Essay: Burung secara teknikalnya didefinisikan sebagai... - Essay Marketplace

Essay: Burung secara teknikalnya didefinisikan sebagai…

Burung secara teknikalnya didefinisikan sebagai haiwan bertulang belakang yang berdarah panas, memiliki dua pasang kaki dengan lima jari dan bahagian tangan depan pula telah berubahsuai menjadi sayap. Kulit pula ditutupi oleh bulu kecuali di bahagian kaki dimana bahagian kaki adalah bersisik kasar, warisan keturunan reptilia. Banyak jenis burung adalah sosial dimana kumpulan burung terdiri daripada keluarga atau kawan. Sekawan burung mungkin sama dalam pemakanan, tidur, membuat sarang dan kumpulan migrasi. Terdapat di antara 8600 hingga 10000 spesis burung di bumi bergantung kepada dimana taxanomi burung itu berada (Sylvester, 2008).

2.1.1 Latar Belakang Burung

Burung dikategorikan dalam kelas aves. Burung secara amnya adalah unik kerana mempunyai pelepah dan anggota badan yang diubahsuai menjadi sayap. Burung dikenali dengan dua nama iaitu secara saintifik dan nama biasa ataupun nama panggilan. Nama sainstifik burung adalah berasaskan kepada binomial ataupun trinomial dalam bahasa latin ataupun Greek. Perkaitan setiap burung dengan setiap burung yang lain membolehkan kita dapat mengecamnya serta meletakkannya dalam kategori yang sama. Manakala, nama biasa bagi burung pula adalah nama tempatan yang lebih diketahui umum. Kebiasaanya, nama biasa burung ini dinamakan sempena dengan tempat di mana burung itu dicam oleh saintis, nama penemunya atau sempena nama perempuan yang cantik (Hickey, 1975). Di samping memainkan peranan yang penting sebagai agen penyebar biji benih bagi regenerasi hutan dalam ekosistem, burung juga penting sebagai penunjuk persekitaran.

2.1.2 Organ-organ Deria Burung

Menurut Sturkie (1986), burung mempunyai deria penglihatan yang terbaik dalam kingdom haiwan dan peningkatan tahap penglihatannya adalah dipengaruhi oleh persekitaran. Di samping itu, dalam kajiannya juga menyatakan bahawa mata avian dapat menunjukkan corak organisasi habitatnya.

Disamping memiliki penglihatan yang terbaik, burung juga mempunyai deria pendengaran serta darjah keseimbangan yang tinggi. Pengeluaran suara burung yang sangat baik dan kemahiran istimewa untuk meniru bunyi-bunyi yang telah menyimpulkan bahawa burung sangat luar biasa dalam analisis bunyi dalam pelbagai frekuensi-frekuensi pendengaran yang luas kecuali dari segi nada. Sementara telinga bagi kategori mamalia termasuk tiga segmen anatomi yang berbeza tetapi berdekatan iaitu pada luaran, dalam dan tengah yang membangun masing-masing dari embrionik primordial yang berbeza dan kemudian bergabung bersama membentuk satu fungsi unit yang selaras (Sylvester, 2008).

2.1.3 Jenis Paruh Burung

Terdapat lapan jenis paruh burung yang mempengaruhi corak pemakanan burung iaitu:

I.Cormorant – Burung yang mempunyai paruh panjang yang disesuaikan untuk menangkap ikan.
II.Sunbird – Paruh bengkok ke bawah disesuaiakan untuk menghisap nectar bunga.
III.Heron – Paruh yang kuat untuk menyerang dan menikam mangsa.
IV.Goldfinch – Memakan dengan memecahkan biji benih menggunakan paruh yang kuat.
V.Wabler – Paruh yang lampai digunakan untuk memakan serangga.
VI.Longbill – Paruh yang panjang untuk mencapai buah sebagai makanan.
VII.Flesh-eater – Mempunyai paruh yang cangkuk untuk mengoyakkan mangsanya.
VIII.Duck – Disesuaikan untuk mendapatkan makanan di dalam air.

2.2 Cara Pengecaman Spesis Burung

Proses pengecaman dan pengenalan spesis burung merupakan suatu cabang yang agak mencabar dalam pemerhatian burung. Hal ini kerana setiap spesis burung adalah berbeza antara satu sama lain. Kadang-kala sesetengah spesis burung yang berbeza kelihatan hampir serupa, sementara spesis burung yang sama mungkin berbeza antara jantan dan betina semasa ianya masih muda dan setelah dewasa. Panduan dan proses untuk mengecam spesis burung boleh dibahagikan kepada beberapa aspek berkaitan burung iaitu melalui bagaimana ia kelihatan, warna, bunyi yang dihasilkan serta habitatnya (Kress, 2000).

