelaskan guru juga sebagai agen perubahan yang perlu sentiasa peka terhadap sebarang perubahan dalam dunia pendidikan seperti keperluan perguruan, sekolah wawasan, sekolah bestari, sekolah angkat, perubahan teknologi maklumat, perubahan sukatan pelajaran, perubahan persijilan terbuka dan sebagainya.

2.2 Konsep Persediaan Guru Dan Kepakaran
Wan Liz (2000) mendapati guru perlu mempunyai kepakaran dari pelbagai aspek ilmu pengajaran seperti penguasaaan terhadap bidang pelajaran yang diajar, menguasai kaedah pengajaran dan pengurusan disiplin pelajar supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lancar. Guru memerlukan kemahiran dan kepakaran dalam penguasaan pengajaran seperti guru mempunyai kreativiti untuk menarik minat pelajar terhadap pengajaran, guru mahir dalam menguasai isi pelajaran dan guru berupaya untuk mengawal pelajar yang terlibat dengan masalah disiplin di sekolah.
Guru hendaklah mempunyai ilmu khususnya dalam bidang mata pelajarannya (Esah, 2004). Guru yang berilmu didapati melalui amalannya yang banyak membaca buku, melakukan penyelidikan, menyumbangkan idea bernas dalam sebarang perbincangan dan mempunyai sikap berfikiran terbuka. Di samping itu, guru juga memiliki sikap positif seperti berpandangan luas dan berfikiran terbuka kerana sesuatu pandangan yang dikemukakan tidak ditolak sahaja malah difikirkan kewajarannya. Parkay (1990) dlm Esah (2004) menjelaskan sebagai seorang guru perlu mempunyai sikap suka mengajar atau a love for teaching, iaitu sayangkan pelajar, sayang mata pelajaran yang diajar malah meyakininya, sayangkan kehidupan sebagai guru dan sukakan proses pengajaran dan pembelajaran.
Berdasarkan kepada kajian Azizi (2007) menunjukkan tahap keyakinan guru yang mengajar berdasarkan topik-topik yang terdapat dalam sukatan memperoleh tahap keyakinan tinggi, sederhana dan rendah. Dapatan menunjukkan guru mempunyai tahap keyakinan yang tinggi dalam pengurusan diri, kekeluargaan, kemahiran pertanian, perkebunan, dan perdagangan dan juga keusahawanan kerana guru mempunyai kemahiran untuk mengajar topik-topik tersebut dan seterusnya mempunyai keyakinan terhadap topik yang diajar. Dapatan kajian menunjukkan tahap keyakinan yang sederhana dalam pengajaran adalah rekacipta, kerja kayu, enjin dan lukisan teknik. Dalam kajian tersebut Azizi juga mendapati guru mempunyai tahap keyakinan yang rendah dalam pengajaran elektronik dan kerja asas paip. Hal ini kerana kebanyakan guru tidak mempunyai kemahiran untuk mengajar mengikut topik-topik yang terdapat dalam sukatan Kemahiran Hidup dan juga terdiri daripada guru yang bukan bidang Teknik dan Vokasional.
Sufean (2004) berpendapat program pendidikan guru yang bermutu hendaklah mampu menghasilkan guru yang bermutu dan berkualiti, iaitu guru profesional dari segi kemahiran, ilmu pengetahuan dan sikap Pelbagai kajian yang diusahakan untuk mengenal pasti unsur-unsur bagi mewujudkan pengajaran efektif. Tumpuan dan fokus kajian berpusat pada sifat-sifat diri guru, kelakuan guru dan sikap guru ataupun melalui penilaian daripada penyelidik, pelajar, pentadbir sekolah, ibu bapa, guru unggul (master teacher), guru pelatih dan guru itu sendiri tentang proses pengajaran, kesan semerta pembelajaran atau prestasi pelajar dalam peperiksaan. Menurut Tuan (2006) guru yang cemerlang adalah guru yang mempunyai sikap positif terhadap pengajaran dan memahami mata pelajaran pengkhususan yang menjadi subek teras yang diajar serta mempunyai keyakinan diri dalam pengajarannya. Sebaliknya guru yang tidak mempunyai pengetahuan yang luas dan memiliki kemahiran yang rendah dalam pengajaran akan menyebabkan guru itu bersikap negatif dan mempunyai keyakinan yang rendah terhadap pengajarannya