2.2.1 Permukaan Burung

Bahagian permukaan burung yang penting dan perlu diperhatikan semasa mengecamnya ialah dari segi bentuk, paruh, ekor serta jenis kakinya. Bentuk burung boleh dikategorikan sama ada ianya gemuk, lampai ataupun langsing. Paruh seekor burung juga tururt dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu kecil dan nipis, tebal dan berbentuk kon, panjang dan nipis, tebal dan melengkung ke bawah serta leper dan lebar. Bentuk ekor burung pula terdiri daripada lima jenis iaitu berbentuk ‘v’, bercabang, hujungnya yang berbentuk segiempat, bulat dan jenis runcing (Peterson’s Guide, 1999). Selain itu, jenis kaki burung juga adalah berbeza antara satu spesies dengan satu spesis yang lain kerana terdapat spesis yang mempunyai jenis kaki yang panjang dan sebaliknya.

2.2.2 Warna

Warna merupakan satu cara yang penting untuk mengenal burung serta mengidentifikasikannya. Namun begitu ia bergantung kepada sudut pandangan dan pencahayaan semasa burung tersebut dikecam. Warna yang ditunjukkan oleh burung bergantung kepada umur burung tersebut dan jantinanya sama ada ianya jantan ataupun betina (Peterson, 1982). Selain itu, masa apabila burung diperhatikan atau dikecam perlu di kaji sama ada ianya adalah musim membiak ataupun sebaliknya. Hal ini adalah kerana perbezaan musim akan mempengaruhi jenis warna dan saiz yang ditunjukkan oleh burung.

2.2.3 Bunyi

Setiap burung mengeluarkan bunyi panggilan ataupun siulan yang berbeza antara satu sama lain. Bagi sesetengah burung yang boleh menyanyi, kebolehannya dapat dijadikan sebagai tanda untuk membantu dalam mengecam jenis burung tersebut. Bunyi biasanya dihasilkan oleh setiap burung bagi menarik perhatian pasangannya serta untuk memberitahu bahawa kawasan tersebut adalah hak miliknya (Sylvester, 2008). Kebiasaanya bunyi siulan ataupun panggilan terdiri daripada pelbagai not yang berbeza. Ianya terdiri daripada beberapa not pendek yang biasa digunakan untuk berhubung dengan burung yang lain.

2.2.4 Habitat

Burung biasanya terdapat pada hampir kesemua kawasan di muka bumi, ia mendiami dan menyesuaikan diri dalam pelbagai habitat yang berbeza. Walaupun pada keadaan yang berbeza, burung masih dapat menemui tempat untuk bersarang dan membiak pada sesuatu habitat di tempat persinggahannya dan ia akan menyesuaikan diri pada kawasan persekitaran tersebut. Burung yang menetap pada sesuatu kawasan meneruskan kehidupannya dengan mencari makanan pada persekitarannya sambil membuat tempat perlindungannya yang lebih selamat (Welty, 1962).

Namun begitu, terdapat beberapa spesis burung yang yang memerlukan habitat khusus terutamanya bagi burung yang sensitif terhadap sifat kedaerahan atau perubahan habitat asal dan biasanya burung-burung sebegini memerlukan ruang hutan luas dan sihat yang boleh menyediakan keperluan asas yang dikehendaki burung berkenaan (Nurul Winarni, 2005). Menurut Nur Ziana (2005), kehilangan habitat bagi spesis burung sebegini akan mengurangkan kelimpahan dan jarak taburan geografi burung berkenaan. Hal ini disebabkan oleh spesis burung ini akan hanya bermandiri atau beradaptasi terhadap jenis habitat tertentu sebagai ruang pemakanan dan pembiakannya.

2.2.5 Komuniti Burung

Dalam kajian saintifik, penggunaan perkataan komuniti biasanya dirujuk kepada keseluruhan populasi spesis (samada flora ataupun fauna) yang tinggal di dalam satu tempat, dalam satu masa yang sama serta saling bertindakbalas di antara satu dengan lain (Margareta et al. 2007; Nur Ziana, 2005). Sekiranya perkataan komuniti ini dirujuk kepada burung, maka ianya akan menggambarkan keadaan di mana sekumpulan individu-individu spesies burung yang tinggal bersama pada tempat dan masa yang sama. Kehadiran komuniti burung disesuatu habitat boleh dipengaruhi oleh banyak faktor sama ada faktor abiotik ataupun biotik yang akan menentukan corak taburan spesies burung tersebut. Selain itu, faktor ini juga dilihat dapat memberikan tekanan luaran terhadap kehidupan komuniti burung yang seterusnya mempengaruhi dan memberi kesan kepada burung berkenaan.