2.3 Konsep Tanggungjawab Belajar Bagi Pelajar
Pelajar merupakan aset yang amat berharga dalam sesebuah negara. Ini kerana golongan pelajar inilah yang menjadi tonggak negara di masa hadapan. Mereka merupakan tonggak harapan bagi memartabatkan kedaulatan agama, bangsa dan negara suatu masa kelak. Oleh itu, apabila kita membicarakan mengenai masalah disiplin dan keruntuhan akhlak dalam masyarakat secara automatik kita akan melihat kepada masalah disiplin di kalangan pelajar terlebih dahulu. Ini kerana mereka merupakan golongan yang dipandang tinggi oleh masyarakat. Namun kini masyarakat mula hilang kepercayaan kepada golongan ini, kerana sikap pelajar itu sendiri yang gagal mempamerkan akhlak yang baik. Tambahan pula banyak kes-kes jenayah dan maksiat yang melibatkan golongan pelajar.
Kita juga dapat lihat bahawa kemungkinan tahap perlaksanaan solat dalam kalangan seseorang itu atau amalan solat yang ada hubungannya dengan pembacaan al-Quran dilakukan oleh pelajar secara tidak sempurna sama ada dari aspek fizikal atau rohani merupakan antara punca amalan solat yang dilakukan kurang atau tidak dapat memberi kesan atau perubahan ke atas sikap seseorang individu itu. Pembelajaran merupakan kaedah memperoleh ilmu pengetahuan atau kemahiran melalui pengalaman, amalan yang dipelajari atau yang diajarkan. Pembelajaran secara tradisional seperti yang diamalkan oleh kebanyakan pelajar adalah pembelajaran yang pasif. Mereka menghabiskan kebanyakan masa persekolahannya dalam suasana pembelajaran yang pasif dengan menghafal semua maklumat yang disampaikan oleh guru secara syarahan tanpa ada penglibatan pelajar dalam pembelajaran. Pelajar hanya mendengar syarahan dan mengingati fakta yang diberikan oleh guru. Kaedah ini lebih pada pembelajaran berpusatkan guru (Elizabeth et al., 2002).
Pembelajaran yang pasif ini perlu berubah kepada kaedah pembelajaran dan pengajaran yang aktif untuk membolehkan pelajar memberi tumpuan dalam pembelajaran. Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang aktif dapat merangsang pelajar dengan mengaktifkan pengetahuan yang sedia ada dan dihubungkaitkan dengan pengetahuan baru.
Salah satu kaedah pembelajaran yang boleh menyediakan pelajar supaya berkebolehan dalam menyelesaikan masalah secara kritis, berpengetahuan, aktif dan sedia menghadapi cabaran dunia hari ini adalah kaedah pembelajaran berdasarkan masalah yang menggunakan masalah kehidupan sebenar sebagai titik permulaan terhadap pembelajaran (William, 2001; Dunlap, 2005). Terdapat banyak hasil kajian yang dijalankan di negara barat menunjukkan kaedah pembelajaran berdasarkan masalah merupakan suatu kaedah alternatif dalam menyediakan pelajar yang boleh menyelesaikan masalah secara kritis, mengutamakan pembelajaran secara kendiri dan aktif dalam menghadapi cabaran dunia hari ini. Hasil kajian juga mendapati pembelajaran berdasarkan masalah dapat menambahkan pengetahuan, perubahan sikap dan amalan pelajar (William, 2001).
Senario pembelajaran masa kini menunjukkan pelajar tidak dapat melihat dengan jelas akan kepentingan pengetahuan yang mereka pelajari di dalam bilik darjah yang boleh membawa kejayaan kepada mereka dalam kehidupan dunia sebenar nanti. Sesungguhnya, pembelajaran yang berlaku di dalam bilik darjah bukannya hanya terhad kepada isi kandungan yang diajar dalam sehari atau silibus yang perlu dihabiskan dalam semester. Pembelajaran akan berlaku secara semulajadi kerana pengetahuan yang didapati itu datang bersama dengan lain-lain kemahiran seperti kemahiran generik.
Pembelajaran secara tradisional membuatkan pelajar merasa bosan dan tidak berminat untuk belajar kerana mereka pergi ke kelas dan balik ke rumah dengan membawa banyak maklumat dan fakta untuk dihafal dan diingati dan ini merupakan suatu aktiviti yang kurang menyediakan kehidupan dunia sebenar di luar bilik darjah. Pembelajaran secara tradisional ini selalunya menyebabkan pembelajaran berlaku secara cetek atau tidak mendalam dan pelajar mendapati isi kandungan pembelajaran sangat abstrak, membosankan dan amat susah untuk mengaitkan masalah dengan dunia yang nyata (Christopher, 2006). Sikap negatif pelajar terhadap proses pembelajaran yang pasif ini dapat dilihat melalui jumlah kehadiran yang menurun dan pencapaian akademik yang lemah (Ahlfedt, 2004; Zhonglei, 2004).
Banyak kajian telah menunjukkan pentingnya peranan pembelajaran berdasarkan masalah dalam memberi motivasi kepada pelajar untuk belajar dan kebolehan pelajar menghadapi kehidupan dunia sebenar di luar sana. Menurut Barbara (2003), hasil kajian yang dijalankannya menunjukkan kesan daripada pembelajaran berdasarkan masalah ini, pelajar lebih bermotivasi untuk belajar, kehadiran pelajar ke kelas meningkat kerana mereka seronok untuk belajar, meningkatkan kerjasama dalam kalangan ahli kumpulan, dapat meningkatkan pengekalan maklumat dalam jangka masa yang lama, mengembangkan maklumat yang didapati dan hal ini akan mendorong pada pembelajaran sepanjang hayat (Schimdt et al., 2006).
Pembelajaran merupakan suatu proses yang berlaku dalam akal fikiran atau lebih dikenali sebagai kognitif dan kesan daripada proses ini akan dapat dilihat melalui perubahan dalam tingkah laku dan percakapan. Pemahaman pelajar terhadap masalah yang dikemukakan merupakan aktiviti kognitif di mana pelajar perlu bersikap aktif untuk berfikir dan ini adalah hasil sumbangan daripada pengalaman atau pengetahuan sedia ada pelajar. Phillips (2000) mengatakan dalam proses pembelajaran, pelbagai kaedah serta teori telah diutarakan bagi memastikan proses pembelajaran akan lebih berkesan kepada para pelajar.
Pemilihan kaedah pengajaran yang sesuai dengan tahap murid, membantu dalam meningkatkan pencapaian serta minat mereka terhadap pengajaran PdP di dalam bilik darjah. Menurut Ahmad (2003), kaedah yang digunakan hendaklah bersesuaian dengan murid yang diajar di dalam bilik darjah. Selain itu, guru hendaklah benar-benar memahami tentang kaedah yang akan digunakan untuk memastikan kesan positif dalam pembelajaran murid. Pemilihan kaedah pengajaran yang sesuai memberikan impak positif terhadap psikogi pelajar. Rohaty (2003) menyatakan pelajar yang hadir di dalam kelas berbeza dari segi aras kecerdasan, latar belakang, soiso ekonomi ibu bapa, gender, stail kognitif, tabii belajar, stail belajar, minat, motivasi dan aptitud.
Oleh itu amat wajar bagi guru Pendidikan Islam merancang strategi pengajaran di dalam kelas dengan mempelbagaikan kaedah dan teknik dalam meraikan kepelbagaian murid.
2.4 Kaedah Pengajaran al-Quran
Berkenaan dengan kaedah pengajaran, Sharifah (1986) berpendapat kaedah ialah suatu siri tindakan yang sistematik yang bertujuan untuk mencapai objektif pelajaran dengan langkah dan penyampaian yang tersusun. Antara kaedah yang digunakan semasa sesi pengajaran al-Quran termasuklah talaqi dan musyafahah (Mohd Yusuf, 2004). Menurut Mohd Yusuf lagi, apa sahaja cara yang digunakan oleh guru Pendidikan Islam lakukan untuk memberi faham kepada murid bagi mencapai objektif pengajaran al-Quran, maka ia adalah kaedah. Wajar diketahui bahawa kaedah pengajaran al-Quran telah berlangsung sejak awal penurunannya kepada nabi Muhammad s.a.w. Hal ini jelas melalui firman Allah;
” ””””’ ””’ ””””’ ””””” ””” ”” ”” ””””’ ””””’ ””””””” ”” ”””’ ”””””’ ””””” ”””””” ”” ”” ”” ””””’ ””””” ””
(Al-Quran. Al- Qiyaamah. 75:16-19)

Maksud: Janganlah Engkau (Wahai Muhammad), kerana hendakkan cepat menghafaz Quran yang diturunkan kepadamu, menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu). Sesungguhnya Kamilah Yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu);Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, Dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu; Kemudian, sesungguhnya kepada Kamilah terserah urusan menjelaskan kandungannya (yang memerlukan penjelasan).
Berdasarkan ayat di atas, menunjukkan bimbingan Allah s.w.t kepada rasul-Nya tentang kaedah mempelajari al-Quran melalui perantaraan malaikat Jibril a.s. Dalam kaedah terawal ini, Jibril a.s adalah guru yang memberikan tunjuk cara bacaan kepada nabi Muhammad s.a.w. Baginda tidak tergopoh-gapah dalam bacaan dan mengikuti bacaan setelah usai mendengar bacaan dari malaikat Jibril a.s (Mohammad Asraff, 2011). Seterusnya kaedah pengajaran al-Quran berterusan dari zaman ke zaman dan mengalami evolusi perkembangan (Kamarul Azmi et al., 2013).
Zainul Arifien (2006) dalam penulisannya menyebut bahawa terdapat banyak faktor yang perlu diambil kira dalam melaksanakan pengajaran al-Quran kepada murid. Faktor yang paling penting ialah pendekatan dan kaedah pengajaran yang sesuai digunakan dalam melaksanakan pengajaran al-Quran. Menurut Zainul lagi, Kaedah yang sesuai dan berkesan akan mempercepatkan proses bacaan al-Quran .