Komuniti burung boleh dibahagikan kepada dua bentuk iaitu komuniti terbuka dan komuniti tertutup (Nur Ziana, 2005). Bagi komuniti terbuka, ianya merujuk kepada komuniti yang boleh mengadaptasi sistem terbuka dan dinamik. Setiap spesies dilihat boleh menyesuaikan diri di berbagai gradient persekitaran yang keadaannya berlainan daripada keperluan ekologi asal spesis berkenaan. Selain itu, komuniti terbuka merupakan spesies-spesies yang tidak saling berkait atau berinteraksi. Komuniti ini turut mempunyai kedudukan yang tersusun dan tidak bergantung antara satu sama lain. Bagi teori komuniti tertutup, Nur Ziana (2005) menjelaskan ianya adalah merupakan set-set spesies yang berlainan namun saling berinteraksi antara satu sama lain. Taburan spesis komuniti ini dalam persekitaran sesuatu kawasan amat terasing atau diskrit dan ditentukan oleh kehadiran atau ketiadaan spesis-spesis pesaing.

Di samping itu, kehadiran komuniti terbuka dan komuniti tertutup dalam sesuatu kawasan akan membentuk keadaan yang dipanggil ekoton. Ekoton merupakan gambaran satu keadaan kawasan yang menerima perubahan komposisi spesis yang pesat iaitu peralihan dari satu persekitaran ke satu persekitaran yang lain dan secara ringkas boleh diertikan sebagai sempadan (Nur Ziana, 2005). Selain itu, menurut Nur Ziana lagi, ekoton adalah gambaran perkongsian ruang sempadan antara dua komuniti yang mana mengandungi spesis-spesis daripada kedua-dua komuniti berkenaan.
2.3 Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Taburan Burung

Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi taburan spesis burung di sesuatu kawasan sama ada kawasan itu adalah kawasan terbuka mahupun kawasan hutan. Taburan burung di satu-satu kawasan banyak dipengaruhi oleh faktor fizikal (abiotik). Faktor abiotik ialah sebarang bentuk tekanan luaran yang mempengaruhi dan memberi kesan kepada haiwan. Antaranya ialah faktor iklim di habitat-habitat yang didiami oleh haiwan tersebut. Bagi komuniti tumbuhan dan haiwan, faktor abiotik yang menentukan corak taburan spesis di seluruh dunia terbahagi kepada tiga komponen utama iaitu masa (geologi/temporal), ruang (geografi/spatial) dan habitat (ekologi) (Nur Ziana, 2005).

Faktor iklim ini sememangnya memainkan peranan yang penting dalam menentukan taburan spesis burung di sesuatu kawasan (Wetly, 1962). Menurut Radford dan du Plesis (2003), faktor cuaca mempengaruhi kedapatan makanan, penggunaan tenaga untuk terbang dan juga untuk keseimbangan suhu badan. Tindak balas burung terhadap perubahan cuaca dapat dilihat dalam pemilihan waktu untuk bersarang dan bilangan telur yang dihasilkan. Selain itu, faktor cuaca juga boleh menyebabkan berlakunya kemusnahan seperti kegagalan sebahagian besar sesuatu populasi burung itu untuk membiak dalam tahun tertentu atau boleh membawa kepada kehilangan keseluruhan individu kerana ribut atau bencana alam lain. Di samping itu, dalam kajian yang telah dijalankan oleh Karr dan Freemark (1983) menunjukkan bahawa faktor mikroiklim seperti suhu dan kelembapan juga turut menyumbang kepada pemilihan habitat oelh burung. Hal ini kerana, faktor-faktor ini memberi kesan secara langsung kepada fisiologi burung serta kesan tidak langsung kepada taburan dan sumber makanan.

2.4 Kepentingan Kajian Burung

Kajian mengenai burung adalah amat penting bagi memastikan supaya spesies burung yang terdapat pada masa dahulu dan sekarang terus wujud pada masa akan datang berikutan usaha pemuliharaan dan pengawasan yang lebih ketat melalui enakmen hidupan liar yang telah diperuntukkan. Enakmen yang sedia ada juga dapat membantu dalam pengenalpastian spesis-spesis burung yang terancam dan dilindungi supaya pengawasan dan pengurusannya dapat dijalankan dengan lebih berkesan.

Selain itu, kajian burung juga penting kerana burung memainkan peranan yang penting kepada alam sekitar dan juga merupakan sebahagian daripada pelengkap ekosistem persekitaran. Selain menjadi sumber tarikan utama kepada indusri perlancongan, burung juga boleh dijadikan sebagai pemantau kepada satu kawasan yang diecemari dengan bahan toksik melalui analisis terhadap tahap toksik pada darah burung tersebut (Tuanku Rizal, 2002).

Review this essay:

Name
Rating
Your review: (optional)

Latest reviews:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload the CAPTCHA.