2.4.1 Kaedah Qira’ati
Kaedah Qira’ati diperkenalkan oleh KH Dachlan Zarkasy di Semarang Jawa Tengah Indonesia pada awal tahun 1970. Pada tahun 1986 beliau menerbitkan buku pertama dengan judul Pelajaran Membaca al-Quran. Buku tersebut terdiri daripada enam jilid iaitu siri satu hingga enam. Kaedah ini diterima baik oleh masyarakat sehingga berkembang luas di Indonesia dan negara-negara luar termasuk Malaysia. Kaedah ini digunakan oleh semua guru dalam pengajaran dan pembelajaran al-Quran di seluruh Indonesia (Engkizar, 2011
2.4.2 Kaedah Iqra’
Kaedah ini adalah suatu kaedah pengajaran al-Quran yang diolah dengan mengubah suai kaedah lama (al-Baghdadiyah). Ia bertujuan agar murid dapat belajar membaca al-Quran dengan pantas dalam waktu yang singkat dan cepat ( Mohd Alwi et al., 2003). Kaedah ini disusun oleh Ustaz As’ad Humam (Pengarah Kumpulan Tadarus Angkatan Muda Masjid dan Musholla Yogyakarta). Mohd Alwi et al., (2003) menemukan sepuluh karekteristik dari Kaedah Iqra’ antaranya ialah bacaan terus tanpa analisa huruf dan eja. Selain itu, kaedah ini menggunakan teknik cara belajar murid aktif (CBMA) yang mana guru hanya sebagai fasilitator dengan pengajaran berpusatkan murid. Kaedah ini diajar dengan menggunakan enam buah buku sebagai modul.

2.4.3 Kaedah al-Barqy
Kaedah al-Barqy ditemui dan ditulis oleh Muhadjir Sulthon iaitu seorang Pensyarah Fakulti Adab, Institut Agama Islam Negeri Sunan Ampel di Surabaya Jawa Timur, Indonesia. Ia mula diperkenalkan pada tahun 1965. Awalnya kaedah ini digunakan untuk murid-murid sekolah rendah Islam at-Tarbiyyah, Surabaya. Setelah kaedah ini terbukti keberkesanannya, maka pada tahun 1978 pengasasnya telah menulis buku pengajaran al-Quran dengan judul ‘Cara Cepat Mempelajari Al-Quran Al-Barqy’ Komari, (2008) dlm Engkizar (2011).
Kaedah al-Barqy tidak begitu popular sebagai mana Kaedah Qira’ati, Iqra’ dan Baghdadiyyah, namun dalam kajian Engkizar (2011) terdapat beberapa buah sekolah di Negeri Selangor yang masih menggunakan Kaedah al-Barqy ini antaranya ialah sekolah Sri al-Amin di Sungai Tangkas, Bangi.

2.4.4 Kaedah Baghdadiyyah
Kaedah ini merupakan kaedah pengajian al-Quran yang paling lama dan paling meluas digunakan diseluruh dunia. Ia dipercayai berasal dari Baghdad dan diperkenalkan di nusantara seiring dengan kedatangan saudagar-saudagar dari Arab dan India (Mohd Zainul, 2006). Komari (2008) dlm Engkizar (2011) menyatakan kaedah ini sudah bermula dari pemerintahan khalifah Bani Abbasiyah. Kaedah ini juga disebut sebagai kaedah sebutan ‘eja’ atau latih tubi.

2.5 Konsep Kaedah Baghdadiyah
Pendekatan yang digunakan dalam kaedah ini ialah daripada mudah kepada yang kompleks, daripada umum kepada yang khusus dan daripada konkrit kepada yang abstrak. Secara amnya, terdapat tujuh belas langkah yang mesti dilalui oleh murid selama mengikuti pengajaran dengan Kaedah Baghdadiyah ini. Terdapat beberapa karekter dan tarikan-tarikan tertentu yang ditampilkan dalam strategi pengajarannya. Antara yang paling ketara ialah pengulangan 30 huruf hijjaiyah di setiap langkah pengajaran dan pembelajaran yang bertujuan memberi ingatan yang lebih kukuh. Tegasnya, al-Baghdadiyah merupakan antara solusi yang boleh membantu murid untuk membaca al-Quran.
Kaedah dalam pengajaran Bahgdadiyah adalah seperti berikut;
1. Dimulakan dengan mengenal huruf-huruf hijjaiyah.
2. Mengenal dan membaca huruf hijjaiyah berbaris
3. Mengenal dan membaca huruf hijjaiyah bersambung dan pelbagai baris
4. Mengenal dan membaca kalimah dengan tanda bacaan (sukun dan syaddah).

Setelah selesai semua bacaan asas ini, barulah murid dipindahkan membaca al-Quran. Ianya bermula dari surah al-Naas sehingga surah al-Naba’. Menurut Kamarul Azmi (2013) Pembelajaran al-Quran dalam kaedah ini mempunyai tiga peringkat, iaitu;

1. Peringkat pertama : bacaan secara umum dimana guru ditugaskan mengajar cara membaca al-Quran dengan betul serta memberi penekanan kepada tajwid. Kemampuan membaca berdasarkan asas yang telah dibina dalam mengenal huruf dan baris.
2. Peringkat kedua: Bacaan ulangan yang lebih menekankan kepada pembacaan secara Kaedah tajwid dan sebutan yang lebih baik dan mantap.
3. Peringkat ketiga: Pembacaan secara berirama dan berlagu.
Walaupun Komari (2008) dlm Engkizar (2011) menyatakan terdapat beberapa kelemahan kaedah ini antaranya (i) memerlukan masa yang lama. (ii) proses mengulang-ngulang boleh mendatangkan rasa bosan ke atas murid. Namun, berdasarkan pemeringkatan teknik belajar seperti yang dijelaskan di atas, Kaedah Baghdadiyah sangat menepati konsep pengajaran sebagaimana yang diunjurkan Rasulullah s.a.w (Abdul Fattah, 2013)

2.5.1 Murid Pemulihan dengan Kaedah Baghdadiyah
Berdasarkan beberapa kaedah di atas, pengkaji memberi fokus kepada Kaedah Baghdadiyah sebagai solusi menangani masalah murid pemulihan al-Quran dalam kajian ini. Oleh kerana responden dalam kajian ini gagal menguasai al-Quran melalui Kaedah Iqra’, maka pengkaji akan menggunakan Kaedah Bagdadiyah yang lebih luwes dalam permasalahan murid-murid lemah ini. Penekanan teknik pengulangan dalam kaedah ini dilihat akan membantu murid-murid pemulihan untuk mengenal huruf-huruf hijjiyah. Menurut Abdul Fattah (2013), antara kaedah yang ditekankan oleh Rasulullah s.a.w dalam mengajarkan al- Quran ialah pengulangan kata-kata atau bicara sebanyak tiga kali bagi menguat dan menegaskan isi pelajaran tersebut.

2.6 Sorotan Kajian Berkaitan
Sungguhpun dalam banyak kajian menyebut kejayaan Kaedah Iqra’, tetapi didapati bukan sedikit penemuan dalam beberapa kajian yang dijalankan mendedahkan kelemahan dan kegagalan pelajar-pelajar dalam bacaan al-Quran.
Dalam kajian Mohd Alwi et al., (2003) menyatakan metod Iqra’ secara keseluruhannya memberi kesan yang baik terhadap pencapaian pengajaran dan pembelajaran al-Quran di sekolah Malaysia, namun hasil kajian yang dijalankan di 27 buah sekolah di beberapa buah negeri tersebut merumuskan bahawa keperluan wujudnya satu hubungan antara guru dengan teknik pengajaran dengan Kaedah Iqra’ iaitu guru perlu benar-benar memahami dan menghayati kaedah ini agar objektif pelaksanaan Iqra’ ini tercapai. Didapati juga hanya 35% sahaja guru-guru yang pernah menerima latihan dan menghadiri kursus cara pengajaran Kaedah Iqra’. Hasil soal selidik yang dijalankan, didapati Kaedah Iqra’ tidak sesuai bagi bilangan murid yang ramai kerana terdapat perbezaan tahap dalam kalangan mereka. Lebih kukuh, kajian tersebut mendapati ia juga tidak sesuai bagi murid yang lemah.
Selain itu dalam kajian Mohd Aderi Che Noh (2009) menyatakan majoriti amalan pengajaran al-Quran bagi guru Pendidikan islam ialah di tahap sederhana. Justeru beliau mencadangkan guru Pendidikan Islam perlu sentiasa mempertingkatkan kemahiran pengajaran dan pembelajaran bidang tilawah al-Quran dengan cara yang paling efektif agar semua murid boleh menguasai al-Quran dengan lebih baik. Dalam kajian Bhasah Abu Bakar et al., (2012) menjelaskan bahawa pembelajaran al- Quran masih lagi belum begitu mantap dan memerlukan sesuatu kaedah yang lebih berkesan lagi. Manakala Fadhlur Rahman (2008) menjelaskan tentang bagaimana kaedah pembelajaran berpusatkan pelajar dalam memahami al-Quran boleh dijadikan panduan. Antara kaedah yang diterapkan untuk melaksanakan pembelajaran berpusatkan pelajar adalah pengutaraan soalan berbentuk panduan, sesi soal-jawab, persembahan individu dan pembelajaran berasaskan alat bantu mengajar. Dalam kajian Fatimah Sudin (2002) pula melaporkan masih wujud sebahagian murid yang masih buta baca dan tulis al-Quran.
Merujuk kepada kajian Mohd [email protected] Hj Mohd Yusuff (2008), yang dijalankan di Terengganu dengan melibatkan 320 pelajar mendapati seramai 122 pelajar (38.1%) berada pada tahap mengecewakan dan gagal dalam membaca al-Quran. Beliau menegaskan lagi, jumlah yang sangat besar ini seolah-olah menunjukkan tiada perubahan selama ini pada tahap bacaan al-Quran dalam kalangan pelajar. Dalam kajian yang dijalankan oleh Mohd Hanafi dan Iruwan Idris (t.t) di Politeknik Tuanku Syed Sirajudin menjelaskan terdapat pelajar disana yang menghadapi masalah membaca al-Quran. Hal ini dibuktikan apabila pelajar gagal membacakan teks al-Quran setelah diuji oleh pensyarah di dalam kelas. Ramlan (2000), Ramli (2000), Mohd Naim (2003) dan Fauzan (2006) dalam kajian-kajian yang mereka jalankan juga melaporkan kelemahan penguasaan pelajar dalam bidang al-Quran.
Justeru, berdasarkan sorotan-sorotan kajian di atas belum terdapat lagi kajian terperinci yang mengkaji pemboleh ubah amalan pengajaran bagi menangani permasalahan murid-murid pemulihan al-Quran. Lanjutan daripada itu, pengkaji merasakan kajian ini wajar dijalankan sebagai satu anjakan paradigma bagi keperluan bidang Pendidikan Islam.

2.7 Kesimpulan
Pembelajaran berbantu seperti penggunaan Kaedah Baghdadiyah dalam memastikan murid-murid pemulihan Tahun 1 hingga Tahun 6 untuk mereka mudah menguasai al-Quran di sekolah adalah satu usaha bagi melestarikan pengajian Pendidikan Islam dalam kalangan pelajar-pelajar Islam itu sendiri seterusnya . Kaedah ini merujuk kepada pemusatan pembelajaran yang meletakkan murid-murid sebagi fokus utama manakala guru sebagai pemudah cara. Kaedah ini selaras dengan kehendak pembelajaran yang mana ia harus dipermudahkan agar murid-murid apat memberikan tumpuan di dalam pembelajaran setelah mereka dapat menguasai pembelajaran sedia ada.
Pada masa yang sama, penguasaan teknologi dan peralatan moden adalah salah-satu elemen yang perlu diterapkan kepada pelajar dalam usaha memenuhi matlamat pengajaran dan pembelajaran berbantu seperti ini. Proses pengajaran dan pembelajaran adalah platfom yang terbaik dalam menjayakan usaha ini. Sebagai kesimpulan, perancangan untuk mengaplikasikan pembelajaran kendiri dan berbantu dalam pengajaran dan pembelajaran perlu diperhalusi dari peringkat pembangunan kurikulum lagi. Segala perancangan diperingkat ini akan membuka jalan dalam perlaksanaan pembelajaran berbantu didalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Disamping itu, kelancaran perlaksanaan pembelajaran berbantu secara menyeluruh di dalam pengajaran dan pembelajaran memerlukan bantuan infrasturktur yang baik dan lengkap. Dengan sokongan peralatan yang disediakan, kualiti pengajaran dan pembelajaran akan dapat dipertingkatkan sepenuhnya.

Review this essay:

Name
Rating
Your review: (optional)

Latest reviews:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload the CAPTCHA.